MERIAH! Itulah yang boleh dikatakan program Grand Sunathon 2023 Parlimen Hulu Langat yang diadakan di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih, Selangor. Bermula pada jam 7 pagi, seramai 110 kanak-kanak yang mengambil bahagian sudah berendam dalam kolam yang disediakan di hadapan masjid.

Tanpa menghiraukan sejuk pagi, mereka mandi dan bermain air sepuas-puasnya sambil diperhatikan oleh ibu bapa masing-masing. Inilah ragam menarik kanak-kanak yang sentiasa riang dan gembira sebelum menghadapi saat-saat dikhatankan. 

Kanak-kanak gembira bermain air dan berendam dalam kolam di hadapan masjid sebelum aktiviti berkhatan dijalankan.


Lebih dua jam "berendam" di dalam kolam, mereka diminta keluar untuk dimandikan pula dengan pancuran air daripada pasukan bomba Serdang selama 20 minit sebelum acara berkhatan yang dilakukan oleh doktor dari Klinik Amani Semenyih, yang diketuai Dr Md Azhari Md Zhahir.

Menurut Dr Md Azhari, kaedah berkhatan menggunakan laser haba kerana pengalamannya selama 14 tahun, ia lebih mudah, tidak terlalu sakit, kurang pendarahan dan mengambil masa tiga hingga lima hari untuk sembuh. 

"Cuma, selepas berkhatan, usah terlalu lasak dan saya meminta ibu bapa pastikan anak-anak banyak berbaring untuk tempoh lima hari bagi memastikan kadar kesembuhan lebih cepat dan tidak memberi kemudaratan lain.

"Kaedah laser haba tidak memerlukan bahagian kulit kemaluan yang dibuang dibalut seperti sebelum ini, jadi pastikan jangan terlalu lasak kerana ia mungkin memberi kesan kepada luka dan tempoh untuk sembuh," katanya.


Kanak-kanak gembira apabila seorang anggota bomba memancutkan air sebelum acara berkhatan bermula.


Rosli Said


Grand Sunathon 2023 dianjurkan oleh Pejabat Parlimen Hulu Langat dan mendapat kerjasama Masjid Raja Muda Musa Semenyih, Malaysian Medical Aid Society (MMAS) dan  Skuad Anti-Dadah Hulu Langat.

Nazir Masjid Raja Muda Musa Semenyih, Rosli Said, berkata, fungsi masjid bukan hanya untuk beribadah tapi mengimarah dengan aktiviti yang memberi manfaat kepada umat Islam seperti program berkhatan beramai-ramai.

Beliau berkata, jika fungsi masjid dapat dilaksanakan sepenuhnya, insya-Allah ia akan memberi keberkatan dan kebaikan kepada masyarakat terutama jemaah Masjid Raja Muda Musa Semenyih.

"Sebelum ini, Masjid Raja Muda Musa Semenyih banyak melakukan aktiviti kemasyarakatan seperti program gunting rambut percuma, memberi sumbangan kepada anak-anak yatim dan mangsa banjir dan bakal haji tahun depan. 

"Ini tanggungjawab sosial yang kami laksanakan dan jemaah perlu bekerjasama dengan menyokong aktiviti dan memberi sumbangan bagi membolehkan lebih banyak program dapat dilaksanakan," katanya ketika merasmikan program Grand Sunathon 2023 Parlimen Hulu Langat. 


Walaupun dalam keadaan menggigil kesejukan, acara mandi beramai-ramai tetap meriah dalam kalangan kanak-kanak.


Mohd Tazley Nik Nordin


Turut hadir, Pengerusi Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Tazley Nik Nordin; Ketua Biro Pemuda Masjid Raja Muda Musa merangkap Pengarah Program Grand Sunathon Semenyih 2023, Hanafi Jalalludin; dan Penghulu Mukim Semenyih, Zahairul Abd Rahman.

Bagi Mohd Tazley, peruntukan RM20,000 daripada pejabat Parlimen Hulu Langat untuk Sunathon Semenyih 2023 adalah bukti sokongan kuat pihaknya untuk memastikan program seumpama itu dapat dilaksanakan dengan meriah dan berterusan setiap tahun. 

Beliau berkata, bagi meringan beban ibu bapa, program itu hanya mengenakan bayaran RM50 bagi setiap peserta, harga yang amat murah berbanding berkhatan di klinik swasta yang mungkin mencecah di antara RM180 hingga RM200. 

“Saya menyampaikan salam Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang tidak dapat datang kerana ada program parti tapi beliau gembira kerana program berkhatan ini mendapat sambutan baik ibu bapa dan meminta diadakan lagi tahun depan, mungkin dalam skala lebih besar," katanya.


Paluan kompang dari Persatuan Kompang Sebara Semenyih memeriahkan lagi program Grand Sunathon Semenyih 2023.


Sementara itu, Hanafi mengakui teruja dengan sambutan ibu bapa terhadap program ini yang sudah memasuki tahun keenam kerana sasaran awal hanya 80 penyertaan tapi pihaknya menerima sambutan di luar dugaan di kalangan masyarakat sekitar Semenyih dan Hulu Langat.

"Tapi, kami hanya dapat menerima 110 penyertaan bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun dan meminta maaf kerana terpaksa menolak penyertaan ibu bapa yang membuat permohonan pada saat-saat akhir. Insya-Allah tahun depan, kita berharap dapat menerima lebih banyak penyertaan.

"Tawaran berkhatan RM50 adalah amat murah dan kami lakukan bagi meringankan beban ibu bapa yang mahu mengambil bahagian terutama yang mempunyai ramai anak. Ia pasti kenangan terindah buat anak-anak sebelum memasuki alam dewasa," katanya lagi. - KitaReporter


Hanafi Jalalludin (kiri, belakang) gembira dapat meraikan program Grand Sunathon Semenyih 2023 bersama sebahagian daripada peserta berkhatan.


Inilah sebahagian daripada 110 kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam program berkhatan.

20
10
0
16
0

Copy Link: