Video| Kenali Pejabat Pos Besar Lama KL! Daripada surat menyurat kepada hab warisan budaya, kulinari!
Published byDAHULU Pejabat Pos Besar (PPB) Kuala Lumpur ialah hab ‘surat menyurat’. Tetapi kini bertukar wajah kepada hab budaya dan kulinari sejak perasmian pembukaan semula bangunan Sultan Abdul Samad pada 23 Mei 2026.

Kompleks Sultan Abdul Samad di tengah-tengah ibu kota yang menempatkan Pejabat Pos Besar Lama Kuala Lumpur.
Sesungguhnya ini satu transformasi bersejarah mengekalkan bangunan warisan berpaksi seni bina lama agar terus segar dan relevan dalam lipatan sejarah negara.
Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur (PPBKL) beroperasi dalam
Kompleks Sultan Abdul Samad sejak 1907. Selepas 77 tahun, ia berpindah ke
Kompleks Dayabumi, dan mula beroperasi pada 30 Oktober 1984 dalam persekitaran
lebih luas dan selesa.
Bangunan lama diwartakan sebagai bangunan warisan. Ia telah diubah
suai dan pernah menjadi Kompleks Mahkamah (1994-2003), menempatkan Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur serta Mahkamah Rayuan yang ditubuhkan pada 1994.
Setelah mahkamah berpindah ke kompleks baharu di Jalan Duta, juga Istana Kehakiman di Putrajaya, kerajaan secara rasmi mewartakan Bangunan Pejabat Pos Besar Lama (PPBL) KL sebagai Tapak Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Bangunan Pejabat Pos Besar Lama Kuala Lumpur dalam Kompleks Sultan Abdul Samad cantik gagah berdiri setelah diubah suai jadi hab warisan budaya dan kulinari.

Orang ramai mengambil kesempatan mengunjungi Pejabat Pos Besar Lama Kuala Lumpur pada hari perasmian 23 Mei 2026.
Sejajar kedudukannya sebagai bangunan warisan, ia bukan hanya dipelihara tetapi ditampilkan semula dengan pendekatan moden dan kontemporari agar selari dengan perubahan masa tanpa mengganggu bentuk asal.
Kerana itu PPBL menyerlah dalam suasana lebih menarik dan
ditransformasi menjadi hab budaya dan kulinari yang dinamik, serta dibuka
kepada orang ramai. Sesuai dengan namanya, aspek budaya dan kulinari ditonjolkan
sebagai tarikan.
PPBL menjadi platform dan menyediakan ruang program
kebudayaan dan penceritaan sejarah Kuala Lumpur. Persembahan budaya dan muzik
tradisonal diadakan untuk menghiburkan pengunjung. Ruang dalam diubah suai
dengan kreatif, menghimpunkan pelbagai jenama kulinari tempatan dengan konsep
terbuka.
Namun teras sebagai pejabat pos sama sekali tidak diabaikan. Kerana itu aspek sejarah dan fungsinya sebagai pejabat pos dibadikan sebagai tarikan utama.
Terdapat galeri pameran untuk tatapan umum, pameran stem lama serta catatan aktiviti dan sejarah selama lebih tujuh dekad beroperasi. Terdapat juga gerai cenderamata.

Suasana pejabat pos dihidupkan dalam Pejabat Pos Besar Lama dengan replika peti surat, peralatan cap surat, stem lama serta catatan sejarah pejabat pos berkenaan.
Daripada pusat surat menyurat era kolonial dan kemudian mahkamah, PPBL kini berfungsi sebagai wadah yang menghubungkan pelancong dan warga kota dengan sejarah lampau dalam suasana moden.
Projek dilaksana oleh Khazanah Nasional melalui Inisiatif
Dana Warisan. Pemulihan dan pengaktifan semula PPBL Kuala Lumpur melibatkan projek
restorasi dan pemuliharaan berskala besar dengan peruntukan RM600 juta, yang
melibatkan juga restorasi beberapa aset warisan negara.
Usaha restorasi mula digerakkan selepas pembentangan Belanjawan 2023.
Kerajaan memberi mandat kepada Khazanah Nasional menubuhkan Dana Warisan bagi memulihkan aset negara, termasuk Kompleks Sultan Abdul Samad, kluster Bukit Carcosa yang menempatkan Seri Negara, Panggung Bandaraya dan Muzium Tekstil Negara.
Restorasi Kompleks Sultan Abdul Samad dibuat berfasa kerana ia besar.

Ruang pameran dan cenderamata di Pejabat Pos Besar Lama, Kuala Lumpur.
Projek Fasa pertama Blok 1 (Bangunan Utama/Menara Jam) bermula Mac 2025. Ia dibuka semula pada 31 Januari 2026, menempatkan Galeri Bandaraya Kuala Lumpur, Galeri Royal Selangor serta ruang pameran seni kraf warisan.
Seterusnya Blok 2 yang menempatkan Pejabat Pos Besar Lama. Kerja-kerja fizikal dan fasa perancangan awal diaktifkan sepanjang tahun 2023 dan 2024.
Projek restorasi siap sepenuhnya pada pertengahan pertama tahun ini, dibuka semula secara rasmi kepada orang awam pada 23 Mei 2026.
Pembukaan semula dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadhlun Mak Ujud; serta Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Amirul Feisal Wan Zahir.
Memetik Amirul Feisal, pembukaan semula PPBL yang berusia lebih satu abad mencerminkan komitmen Khazanah memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab perhubungan dan interaksi, juga destinasi tumpuan beridentiti tersendiri.
Dengan itu diharap lebih ramai rakyat Malaysia dan pelancong dapat menerokai bandar raya, selanjutnya menyokong aktiviti ekonomi tempatan. Juga memperkukuh identiti budaya negara dan merancakkan pelancongan serta ekonomi bandar.


Saudagar, salah satu reruai kulinari di Pejabat Pos Besar Lama, jadi tumpuan pengunjung.
Bangunan PPBL direka oleh arkitek Bristish, Arthur Benison
Hibback pada 1902 dan mula beroperasi pada 1907. Pusat surat menyurat itu kini adalah
hab budaya, warisan serta kulinari yang membanggakan.
PPBL menghidupkan kawasan Dataran Merdeka dengan aktiviti kemasyarakatan dan pelancongan. Datanglah menyaksikan sendiri transformasi PPBL. Sambil itu nikmati juadah disediakan.
PPBL dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. - KitaReporters

Antara makanan dan kuih tradisional yang ada di reruai Pejabat Pos Besar Lama.
