Persembahan deklamasi puisi bertajuk Dua Puluh Ringgit oleh Bonda Nor dan Rafiuddin pada majlis kemuncak Sambutan Minggu Al Quds Sedunia di Auditorium Jakim, Putrajaya pada 6 Mac 2022. - Kredit foto: FB Bonda Nor

TULISAN, jika ditulis dengan hati ia pasti akan sampai juga ke hati. Begitu juga dengan lantunan puisi, jika disampaikan sepenuh jiwa maka yang mendengar akan turut mendapat manfaatnya.

Siapa sangka persembahan puisi yang dideklamasikan oleh penulis buku dakwah santai terkenal, Bonda Nor bersama salah seorang anak didiknya dalam Akademi Bonda Nor (ABN), Rafiuddin Rohani berjaya menyuntik semangat penonton pada program Majlis Kemuncak Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia baru-baru ini.

Ironinya, puisi bertajuk Dua Puluh Ringgit itu dikarang oleh Bonda Nor dalam tempoh hanya satu jam, sehari sebelum program tersebut berlangsung di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya pada 6 Mac 2022 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan negara Palestin

Isu Palestin sentiasa berkait rapat dengan kekejaman tentera Zionis dan kesedihan serta kesengsaraan rakyatnya yang tidak pernah berputus asa memperjuangkan pembebasan Al-Aqsa. - Kredit Foto Reuters


Menurut wanita yang berasal dari Melaka itu, sebagai penulis beliau memang banyak stok puisi kemanusiaan yang telah dihasilkan. Namun, bila diteliti semuanya, tidak ada yang sesuai untuk dibacakan pada sambutan tersebut. 

"Pada awalnya, saya buntu juga memikirkan puisi bagaimana yang ingin ditulis. Saya tidak mahu berpuisi tentang kekejaman, kesedihan, kesengsaraan dan penderitaan sebaliknya saya mahu membacakan sebuah puisi yang mampu membangkitkan semangat.

"Kemudian, suami memberi cadangan agar saya menulis tentang sesuatu yang bersifat kebersamaan. Waktu itu saya mendapat idea iaitu perlu buat masyarakat kita faham apa yang berlaku di Aqsa adalah tanggungjawab bersama. 

"Namun, walaupun idea sudah jelas, saya masih samar tentang cara menggarapnya," ujar Bonda Nor dalam satu perkongsian dalam laman Facebooknya.


Kehadiran salah seorang perantis ABN, Aziana bersama suami dan anak-anaknya untuk menghantar hadiah kejutan sempena hari lahir Bonda Nor menjadi asbab tercetusnya puisi Dua Puluh Ringgit.


Bagaimanapun, niat yang pasti diberkati Allah. 

Kehadiran salah seorang perantis ABN, Aziana Othman bersama suaminya, Abd. Rasid Jamah ke teratak ibu Bonda Nor di Melaka bagi menghantar hadiah kejutan sempena hari lahir beliau menjadi asbab tercetusnya puisi Dua Puluh Ringgit.

Ini kerana, ketika berbual tentang isu Palestin, Abd. Rasid yang bertugas di bahagian kewangan membuka cerita tentang individu-individu misteri yang istiqamah menyumbang RM20 ke tabung bantuan Palestin setiap bulan.

"Subhanallah. Saya lantas teringat kisah beberapa orang selebriti yang turut menyumbang sesekali tetapi pada nilai yang besar. Kemudian, saya teringat pula kepada Ustaz Nadir Al-Nuri, satu-satunya rakyat Malaysia yang sanggup bertahan tinggal di negara bergolak itu demi menjadi perantara Gaza dan Malaysia. 


Nadir Al-Nuri merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang menetap di Gaza dan bertanggungjawab mengendalikan Persatuan Cinta Gaza Malaysia dalam membantu penduduk Palestin.


"Saya terus terfikirkan soal kebersamaan yang suami sebutkan. Ya, menyumbanglah dengan cara masing-masing. Yang penting semua orang kena ada rasa mahu membantu! Allahu Akbar. Laju jari jemari saya menaip pada telefon bimbit. Selepas satu jam, puisi itu siap! Lahaulawalaquwataillabillah," jelas Bonda Nor penuh sebak.

Usai membacakan puisi tersebut pada majlis yang dirasmikan oleh Menteri Agama, Senator Datuk Idris Ahmad itu, anak didik Bonda Nor yang hadir telah mengedarkan kotak-kotak sumbangan kepada para tetamu di dalam dewan.

Dalam tempoh 10 minit kutipan dilakukan, sejumlah RM1,861 berjaya dikumpulkan sebelum ia kemudian diserahkan kepada Nadir mewakili Persatuan Cinta Gaza Malaysia yang turut hadir pada majlis berkenaan.  

"Subhanallah. Maha Baiknya Allah, puisi yang dikarang dalam tempoh yang singkat dapat membawa sedikit kebaikan. Semoga ia menjadi satu permulaan untuk kita terus cakna dan istiqamah menyumbang setiap bulan. Insya-Allah," kata Bonda Nor penuh harapan. 


Dua pembantu Bonda Nor mengira jumlah kutipan yang berjaya dikumpulkan daripada penonton dan tetamu yang hadir pada majlis tersebut usai puisi dibacakan.

Dalam pada itu, Nadir dalam sesi bual bicara 'Apa Khabar Al-Quds?' bersama wakil Pustaka Permata Ummah, Ustaz Muhammad Afiq Awang Bakar melahirkan harapan agar rakyat Malaysia terus konsisten membantu rakyat Palestin.

"Perjuangan membebaskan Al-Quds adalah tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam. Jadi saya amat berharap agar kita terus menyokong perjuangan ini dan ia bukan sekadar bantuan bermusim. 

"Alhamdulillah, melalui program-program seumpama ini, ia mampu menyuntik kesedaran masyarakat terutama umat Islam agar tidak melupakan rakyat Palestin yang tertindas dengan kekejaman tentera Zionis," ujarnya.


Bonda Nor menyerahkan kutipan berjumlah RM1,861 yang berjaya dikumpulkan dalam tempoh 10 minit kepada Nadir. 

Sementara itu, Idris dalam ucapannya berkata, usaha membebaskan Al-Quds bukan tanggungjawab Palestin dan bangsa Arab semata-mata, bahkan juga tanggungjawab seluruh umat Islam.

“Oleh itu, menjadi kewajipan kita untuk menyumbang dalam apa-apa jua cara bagi membebaskan Al-Quds dan Masjidil Aqsa daripada terus dinodai golongan Yahudi dan tentera Israel laknatullah,” katanya.

Majlis Kemuncak Sambutan Minggu al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia ini merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama badan bukan kerajaan, Aid4Palestine

Pada majlis itu juga, JAKIM turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM500,000 kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia yang diwakili Nadir.

Selain persembahan puisi Bonda Nor dan Rafiuddin, majlis turut diserikan dengan persembahan daripada kumpulan nasyid terkenal tanah air, Inteam yang membawakan lagu-lagu kerohanian berkaitan perjuangan membebaskan Palestin. 


Nadir mewakili Persatuan Cinta Gaza Malaysia menerima sumbangan berjumlah RM500,000 daripada pihak JAKIM.


Memetik titipan bait-bait terakhir puisi Dua Puluh Ringgit, marilah kita juga bernekad untuk istiqamah menyumbang walaupun sedikit. Walaupun seringgit.

"Wahai aku! Ayuh kita, berjuang dengan cara kita sendiri. Semampu kita. 

"Dalam pada sibuk kita jatuh bangun membina kehidupan kita di sini, berjanjilah jangan pernah lupa Al-Aqsa. Dua puluh ringgit. Kecil bagi kita. Tapi penuh makna buat semua. Itulah panji kebersamaan kita!" 

Cinta Gaza Malaysia baru saja lancarkan tabung bantuan untuk Ramadan. Bagi yang ingin menyumbang boleh layari laman https://donate.infakpalestin.com/order/form/ramadan4ummah. - KitaReporters



Sebahagian ahli pasukan ABN yang hadir tidak melepaskan peluang bergambar bersama Nadir sambil menghadiahkan beliau buku terbaru Bonda Nor dan Ammar Kamilin bertajuk Parent, Thanks! dan Permata Ummah.

19
14
0
5
0

Copy Link: