Mohd Aslam Nor Zahari 


Peluh jantan menitik daripada dahinya yang berkerut. Disekanya dengan lengan baju. Jauh dia termenung hari itu. Fikirannya menerawang sehingga tidak sedar hari makin meninggi. Dihidupkan kembali kipas yang ditutupnya tadi setelah bahang mentari di luar kian menyinar.

Hampir tengah hari. Isterinya mula sibuk di dapur menyediakan makanan untuk tengah hari. Anaknya seramai empat orang ralit bermain. Tiada lain difikirkan oleh Mohd Aslam Nor Zahari, 35, selain masa hadapan yang kian mencabar apatah lagi dunia sedang dilanda virus COVID-19 ketika itu.

Kudratnya membanting tulang seakan-akan terhenti. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan ketika itu menyukarkannya menguruskan perniagaan makanan miliknya.


Aslam terpaksa melepaskan kedai makannya setelah PKP dilaksanakan.


Ketika dua minggu PKP dilaksanakan, Aslam yang menetap Shah Alam, Selangor tidak mampu melakukan apa-apa selain makan dan tidur setiap hari. Akalnya mati memikirkan apa nasib kedai makannya itu. Adakah ia mampu bertahan atau tidak.

Saat fikirannya menerawang, dia terpandang figura anak-anak dan isteri. Hatinya mula sebak memikirkan nasib insan-insan yang disayanginya itu. Tiba-tiba perasaannya bertukar. Semangat berjuang untuk menyara keluarga kembali bangkit sementelah dia seorang yang tidak suka duduk diam.


Isteri dan anak-anak menjadi penguat untuk dirinya terus berusaha.


“Pada tahun 2015 saya merupakan pengurus kedai makanan barat di AA Super Grill sehingga 2021. Namun disebabkan berlakunya musim pandemik, waktu operasi kedai makan tidak sesuai ketika itu (8.00 pagi hingga 6.00 petang).

“Kekangan pergerakan ke kedai di luar daerah dan staf menyebabkan bisnes tersebut terpaksa ditutup. Tambahan pula kos bahan mentah dan utiliti kedai masih berjalan walaupun penjualan merosot teruk. Jadi, saya terpaksa menghentikan operasi sementara untuk mengurangkan komitmen yang ada ketika itu.

“Anak-anak dan isteri kekuatan saya untuk terus bertahan. Saya seorang yang jenis tidak duduk diam. Permulaan dua minggu pertama PKP dilaksanakan, saya  hanya duduk di rumah. Saya hanya duduk makan dan tidur sehinggakan saya merasakan hidup ini sia-sia. Saya mencari idea baru untuk keluar rumah dan mencari sumber pencarian yang halal untuk kelangsungan hidup,” ceritanya mengenang saat keperitan yang dilalui ketika pandemik berlaku.

Setelah kedai makannya ditutup, Aslam cuba pula menjual ikan. Oleh kerana orang ramai tidak dibenarkan keluar sesuka hati ketika pelaksanaan PKP, idea untuk menjual ikan mula muncul.


Perniagaan menjual ikan segar mendapat sambutan ketika PKP.


“Pandemik sangat memberi kesan. Setelah kedai makan terpaksa dijual, saya tetap mencari peluang bisnes baharu untuk kelangsungan hidup. Ketika itu, saya menjual ikan segar yang diperoleh dari jeti Kuala Perlis yang siap diproses dan penghantaran terus ke rumah.

“Perniagaan ini pada mulanya beroperasi hanya menumpang di belakang kedai makan kenalan. Namun rezeki saya akhirnya dapat menyewa sebuah kedai lain untuk operasi kedai basah saya ini. 

"Alhamdulillah, ketika itu perniagaan ini agak menguntungkan memandangkan ramai yang tidak berani untuk keluar rumah dan pergerakan terhad. Tetapi ia tidak bertahan lama apabila PKP mula dilonggarkan, bisnes ikan segar mula perlahan,” katanya.

Tidak ternoktah di situ sahaja perjuangannya dalam mencari rezeki, Aslam mula berjinak-jinak sebagai kontraktor yang tidak jauh daripada bidang asalnya iaitu jurutera. Aslam mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuteraan sebelum menceburi bidang Food & Beverage (F&B). Tuah Aslam kerana mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.


Aslam kini selesa sebagai kontraktor.


Walaupun kedua-dua perniagaannya tidak berjaya, kini Aslam menarik nafas lega setelah syarikatnya, Engineering Sevices and Trading (www.berjasaengineering.com) berjaya ditubuhkan. Bunyi macam mudah, tetapi sebelum berjaya menubuhkan syarikat tersebut, pelbagai rintangan perlu dilalui.

“Saya mula mengambil kerja kecil-kecilan sebagai kontraktor di rumah orang. Bermula dengan memasang perabot pasang siap, paip bocor, pemasangan kipas dan membaiki pendawaian letrik yang mudah. Alhamdulillah, sambutan menggalakkan dan sokongan rakan terdekat pun tidak mengecewakan.


Aslam sedang memasang lampu.


“Dalam masa yang sama juga, semasa musim PKP, saya berani dan cabar diri menyambung pelajaran dalam bidang Sarjana Pengurusan Kejuruteraan. Saya ambil peluang ini kerana pada musim itu, pembelajaran dijalankan secara atas talian sahaja.

“Bayangkan sambil menguruskan perniagaan sendiri, menjadi pekerja dan majikan, dalam masa yang sama saya juga belajar. Memang tak menang tangan. 

"Namun demi menaikkan taraf hidup keluarga, saya keluar dari kempompong selesa mencari sesuatu cabaran. Alhamdulillah setelah dua tahun berlalu, saya capai segulung lagi ijazah sarjana. Terima kasih isteri dan anak-anak,” akhirinya. - KitaReporters


20
9
0
10
0

Copy Link: