Di negara kita masih ramai golongan yang tidak berkemampuan, Mereka bukan sahaja tidak mampu membeli baju sekolah yang baharu bila sesi persekolahan bermula dan membeli baju raya yang baharu sempena bulan puasa yang sudah tiba. 

Menyedari hakikat ini, bersempena pembukaan sesi persekolahan yang baharu dan bulan puasa yang berlangsung sekarang, Kelab Kebun Komuniti Blok 40 Seksyen 7 Shah Alam telah mengadakan program pasar percuma bagi mengagihkan pakaian sekolah dan peralatan sekolah secara percuma kepada penduduk setempat. 

Selain itu, pakaian hari raya seperti baju kurung dan baju Melayu juga turut diagihkan kepada mereka yang kurang berkemampuan. 

Aktiviti yang bermula sejak jam 9 pagi dihadiri penduduk setempat dan mereka yang tinggal berdekatan dengan Shah Alam. Banyak baju baju sekolah mendapat sambutan daripada penduduk, tidak kurang juga baju kurung dan baju Melayu. 

Menjelang tengah hari hampir separuh baju baju yang didermakan telah pun habis diagih-agihkan. 


Mohamad Azmi Mohamad Sidek



Menurut Pengerusi Kelab Kebun Komuniti Blok 40, Seksyen 7 di Shah Alam, Mohamad Azmi Mohamad Sidek, 49, ini adalah kali ketiga pihaknya mengadakan aktiviti pasar percuma kepada penduduk setempat bermula tahun 2021 selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Mohamad Azmi memberitahu, biasanya pasar percuma ini diadakan sewaktu bulan puasa tetapi kali ini bersempena dengan pembukaan sesi baharu sekolah mereka mengadakannya lebih awal dan turut mengedar dan mengagihkan baju-baju raya sempena bulan puasa tiba. 

"Sambutan penduduk sangat menggalakkan dan ramai yang datang untuk memilih baju-baju yang sesuai dengan mereka," katanya. 

Beliau juga memberitahu, baju-baju percuma ini bukan hanya untuk penduduk tempatan tetapi,  turut diberikan kepada warga asing seperti Indonesia dan Myanmar yang datang ke pasar percuma ini. 




Mohamad Azmi juga memberitahu, masyarakat di sekitar kawasan rumah pangsa di Seksyen 7 Shah Alam, ramai yang tergolong daripada mereka yang tergolong dalam kumpulan rakyat di bawah kategori B40. 

Pasar percuma sebegini dapat meringankan beban ibu bapa yang ada ramai anak bersekolah dan dapat mengurangkan perbelanjaan membeli baju-baju raya. 

"Baju-baju yang didermakan adalah dari kilang dan kedai-kedai . Banyak baju yang masih dalam plastik dan semuanya masih baharu. Malah ada butik yang mahu melupuskan baju-baju kurung dan baju Melayu turut menderma untuk pasar percuma ini" katanya lagi.


Hisham Misripin


Baju-baju batik yang masih baharu dihantar oleh sebuah butik ke pasar percuma ini. 


Sementara itu, seorang AJK Kelab Kebun Komuniti Blok 40, Hisham Misripin memberitahu, penyumbang pakaian di pasar percuma ini terdiri daripada NGO, butik-butik dan orang awam yang sentiasa menyumbang kepada Kelab ini. 

Bagi Hisham, dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil masa kini, kewujudan pasar percuma seperti ini dapat membantu dan meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan. 

"Mengapa nak membazir beli baju sekolah yang baharu kalau boleh dapat percuma, duit yang ada boleh buat untuk kegunaan harian yang lain," katanya

Hisham yang aktif dalam kelab ini memberitahu, komuniti yang tinggal di rumah pangsa di sekitar seksyen 7 ini , sering mengadakan aktiviti sosial untuk mengeratkan silaturahim sesama mereka. 

Selain aktiviti pasar percuma ini, pada bulan puasa juga mereka mengadakan gotong royong menyiapkan lauk pauk juadah berbuka puasa menggantikan acara masakan bubur lambuk yang dikira sudah terlalu biasa. 

"Secara tidak langsung aktiviti seumpama ini mengeratkan ukhuwah jiran-jiran yang tinggal di satu blok yang jarang dapat bertegur sapa kerana sibuk dengan tugas harian mencari rezeki," katanya lagi. - KitaReporters




19
7
0
11
0

Copy Link: