RAKYAT Malaysia di Itali dan Iran kini boleh menarik nafas lega berikutan Wisma Putra bersama pejabat perwakilan Malaysia di sana kini sedang melaksanakan persiapan rapi bagi membantu melancarkan proses membawa pulang 323 rakyat Malaysia, yang terjejas akibat COVID-19 di kedua-dua negara berkenaan. : KitaReporters 

SEORANG petugas perubatan memberi kata-kata semangat kepada pesakit yang disahkan positif Covid-19 di Hospital Sepadali Civili di Brescia, Itali. Kredit foto: Electrodealpro.com


Menteri Luar Hishammuddin Tun Hussein berkata, persiapan itu termasuk mengenal pasti kedudukan semua rakyat Malaysia di kedua-dua negara berkenaan.

Dalam masa sama, beliau menasihati supaya penduduk berkenaan tenang dan mendaftarkan diri dengan pejabat kedutaan di Itali dan Iran.

“Ia amat penting bagi memudahkan mereka mendapat maklumat yang tepat serta terkini berhubung misi bawa pulang ini.

"Kerajaan termasuk Wisma Putra akan bantu yang terbaik. 

"Yang penting, pastikan berhubung dari semasa ke semasa dengan perwakilan kita di sana. Marilah kita mendoakan semoga semua berjalan lancar,” katanya menerusi laman Facebook miliknya pada Ahad, 15 Mac 2020. 


WISMA PUTRA sedang membuat persiapan rapi bagi membantu melancarkan proses membawa pulang 323 rakyat Malaysia di Iran dan Itali. - Kredit foto: Free Malaysia Today.


Jumaat lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi keyakinan dan berjanji akan membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Itali dan Iran ke tanah air menerusi misi khas.

Dalam masa sama, Wisma Putra sentiasa memantau rapat keadaan rakyat Malaysia di negara-negara terjejas akibat COVID-19.

Data terkini Wisma Putra menunjukkan sebanyak 54,430 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Perwakilan Malaysia di luar negara, yang terdiri daripada penduduk di China, Korea, Itali, Iran, Jepun, Perancis, Jerman, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Switzerland.

 

Sebelum ini, Malaysia telah berjaya membawa pulang rakyat tempatan yang berada di Wuhan, China menerusi 2 misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR).

Di Itali jumlah kematian akibat COVID-19 bertambah 250 orang dalam tempoh 24 jam, rekod tertinggi berbanding mana-mana negara, setakat Ahad, 15 Mac 2020. 

Ketua Agensi Perlindungan Awamnya berkata, peningkatan 25 peratus sehari itu menjadikan jumlah kematian dicatatkan negara berkenaan cecah 1,266 orang.

Sementara kes jangkitan wabak meningkat kepada 17,660 kes berbanding 15,113 kes pada hari sebelumnya. 

Kerajaan Itali minggu ini melaksanakan langkah drastik menutup bar, restoran dan kebanyakan kedai, selain menyekat perjalanan yang tidak penting dalam usaha menangani penularan wabak. 

Wilayah Lombardy yang paling teruk terjejas juga menyaksikan penutupan sepenuhnya kilang dan pejabat. - KitaReporter

Laporan dan statistik terkini mengenai COVID-19 boleh diikuti di https://kitareporters.com/coronavirus

1
10
2
1
0

Copy Link: