Sukarelawan Skuad Unity bergotong royong membersih lumpur di Sekolah Kebangsaan Tembila,Besut


BANJIR yang melanda Daerah Besut, Terengganu, meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa yang terbabit dalam bencana yang disifatkan penduduk kejadian paling besar berlaku di daerah itu dua minggu menjelang akhir tahun 2022. 

Pengalaman pahit yang dialami penduduk terutama mereka yang kehilangan rumah dan harta benda masih menghantui mangsa yang terbabit dalam kejadian banjir pada 19 Disember 2022 kerana kehadiran air bah tersebut begitu cepat dan pantas.  

Ramai mangsa dikatakan terperangkap di rumah masing-masing kerana tidak dapat berpindah ke tempat yang lebih selamat disebabkan kekurangan bot penyelamat manakala pihak berkuasa tidak mampu menyediakan kemudahan untuk mangsa berikutan hampir seluruh daerah itu dilanda banjir.  


Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan mangsa-mangsa banjir

Sukarelawan Skuad Unity KRT Daerah Besut sentiasa turun padang membantu mangsa banjir


Namun, penduduk daerah itu beruntung kerana pelbagai pertubuhan sukarela bertindak proaktif membantu pihak berkuasa dalam usaha membantu menyelamatkan mangsa-mangsa ketika berlaku banjir dan pascabanjir.

Skuad Unity Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Besut di bawah seliaan Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN), antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang paling ke hadapan menonjolkan diri dalam menghadapi bencana berkenaan ketika daerah itu dilanda banjir besar.  

Dengan mempunyai 60 rangkaian Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan kekuatan 1,500 ahli seluruh daerah itu, ia dapat menggerakkan jentera sukarelawan untuk membantu mangsa banjir di hampir setiap kampung. 


ADUN Jertih Datuk Muhamad Pehimi Yusof (kiri) bersama Ali Haidzir Mustafa Kamal bertanya kabar seorang mangsa banjir


Ali Haidzir Mustafa Kamal


Pengerusinya, Ali Haidzir Mustafa Kamal berkata, ketika banjir mula melanda daerah itu pihaknya mengaktifkan gerak kerja  ahli Skuad Unity dengan membuat pemantauan terhadap kampung-kampung yang berisiko mudah ditenggelami air.

Katanya, susulan itu bantuan menyelamatkan mangsa yang memerlukan pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus dilakukan dengan menggunakan bot milik skuad itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya terpaksa menghadapi risoko ketika melakukan kerja-kerja memindahkan mangsa disebabkan banyak kawasan mempunyai arus air yang laju dan berbahaya.


Sukarelawan Skuad Unity bergotong royong membersih lumpur di Sekolah Kebangsaan Kampung La,Hulu Besut


Beliau berkata, selepas banjir surut ahli skuad tersebut terpaksa menumpukan kepada usaha-usaha melakukan gotong royong pembersihan rumah penduduk, premis kerajaan termasuk sekolah, masjid dan surau.

Manakala, usaha juga diberi tumpuan membantu mangsa banjir dengan menghulurkan bantuan makanan, peralatan, pakaian dan keperluan lain. 

“Alhamdulillah pihak Skuad Unity juga turut mendapat kerjasama pihak koporat untuk mnyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada mangsa bajir,” katanya. 

Ali Haidzir turut bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan Angel Group yang turut membantu menyumbangkan pelbagai jenis barangan dan bantuan kewangan untuk disalurkan kepada mangsa banjir di daerah tersebut. - KitaReporters



Sukarelawan Skuad Unity menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada seorang penduduk di Kampung Tembila, Besut

12
12
0
8
0

Copy Link: