BAYANGKAN ibu bapa yang datang dari Sabah dan Sarawak atau Perlis dan Kelantan untuk menghantar anak-anak mendaftar sebagai pelajar baharu universiti, mereka perlu mengeluarkan kos besar bagi menyewa penginapan. Itu tidak termasuk kos-kos lain seperti makan minum dan pengangkutan.

Kasihan melihat mereka yang terpaksa menyewa bilik hotel atau homestay dengan harga yang tinggi sedangkan kebanyakan ibu bapa dari luar bandar bukan terdiri daripada keluarga yang mewah.

Melihat situasi ini, UPM menganjurkan Program Musafir Hana bagi menyantuni ibu bapa yang datang dari jauh untuk menghantar anak-anak mereka mendaftar sebagai pelajar baharu di universiti tersebut.


 

Makanan dan minuman percuma sepanjang ibu bapa menginap sementara di Masjid UPM disediakan.


Program yang bermula 29 September hingga 1 Oktober 2023 itu bertujuan menyediakan penginapan sementara kepada bakal pelajar dan keluarga mereka yang tiada tempat tinggal ketika datang untuk pendaftaran.

Pengarah Pusat Islam UPM, Dr Razali Othman, berkata program itu dianjurkan oleh Pusat Islam UPM dengan kerjasama Sahabat Masjid UPM, Persatuan Mahasiswa Islam UPM dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (Wazan) UPM. 

Beliau berkata, Masjid UPM menyediakan penginapan sementara untuk ibu bapa di samping sarapan pagi, makan tengah hari dan minum malam secara percuma selain pengangkutan jika mereka tiada kenderaan untuk menghantar anak-anak mendaftar pelajar baharu UPM sesi 2023/2024. 

"Program “Musafir Hana” membantu ibu bapa dan pelajar yang datang dari jauh dan memerlukan bantuan menguruskan pendaftaran pelajar baharu di UPM. Ia turut merapatkan ukhuwah antara sukarelawan, ibu bapa dan pelajar.

 "Seramai 15 keluarga bermalam di masjid UPM, 300 orang singgah bersarapan pagi dan 600 orang untuk makan tengah hari," katanya.


Ada ibu bapa yang tidak menginap tapi sekadar singgah untuk bersarapan di Masjid UPM sebelum menghantar anak mereka mendaftar di kampus.


Imam Masjid UPM, Ustaz Mohd Hafiz Ghazali, berkata program ini menjadikan masjid itu pusat perkhidmatan pembangunan ummah yang sentiasa relevan menerusi aktiviti pengimarahan masjid dan kesejahteraan komuniti. 

"Ia dapat mengimarah dan meningkatkan kapasiti Masjid UPM sebagai institusi pembangunan ummah dengan membabitkan penyertaan mahasiswa, staf dan masyarakat setempat.

"Ramai ibu bapa berterima kasih atas usaha yang UPM lakukan kerana beban mereka yang datang dari jauh untuk mendaftar anak-anak mereka di UPM menjadi lebih mudah selain menjimatkan wang," katanya. 


Keluarga yang menghantar anak-anak mereka untuk pendaftaran pelajar baharu sempat bergambar kenangan di hadapan Masjid UPM.


Ibu bapa pelajar baharu mengucapkan terima kasih kepada Masjid UPM kerana menyediakan penginapan dan makanan secara percuma. 

Tiborhana Alwi, 56, ibu kepada seorang pelajar berkata penginapan yang disediakan di Masjid UPM telah meringankan beban kewangannya bagi menghantar anak mendaftar sebagai pelajar baharu.

"Kami tidak perlu membayar sewa hotel. Pihak masjid juga menyediakan makan minum secara percuma. Memang seronok sangat apatah lagi dengan berkenalan dengan ibu bapa lain yang turut menginap di sini," katanya. 


Tiborhana Alwi (kiri) gembira dapat menginap sementara di Masjid UPM sempena program Musafir Hana.


Bagi Jamal Ja'afar, 67, bapa seorang pelajar berkata dia bersyukur atas inisiatif yang diambil oleh UPM menyediakan penginapan dan makanan semasa menginap di Masjid UPM.

"Kami datang dari Batu Pahat, Johor dan tidak terlalu mengetahui selok belok di kawasan sekitar lagi pada musim pendaftaran pelajar baharu ini. 

"Jarak yang dekat dengan kampus memudahkan kami menghantar anak ke UPM dan jika ibu bapa tiada kenderaan, ada sukarelawan membantu menghantar untuk pendaftaran di kampus, " katanya. - KitaReporters


Jamal Jaafar (dua dari kiri) yang datang dari Batu Pahat, Johor bersyukur UPM mengadakan program Musafir Hana bagi membantu ibu bapa yang tiada tempat penginapan ketika menghantar anak mereka mendaftar di UPM.

14
13
0
10
0

Copy Link: