Diari Mama Masscom| Kembalikan jiwa prihatin, nilai murni! Hidupkan jiran muafakat bawa berkat!
Published byHari ini, kita hidup dalam dunia yang semakin bersifat individualistik. Pintu rumah ditutup rapat, hati pun ikut tertutup.
Kita kenal jiran sekadar angguk di pagar, sekadar senyum tawar, hi hi bye bye. semua itu bak kata orang hanya buat syarat bila kita bertembung dengan jiran-jiran.

Kita jarang ambil tahu kesukaran yang mereka hadapi. Kita asingkan diri kerana alasan tidak mahu digelar busy body (atau dituduh jaga tepi kain orang) dan mahu menjarakkan diri kerana sibuk dengan urusan harian kita.
Susah senang mereka bukan masalah kita.
Paling menyedihkan sehingga ada kes jiran meninggal dunia, pun mereka tak tahu, tetapi hanya disedari selepas berhari-hari, bila bau sudah merebak. Di mana kita ketika itu?
Kita selalu bercakap tentang masyarakat penyayang. Tapi realitinya, kita semakin jauh daripada nilai itu. Nilai-nilai murni yang tebal pada zaman mak ayah kita 50 tahun lalu kini sudah semakin terhakis.
Sifat bantu membantu dan prihatin semakin pudar. Jiwa masyarakat sekarang sudah semakin keras dan kering. Ramai yang hidup dengan mementingkan diri semdiri.
Sebenarnya banyak kebaikan yang kita boleh dapat kalau kita hidup berjiran dengan semangat muafakat dan saling bantu membantu. Banyak beban dan masalah boleh menjadi ringan.

Bayangkan jika dalam satu taman perumahan, suasana harmoni ini menjadi budaya mereka. Ada jiran yang sanggup bantu mandikan orang sakit, datang bergilir-gilir bantu temankan orang tua yang tinggal seorang diri.
Begitu juga yang masak lebih dan hantar pada penjaga pesakit, mereka datang ziarah sekadar bertanya khabar, hilangkan sunyi dan stres caregiver.
Ada juga yang datang melawat mereka yang sakit dan sedang berjuang menjaga pesakit. Ada juga aktiviti kecil, seperti jalan pagi sama-sama, duduk sembang sembang , beriadah membersihkan persekitaran kawasan perumahan dan minum pagi di taman kecil kawasan perumahan.
Tak perlu semua orang buat semua perkara tu. Cukup setiap orang ambil sedikit tanggungjawab menceriakan jiran-jiran. Ikut kemampuan masing-masing.
Bila semua orang ambil sedikit beban dan tanggungjawab, tiada siapa yang akan rasa terlalu berat, Semua itu akan lebih menyeronokkan.
Seperkara lagi, dalam rumah kita pasti ada anak-anak muda, yang masih menganggur. Mereka tu bukan ada kerja, siang malam menghadap telefon, menunggu peluang yang belum tentu datang.
Kenapa tidak kita libatkan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan dalam kejiranan mereka.
Tanam sifat berbuat baik dan kebajikan, ajak mereka bantu hantar makanan, temankan warga emas yang tinggal seorang, berbual dengan pesakit terlantar, tolong uruskan hal kecil jiran yang uzur seperti ke kedai beli barang atau tolong angkat kain jemoran bila dah kering bila hari nak hujan.
Mungkin bagi anak-anak muda ni apa yang mereka buat ini kecil, tapi secara tak langsung kita sebenarnya sedang membentuk jiwa mereka menjadi masyarakat prihatin tanpa mereka sedari. Malah kebaikan yang dibuat berulang kali, akan jadi kebiasaan.
Dari situ lahir generasi yang ada sifat empati, dan sentiasa prihatin pada orang lain dan masyarakat sekeliling. Mereka perlu dididik menjadi warga yang berguna bukan sekadar hidup untuk diri sendirii dan tidak bawak manfaat kepada masyarakat secara umum.

Menyentuh mengenai peranan masjid atau surau pula, tidak dinafikan masjid dan surau punyai peranan sangat penting dan sangat besar dalam menyatukan umat Islam.
Masjid dan surau bukan sekadar tempat solat dan mengaji. Ia adalah pusat komuniti, dan pusat sehenti kebajikan untuk menyantuni masyarakat setempat. Masjid dan surau juga memupuk semangat kejiranan dan mengukuhkan ukhuwah Islamiah sesama warga setempat.
Bayangkan kalau ahli-ahli masjid atau surau mula ambil langkah menyenaraikan jiran yang sakit atau tinggal sendirian. Mengatur jadual ziarah bergilir. Membuat kutipan kecil untuk bantu makanan atau keperluan kepada mereka yang sakit dan dlm kekurangan.
Masjid dan surau boleh lakukan aktiviti santai yang menghubungkan masyarakat dan mengimarahkan rasa tanggungjawab sesama manusia.
Dengan usaha begini pasti ramai masyarakat setempat dapat dibantu. Malangnya ada segelintir masyarakat yang rajin ke masjid atau surau tetapi tidak sedar jiran sebelah rumah kelaparan dan menderita sakit teruk dan bersendirian.

Justeru kita tidak perlu tunggu sistem besar berubah. Kita boleh mula buat perubahan dengan langkah kecil. Mulakan dengan menegur sapa jiran, bertanya khabar, hantar sedikit makanan serta luangkan sedikit masa menziarahi mereka yang sakit.
Keikhlasan kita hidup berjiran akan menjadikan suasana kehidupan lebih harmoni.
Perlu diingat masyarakat yang kuat bukan diukur pada kemajuan dan kecanggihan tempat tinggal mereka tetapi pada sejauh mana kita saling menjaga dan hidup dalam persekitaran yang tenang, harmoni dan sejahtera.
Kita tidak tahu mungkin satu hari nanti, kita pula diuji, ada tangan yang datang membantu dan menggembirakan kita.
Hari ini hari mereka, mungkin esok lusa pula hari kita yang perlulan bantuan.
Marilah sama-sama kembalikan jiwa prihatin dan nilai murni dalam masyarakat kita. - KitaReporters
