Kala kita mengenang nasib malang yang menimpa diri, jangan lupa ada insan lain yang lebih malang.  Adakalanya kesusahan yang menimpa, sebenarnya menjadikan kita lebih kuat dan rajin berusaha. Malang itu bukan dipinta. Ia datang sebagai tanda Allah SWT sayang dan mahu menguji insan terpilih.

Justeru, sambutlah ujian itu dengan hati yang lapang tanpa prejudis kepada Yang Maha Pemurah! Insya-Allah, bantuan itu pasti menjelma kerana ia tanggungjawab masyarakat terutama yang beragama Islam untuk saling membantu. Hulurkan tangan, ringankan beban.

Ujian demi ujian yang dilalui Rozana Sari Roslan, 49, seharusnya dikongsi agar beban dan masalah yang dilalui dapat dijinjing bersama. Bukan mengemis simpati namun andai dapat dibantu, tiada kata yang dapat diungkap selain rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga.


Rozana disahkan menghidap kanser dinding rahim pada tahun 2021 namun berjaya dibuang melalui pembedahan.


Menurut ibu dua anak berusia 15 dan 19 tahun ini, dia baharu sahaja pulih daripada kanser. Namun, disangkakan panas hingga ke petang, tetapi hujan di tengah hari. Disebabkan penyakit yang dihidapinya itu, dia diberhentikan kerja sebagai tenaga pengajar. Malah, bukan setakat itu, dia juga terpaksa menelan takdir dirinya juga mempunyai masalah jantung dan penyakit kronik yang lain.

Dalam upaya mengharungi ujian tersebut, rumah tangganya pula runtuh. Runtun hatinya bukan kepalang. 

Dia hanya mampu menyekat air mata yang tumpah sedangkan jiwa wanitanya terus merobek. Dia hanya mampu bersimpuh di sejadah, memohon dan mengadu kepada Allah SWT.

Kesan kanser yang baharu pulih, belum habis bisanya, terpaksa pula menanggung masalah lain. 

Ikutkan hati, ingin dia salahkan takdir. Tapi dia masih punya iman. Rozana bersyukur, sekurang-kurangnya Allah SWT telah kurniakan bakat memasak dan membuat kuih kepadanya. Itu juga nikmat yang harus disyukuri.


Rozana diberhentikan kerja kerana menghidap penyakit kronik.


"Saya disahkan ada kanser dinding rahim pada tahun 2021 dan melakukan pembedahan pada bulan Jun 2021. Saat dikhabarkan ada kanser, saya terkejut dan sedih sebab membayangkan umur tak panjang. Anak-anak pula masih belajar dan ketika ini rumah tangga saya sudah goyah. 

"Terfikir juga berapa kos yang perlu saya tanggung untuk melakukan pembedahan. Bagaimana saya nak cari duit. Kos pembedahan dalam RM40,000 lebih tapi disebabkan saya buat di hospital kerajaan, ia ada subsidi dan saya hanya kena bayar RM400 sahaja. Ketika berada di hospital, semua kos disumbang oleh adik-adik dan ayah saya.

"Alhamdulillah, selepas pembedahan, sel kanser saya sudah hilang namun saya kena buat rawatan susulan supaya tidak muncul di tempat lain pula. Ketika pembedahan inilah saya ditamatkan kontrak kerja sebagai tenaga pengajar di sebuah kolej di Puchong, Selangor.

"Baru-baru ni (2023), saya kena serangan jantung ringan. Sebelum ini saya ada rasa sakit pada bahagian dada tapi saya tak pergi ke hospital kerana banyak kekangan terutama kewangan.

"Pada tahun 2022, saya pernah mengalami trigger finger iaitu jari manis tangan kanan tidak boleh membengkok dengan sempurna dan menyebabkan saya tak boleh menggenggam dengan kuat. Akibatnya saya tak boleh pegang dan buat kerja dengan sempurna," ceritanya yang kini tinggal di Bentong, Pahang bersama dua orang anaknya.


Kos rawatan hospital dibayar dengan bantuan daripada adik-adik dan ayah.


Setelah hilang pekerjaan, resah Rozana semakin menekan. Tiada perkara lain yang bermain pada fikiran selain wang untuk menyara diri dan anak-anak. Bekas suaminya ada memberi nafkah kepada anak-anak tetapi ia tidak mencukupi.  Justeru, dia perlu melakukan sesuatu untuk menjana pendapatan.

Dia memerah kudrat dan menggunakan sepenuh bakat yang ada. Dia membuat kuih dan menghantar ke kedai-kedai serta menerima tempahan kek dan masakan. Dia juga merancang untuk berniaga walaupun tahu kesihatannya tidak begitu mengizinkan.

"Saya menyara diri dan anak-anak dengan membuat kuih dan hantar ke kedai-kedai. Kalau ada tempahan kek atau apa-apa masakan, saya akan buat. 

"Oleh kerana kadangkala kesihatan tidak begitu mengizinkan dan faktor umur yang sukar untuk mendapat pekerjaan, harapan untuk berniaga walaupun saya ambik produk orang sebagai ejen dan sebagainya, saya boleh membuat pekerjaan itu dengan kemampuan saya.


Kini Rozana menyara hidup dengan menjual kuih di kedai-kedai.


"Di samping itu, saya boleh menambah jumlah buatan kuih-kuih untuk dihantar ke kedai-kedai. Sekarang ni saya menghadapi kekangan modal untuk semua itu kerana terpaksa menanggung semua tanggungjawab sejak empat tahun lepas.

"Kalau saya boleh menambah pendapatan dengan cara ni, saya boleh bayar hutang-hutang yang terpaksa saya buat untuk kelangsungan hidup selama ini. Saya juga boleh bayar bil-bil tertunggak, membesarkan anak-anak dengan lebih baik. 

"Sekarang anak saya yang belajar di universiti pun saya tak bagi duit. Nak yang belajar di sekolah menengah pun kadang-kadang tiada duit belanja.

"Malah, adakalanya duit belanja dapur pun saya tiada. Biasanya saya hanya akan buat nasi goreng sahaja. Saya terpaksa berjimat untuk menampung perbelanjaan ulang alik ke hospital dan beli ubat-ubatan. Saya pun ada darah tinggi dan kencing manis. "Sepatutnya saya perlukan alat ukur kandungan gula dan tekanan darah di rumah untuk pengawalan tapi tiada bajet untuk itu," akhirinya.

Bagi sesiapa yang sudi membantu Rozana dan anak-anak, anda boleh salurkan sumbangan tersebut ke akaun CIMB bernombor 7035282794. Semoga bantuan anda itu dapat meringankan masalah keluarga ini. - KitaReporters

Demi anak-anak, Rozana kuatkan semangat untuk mencari rezeki.

24
19
4
30
0

Copy Link: