Syabas! Pelajar Asasi POLIMAS cipta Inovasi Penghadang Jalan Lestari! Gunakan bahan kitar semula!
Published by
Siapa sangka, di sebalik buku teks dan dewan kuliah, pelajar peringkat asasi mampu mencetuskan revolusi dalam keselamatan jalan raya.

Muhammad Faiz Mohd Fatil dan Aqil Farhan Mohamad Fadli (kanan) menerima anugerah emas hasil ciptaan mereka berdua.
Itulah yang
dibuktikan oleh dua pelajar dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
(POLIMAS) yang berjaya merangkul Anugerah Emas Projek Terbaik dalam Innovation
Challenge (Cabaran Inovasi) 2026, di POLIMAS, Jitra, Kedah pada 28 April 2026.
Membawa idea
luar kotak menerusi Inovasi Penghadang Jalan Lestari, pasangan Muhammad Faiz
Mohd Fatil dan Aqil Farhan Mohamad Fadli berjaya mencuri tumpuan juri.
Prototaip
tersebut bukan sahaja dibina menggunakan bahan kitar semula, malah dilengkapi
sistem sensor pintar yang mampu memberi maklum balas awal bagi mengurangkan
risiko kemalangan maut.
"Kami mahu selesaikan isu keselamatan penghadang jalan sedia ada yang sering mendatangkan risiko tinggi kepada pemandu.
"Dengan gabungan elemen hijau dan teknologi sensor, kami harap inovasi ini dapat menyelamatkan nyawa pada masa hadapan," kata kedua-dua pemenang ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Platform sulung Pencarian Genius Tempatan, pertandingan yang berlangsung meriah yang
diadakan di Student Mall POLIMAS itu merupakan edisi sulung yang dikhaskan buat
pelajar program Asasi Kejuruteraan.
Menurut
Ketua Jabatan Sains dan Matematik, Syukrul Hassani Jamaludin, kejayaan
penganjuran kali pertama ini membuktikan pelajar asasi mempunyai potensi besar
untuk bergelar pencipta teknologi, bukan sekadar pengguna.
Sementara
itu, Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) POLIMAS, Hamizi Yahya menyifatkan program ini sebagai nadi kepada
budaya reka cipta di peringkat awal pengajian.
"Kita
bukan hanya mahu melahirkan graduan yang menerima teori, tetapi kita mahu
jurutera masa depan yang berani berinovasi dan kompeten selari dengan kehendak
industri.
Apa yang dipamerkan oleh pelajar-pelajar ini adalah satu anjakan paradigma dalam dunia TVET," katanya.

Innovation Challenge 2026 menyaksikan pelbagai prototaip futuristik dipamerkan, rata-ratanya memfokuskan kepada elemen kelestarian dan kecekapan teknologi.
Kejayaan luar biasa para peserta asasi ini sekali gus memberi isyarat jelas bahawa bakat-bakat muda dalam bidang sains dan teknologi kini sudah bersedia untuk menerajui dunia inovasi negara. - KitaReporters
