Erti sebuah rumah? Bukan sekadar tempat kita tinggal! Tempat yang tetap tinggal di dalam hati kita!
Published byAda kenangan yang datang seperti angin laut di pelabuhan lama yang perlahan, lembut, tetapi membawa bau masa silam yang panjang.
Apabila saya membaca berita tentang rakyat New Zealand yang semakin ramai meninggalkan tanah air mereka untuk berhijrah ke Australia, England atau Amerika Syarikat, hati saya tersenyum sendirian.

Peta New Zealand
Bukan kerana gembira melihat penghijrahan itu, tetapi kerana berita itu membuka kembali lembaran hidup saya sendiri, seorang anak Malaysia yang pernah dua kali ditawarkan menjadi penduduk tetap New Zealand, namun kedua-duanya saya tolak dengan penuh sedar. Sebelum tawaran dari kerajaan Kanada.
Saya mengenang kembali hari-hari saya di University of Waikato, di bandar tenang Hamilton. Kampus itu bukan sekadar tempat saya menuntut ilmu; ia juga tempat saya belajar memahami dunia.
Di situlah saya mula mengenali masyarakat Maori, penduduk asal tanah Aotearoa dan
nama lama bagi New Zealand.
Setelah tamat pengajian, kerajaan New Zealand menawarkan saya peluang untuk menjadi penduduk tetap. Tawaran itu bukan kecil.
Bagi seorang graduan muda dari Malaysia yang ketika itu belum mempunyai pekerjaan tetap, peluang itu seolah-olah membuka pintu kehidupan baharu di sebuah negara yang terkenal dengan keamanan, keindahan alam, dan sistem sosial yang tersusun. Namun saya menolaknya.

Queen Charlotte

Abel Tasman
Ramai rakan saya dari kepulauan New Zealand terkejut. Ada yang menggeleng kepala. Ada yang berkata saya terlalu sentimental. Tetapi bagi saya ketika itu, hati saya masih tertambat kepada Malaysia.
Saya ingin pulang atas permintaan keluarga. Walaupun belum ada pekerjaan menanti, saya tetap mahu kembali ke tanah air sendiri dan anugerah biasiswa yang telah membuka peluang untuk ke Aotearoa.
Begitulah sifat manusia kadang-kadang kita memilih sesuatu yang tidak
rasional pada pandangan dunia, tetapi rasional di dalam hati.
Beberapa tahun kemudian, kehidupan membawa saya jauh ke padang pasir Timur
Tengah. Saya bekerja di Dubai,
sebuah kota yang bangun dari pasir menjadi metropolis global. Di sana saya
bertemu ramai warga dunia. Arab, Eropah, India, Filipina, dan juga beberapa
orang dari New Zealand.
Suatu hari, peluang lama itu muncul kembali.

Gunung Taranaki
Melalui jaringan kenalan lama dan majikan antarabangsa, sekali lagi saya
ditawarkan peluang untuk menjadi penduduk tetap New Zealand. Kali ini keputusan
saya berbeza sebabnya, tetapi hasilnya tetap sama walau bersetuju pada awalnya
tetapi saya menolak.
Bukan kerana tidak menghargai peluang itu. Tetapi ketika itu gaji di Dubai jauh lebih tinggi, dan tanggungjawab kehidupan menuntut saya memilih jalan yang lebih praktikal.
Saya sudah berada di tengah-tengah dunia perdagangan global. Kehidupan di Dubai memberikan peluang ekonomi yang jauh lebih luas daripada sebuah negara kecil di Pasifik Selatan.
Maka sekali lagi, saya melepaskan peluang yang bagi ramai orang dianggap
seperti tiket emas.
Ramai rakan saya membuat pilihan yang berbeza. Mereka menerima PR dan menetap di New Zealand.
Hari ini mereka hidup tenang di Auckland, Hamilton, Wellington, Christchurch, Dunedin, atau
bandar-bandar kecil yang damai di negara itu. Ada yang menjadi warga negara
penuh. Anak-anak mereka kini bercakap dengan loghat Kiwi yang pekat.
Kadang-kadang kami saling bertanya secara bergurau: “Siapa yang membuat
keputusan lebih baik?”
Jawapannya selalu sama dan kehidupan tidak pernah memberi satu jawapan yang mutlak.

Tasik Wanaka
Namun ada satu perkara yang selalu menarik perhatian saya sejak dahulu: Fenomena penghijrahan orang New Zealand sendiri. Orang Kiwi terkenal sebagai bangsa pengembara.
Mereka mempunyai istilah sendiri yang popular, iaitu “Big OE” iaitu Overseas Experience (pengalaman seberang laut). Ramai anak muda mereka akan merantau ke London, Australia atau Eropah selama beberapa tahun sebelum pulang.
Hari ini fenomena itu berubah. Bukan lagi hanya anak muda yang pergi.
Golongan berumur 30 hingga 50 tahun yang sudah mempunyai kerjaya dan keluarga
juga semakin ramai meninggalkan New Zealand.
Sebahagian besar menuju ke Australia,
terutama ke bandar seperti Melbourne
atau Sydney. Di sana gaji lebih
tinggi, peluang pekerjaan lebih luas, dan kos hidup kadang-kadang lebih rendah.
Apabila saya membaca statistik bahawa hampir 60% penghijrah New Zealand memilih Australia, saya tidak terkejut. Hubungan antara kedua negara itu memang unik. Warga New Zealand boleh bekerja dan menetap di Australia dengan relatif mudah.

Pulau Urupukapuka
Namun di sebalik fenomena itu, saya selalu memikirkan satu persoalan yang lebih mendalam: mengapa orang Maori jarang kita dengar berhijrah secara besar-besaran seperti orang Kiwi keturunan Eropah?
Sudah tentu ada orang Maori yang berhijrah. Malah saya pernah mempunyai seorang sahabat Maori ketika bekerja di Dubai.
Dia seorang lelaki yang periang dan sangat bangga dengan warisannya. Anehnya, dia bukan penduduk New Zealand lagi. Dia telah menjadi penduduk tetap Australia.
Kami pernah berbual panjang suatu malam selepas kerja. Dia berkata sesuatu yang saya tidak pernah lupa: “Tanah itu bukan sekadar tempat tinggal. Ia adalah identiti.”
Bagi masyarakat Maori, tanah bukan sekadar aset ekonomi. Ia adalah warisan nenek moyang, tempat roh leluhur, tempat sejarah hidup mereka. Mungkin kerana itulah ikatan mereka dengan bumi New Zealand lebih kuat daripada kebanyakan masyarakat moden.

Cape Reinga
Bagi orang seperti saya anak Malaysia yang pernah belajar dan bekerja di New Zealand dan bekerja hampir dua puluh tahun di Timur Tengah, konsep “rumah” akhirnya menjadi sesuatu yang lebih luas.
Rumah bukan lagi sekadar alamat. Rumah adalah kenangan. Rumah adalah bahasa
yang kita gunakan ketika bergurau. Rumah adalah makanan yang kita rindui ketika
berada ribuan kilometer jauh dari tanah asal.
Apabila saya membaca kisah keluarga bekas Perdana Menteri New Zealand, juga bekas siswazah Universiti Waikato, Jacinda Ardern yang meninggalkan Wellington untuk memulakan hidup baharu di Melbourne, saya tidak melihatnya sebagai pengkhianatan kepada tanah air.
Saya melihatnya sebagai kisah lama manusia, kisah perpindahan, harapan, dan pencarian kehidupan yang lebih baik. Manusia sentiasa bergerak.

Catheral Cove
Namun setelah menempuh perjalanan panjang merentasi lebih empat puluh negara, bekerja hampir dua dekad di Timur Tengah, dan akhirnya kembali ke Malaysia sebagai seorang warga emas yang kini hidup perlahan selepas diserang strok, saya menyedari satu perkara yang sederhana tetapi mendalam.
Dalam hidup, kita mungkin menolak banyak peluang. Saya menolak dua peluang
menjadi penduduk tetap New Zealand dan sekali ke Kanada.
Namun saya tidak pernah menolak kenangan yang diberikan oleh New Zealand dan
Kanada kepada saya.
Di padang hijau Hamilton, di kafe kecil kampus Waikato, di perbualan dengan
rakan Maori yang penuh tawa, dan di langit selatan yang luas tanpa sempadan semuanya
masih hidup dalam ingatan saya.
Dan mungkin itulah makna sebenar rumah. Rumah bukan sekadar tempat kita tinggal. Rumah adalah tempat yang tetap tinggal di dalam hati kita, walaupun kita telah pergi jauh. - KitaReporters


Hobbiton
