Tahap membimbangkan! Kesihatan mulut rakyat! Guardian perhebat pendidikan awam penjagaan mulut!
Published byTahap kesihatan mulut rakyat Malaysia masih berada dalam keadaan membimbangkan apabila majoriti golongan dewasa dilaporkan mengalami masalah karies gigi, sekali gus mencetuskan keperluan mendesak untuk memperkukuh kesedaran dan amalan penjagaan sejak awal.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa 2020 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 85.1 peratus individu dewasa mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah melibatkan gigi rosak, hilang atau ditampal.
Statistik ini menunjukkan walaupun terdapat sedikit penurunan, usaha lebih menyeluruh masih diperlukan bagi mencapai sasaran bebas karies menjelang 2030 seperti yang digariskan dalam pelan strategik kesihatan mulut negara.
Sehubungan itu, bersempena sambutan Hari Kesihatan Oral Sedunia yang diraikan setiap 20 Mac, Guardian Malaysia tampil mempergiat inisiatif pendidikan awam dengan menganjurkan acara atrium khas di 1Utama, Petaling Jaya bermula 31 Mac hingga 5 April 2026, selain turut berlangsung di Mid Valley Southkey, Johor Bahru.
Program ini mendapat sokongan Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) dan Persekutuan Pergigian Dunia (FDI), selari dengan aspirasi nasional dalam mempertingkat tahap kesihatan mulut rakyat.

Melalui pendekatan lebih interaktif, Guardian Malaysia menekankan bahawa penjagaan oral atau mulut tidak boleh lagi dilihat sebagai rutin asas semata-mata, sebaliknya perlu dianggap sebagai komponen penting dalam kesejahteraan keseluruhan.
Pengarah Pemasaran Guardian Malaysia, Singapura dan Brunei, Anna Ng melaporkan bahawa masih ramai yang memandang ringan kepentingan kesihatan mulut walaupun ia mempunyai kaitan langsung dengan penyakit serius seperti diabetes dan penyakit jantung.
Beliau menjelaskan bahawa pengabaian terhadap aspek tersebut boleh membawa kesan jangka panjang yang lebih serius, justeru pendidikan dan amalan pencegahan perlu diperkasakan dalam kalangan masyarakat.
Acara yang berlangsung selama seminggu itu menyediakan pelbagai pengalaman interaktif termasuk zon ‘Bina Senyuman Memikat’, ‘Lindungi Mulut Anda’ dan ‘Serlahkan Keyakinan’ yang direka bagi mendidik pengunjung tentang teknik penjagaan mulut yang betul serta kepentingan membina tabiat harian yang sihat.
Berkongsi lanjut, Pengarah Urusan Guardian Malaysia, Priscilla Wu berkata, inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam memperluas peranannya sebagai rakan kesihatan yang dipercayai oleh rakyat Malaysia.
“Melalui platform ini, kami ingin memperkasakan masyarakat agar menjadikan penjagaan kesihatan mulut sebagai benteng utama dalam mencegah masalah pergigian,” jelasnya pada majlis pelancaran “World Oral Health Day’ (Hari Kesihatan Oral Sedunia) yang berlangsung di 1 Utama, pada 31 Mac 2026.

Turut hadir antaranya Presiden MDA, Dr Chong Zhen Feng; Ketua Jabatan Pergigian, Hospital Angkatan Tentera 94, Terendak, Brigedier Jeneral (Dr) Hafizuddin Hassan; Pengarah Bahagian Dasar Kesihatan Pergigian dan Perancangan Strategik Program Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Habibah Yacob @ Ya'akub; dan Dekan, Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sungai Buloh, Prof. Madya Dr Mas Suryalis Ahmad serta Pakar Penjagaan Mulut Pengurusan Pemasaran dari syarikat kesihatan Haleon, Cheryl Fong, yang bersama-sama menyumbang kepakaran dalam menjayakan program tersebut.
Dalam pada itu, Dr Chong menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai satu langkah proaktif dalam mendekati masyarakat secara langsung melalui pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah menyediakan akses kepada pemeriksaan gigi percuma, ceramah kesihatan serta konsultasi bersama pakar sepanjang minggu,” katanya.

Antara aktiviti-aktiviti interaktif yang disediakan.
Sepanjang acara berlangsung, pemeriksaan dan konsultasi pergigian percuma disediakan di ruang khas bermula jam 12 tengah hari hingga 6 petang pada 31 Mac serta dari 3 hingga 5 April 2026.
Pelbagai aktiviti pentas turut diadakan pada hujung minggu dengan pengisian daripada jenama penjagaan mulut terkemuka.
Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perubahan sikap masyarakat dalam melihat kepentingan kesihatan mulut, sekali gus menyumbang ke arah kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti.
Orang ramai diseru merebut peluang menyertai acara tersebut sambil mempelajari amalan penjagaan mulut yang betul demi mencapai kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti. - KitaReporters

Dari kiri: Dr. Chong Zhen Feng, Dr. Habibah Yacob, Priscilla Wu, Dr. Hafizuddin Hassan, Dr. Mas Suryalis Ahmad dan Cheryl Fong. di majlis pelancaran Hari Kesihatab Mulut Sedunia di 1 Utama baru-baru ini.
