Kenyataan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akaun Facebook pada 23 Ogos 2023


Semalam (22 Ogos 2023) saya telah menghadiri Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Kedua di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Dalam mesyuarat tersebut, Kerajaan telah menetapkan bahawa pelaburan langsung domestik (DDI) sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menjana jumlah pelaburan negara sebagai satu usaha bagi merancakkan landskap pelaburan negara.
Kerajaan, khususnya melalui MITI komited untuk sentiasa mengimbangi kedua-dua pelaburan langsung asing (FDI) dan DDI bagi merangsang pembangunan yang lestari dan seimbang di seluruh negara.
Kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting bukan sahaja bagi menjana pertumbuhan KDNK yang mampan, tetapi juga bagi memperkasa ekosistem ekonomi domestik dalam menghadapi pelbagai tantangan global, termasuk ancaman perubahan iklim, serta pelbagai cabaran pascapandemik dan geopolitik yang telah mengesankan rantaian bekalan, harga bahan mentah meningkat dan kadar inflasi global yang tinggi.
Pelaburan DDI yang strategik juga berpotensi untuk menarik lebih FDI kerana pelabur asing sentiasa menganggap DDI sebagai penanda aras bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap kebijakan Kerajaan bagi memantapkan landskap pelaburan dan perniagaan negara.


Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan peningkatan DDI, namun Kerajaan berpendapat bahawa usaha meningkatkan DDI perlu lebih menyeluruh. 

Sehubungan itu, mesyuarat MPN semalam juga menekankan salah satu mesej Ekonomi Madani yang diumumkan pada 27 Julai 2023 iaitu mengenai betapa pentingnya kerjasama dan pembabitan strategik oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk memperkasa DDI.

MPN mengakui bahawa DDI dan FDI mempunyai kebergantungan antara satu sama lain dan saling melengkapi. FDI penting bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi manakala DDI penting bagi memperkukuh ekonomi negara.
Bagi tahun 2022, sejumlah RM267.7 bilion pelaburan daripada 4,517 buah projek yang diluluskan dari pelbagai sektor ekonomi (sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama) di Malaysia yang akan menjana sebanyak 140,440 peluang pekerjaan. DDI menyumbang sebanyak RM104.4 bilion (38.9%) kepada jumlah ini. 

Manakala bagi suku pertama 2023, nisbah FDI:DDI adalah 52.5% bagi FDI dan 47.5% bagi DDI, dari komitmen pelaburan berjumlah RM71.4 bilion (peningkatan 59.7% tahun-ke-tahun). Peningkatan nisbah DDI mencerminkan peningkatan keyakinan syarikat dan perniagaan tempatan terhadap kebijakan Kerajaan.

Mesyuarat MPN kedua ini juga antara lain turut membincangkan mengenai mekanisme terbaik dalam memperkemas landskap Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara menjelang 1 Januari 2024. Sehubungan itu, MPN juga memutuskan bahawa Jawatankuasa Koordinasi Pelaburan antara MITI dan kesemua IPA akan diaktifkan semula. 

11
11
0
10
0

Copy Link: