Kes rayuan bekas kakitangan Utusan Melayu (M) Bhd! Mahkamah luluskan pemohonan teruskan perbicaraan!

Published by
KitaReporters

Kredit foto: The Edge


MAHKAMAH Persekutuan pada 29 April 2024 meluluskan pemohonan untuk meneruskan perbicaraan kes rayuan bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas syarikat ditutup ke mahkamah tersebut.

Menurut kenyataan daripada peguam bekas kakitangan, antara isu yang akan diputuskan di Mahkamah Persektuan nanti adalah sama ada rujukan yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia di bawah seksyen 20(3) Akta Perusahaan 1947 tertakluk kepada kebenaran di bawah seksyen 451(2) Akta Syarikat 2016.

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2024 diputuskan oleh tiga panel hakim iaitu Tan Sri Abdul Rahman Sebli, Datuk Nordin Hasan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Bekas pekerja Utusan diwakili firma Tetuan Mazri Halim & Partners, yang diwakili peguam Tan Chong Lii, Abd Halim Abdul Karim & Tuan Earn Yee, sementara Tetuan Dennis Nik & Wong yang diwakili

peguam Rajvinder Singh, Adhilani Jusoh @ Jusoh & Sera Foong mewakili UHY Advisory (Utusan Melayu).


Kredit foto: MalaysiaKini


“Berikutan keputusan pada hari ini, kita akan meneruskan dengan rayuan substantif ke Mahkaman Persekutuan bagi menentukan hak bekas pekerja Utusan yang ditamatkan perkhidmatan untuk meneruskan tuntutan mereka di Mahkamah Perusahaan,” kata Abd Halim dalam satu kenyataan.

Wakil pekerja, Saifol Bakhtiar Hamik berkata, keputusan mahkamah ini memberi sedikit cahaya kepada perjuangan bekas kakitangan yang telah berlangsung hampir lima tahun tanpa sebarang keputusan positif.

“Ia akan membuka ruang untuk meneruskan proses keadilan tuntutan pampasan kepada bekas pekerja, bukan sahaja bekas kakitangan Utusan tetapi juga bekas pekerja syarikat-syarikat lain,” katanya.

Beliau yang mewakili lebih 200 bekas kakitangan Utusan berkata, bekas pekerja berharap Mahkamah Persekutuan menerima rayuan dan keputusan tersebut untuk dijadikan rujukan “precedent” bagi kes yang sama, seterusnya membuka ruang keadilan dan memudahkan kepada bekas pekerja membuat tuntutan di Mahkamah Perusahaan.

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, syarikat yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! dan beberapa majalah terkenal telah menutup operasi syarikat ekoran pengulungan sukarela pada Oktober 2019 dan syarikat telah diambil alih oleh pelikuidasi UHY Advisory (KL) Sdn. Bhd. untuk proses penutupan sepenuhnya.

Keadaan tersebut menyebabkan lebih 800 pekerja telah ditamatkan perkhidmatan dalam masa 24 jam tanpa sebarang bayaran pampasan yang mana bermulalah proses tuntutan pampasan yang bermula di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.

Maka, lebih 300 bekas kakitangan telah memulakan proses memohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk membicarakan kes mereka di Mahkamah Perusahaan. - KitaReporters/Kenyataan Media


8
18
0
9
0

Copy Link: