SA Fitra Sdn. Bhd., sebuah syarikat penyedia kandungan digital dan animasi, menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran Jepun mulai tahun 2020. : KitaReporters.com

Azmawati Mohd. Lazim (kiri) bergambar dengan Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof selepas Majlis Enterprise 50 Award Programme 2019. 


Pengarah Eksekutifnya, Azmawati Mohd. Lazim berkata, bahan kandungan keluaran syarikat itu berjaya menembusi pasaran digital di Jepun apabila SA Fitra diminta memenuhi permintaan kandungan animasi tentang produk halal untuk dipaparkan pada Olyimpik 2020 di Tokyo.

Selepas Olimpik 2020, SA Fitra memperuntukkan pelaburan sebanyak RM2 juta bagi meneruskan rancangan mempromosikan kandungan halal digital untuk pasaran Jepun menerusi penyertaannya dalam Kansai World Expo 2025. 

"SA Fitra komited dalam menerajui initiatif mempromosikan kandungan digital tentang produk halal terutama dalam memenuhi keperluan Olimpik 2020 di Jepun," katanya selepas menerima Anugerah Pemasaran Digital di Majlis Enterprise 50 Award Programme 2019 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada Selasa (26/11/2019) lalu.

Majlis anjuran SME Corp itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.

Pada majlis berkenaan, Azmawati menerima anugerah tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Noor Azmi Mat Said. Turut hadir Pengarah Urusan Delloite Malaysia, Yee Wing Peng.

Seramai 50 pemenang dipilih untuk menerima pelbagai anugerah dalam majlis itu berdasarkan kecemerlangan kewangan, kecekapan operasi dan pengurusan. 

Syarikat-syarikat terbabit dinilai secara terperinci termasuk dalam teknologi inovasi sejajar dengan keperluan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Azmawati memberitahu, SA Fitra telah menerima maklum balas yang menggalakkan daripada pihak industri di Jepun sejak 2018 apabila ia mula-mula bertapak di negara matahari terbit itu menerusi delegasi MATRADE dalam mempromosikan industri halal.

Sebagai syarikat yang memiliki hak eksklusif dalam membangunkan kandungan animasi dan digital untuk JAKIM bagi Halal Icon, SA Fitra telah mendapat beberapa projek baharu dengan syarikat Jepun.

"Kita telah memperoleh projek baharu dalam initiatif halal. Ketika ini kita sedang dalam memuktamadkan kolaborasi dengan Government of Fukushima Prefecture bagi mempromosikan produk halal Malaysia," jelasnya.

Beliau berkata, SA Fitra turut berterima kasih dengan sokongan daripada JAKIM, MITI dan Kementerian Pembangunan Usahawan dalam membantu syarikat itu menembusi pasaran antarabangsa khususnya Jepun.

Katanya, sijil halal Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dari segi pengiktirafan masyarakat antarabangsa. 

"Dengan mempromosikan produk dan perkhidmatan halal melalui kandungan digital seperti animasi, maka ia telah memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam industri ini di Jepun.

"Memanfaatkan pemasaran digital adalah cara terbaik pada waktu ini untuk memperkenalkan apa itu produk halal kerana Malaysia juga sudah terkenal di dunia dari segi penyedia bahan-bahan kandungan digital," kata Azmawati.

Azmawati Mohd. Lazim menerima menerima Anugerah Pemasaran Digital pada Majlis Enterprise 50 Award Programme 2019 daripada Azmi Mat Said (tengah) di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini.



1
0
0
0
0

Copy Link: