Malaysia mencatat sejarah apabila pasangan Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif diijabkabulkan secara dalam talian pada 18 April 2020. - Kredit foto: alhijrahnews.com


Belajar secara online (dalam talian) sudah, bermesyuarat secara online pun sudah malah menikah secara online juga kini menjadi perkara biasa sejak dunia dilanda pandemik Covid-19. Itulah yang dinamakan hidup dalam norma baharu.

Kini, satu lagi trend baharu muncul dan semakin diterima pakai sebagai jalan pemudah apabila majlis pertunangan pun dilangsungkan secara dalam talian.

Melalui kaedah ini, pihak rombongan lelaki tidak perlu lagi berbondong-bondong berkunjung ke rumah pihak perempuan untuk meminang si gadis, sebaliknya hanya duduk di rumah masing-masing dengan kedua-dua pihak berinteraksi serta berbincang mencari persepakatan melalui maya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pernikahan online



Apa yang menarik, ‘rombongan’ keluarga kedua-dua pihak yang ingin turut serta atau mahu mengikuti perjalanan majlis itu boleh melakukannya walaupun mereka berada jauh sama ada di utara, selatan, timur, barat mahu pun di luar negara dengan hanya ‘berpaut’ pada pautan (link) yang disediakan.

Berkongsi pengalaman pertama melangsungkan pertunangan anak lelakinya, Muhammad Syakir Abd Rasip dengan gadis pilihan, Emilia Farhana Hassan secara dalam talian, Suraiya Mohd Nor ternyata teruja dengan kaedah baharu itu walaupun terpaksa melanggar tradisi serta adat peminangan masyarakat Melayu.

“Pada awalnya, saya sendiri tak dapat ‘blend’ macam mana perjalanan majlis pertunangan secara online kerana ia tidak pernah dibuat orang.


Majlis pertunangan antara Syakir dan Emilia secara dalam talian berjalan lancar. - Kredit video: Suraiya Mohd Nor


“Majlis pertunangan online? Biar betul? Otak belum dapat mena'akul hajat yang disampaikan oleh Syakir. Buat seketika, saya jadi keliru dan tak mampu nak fikir bagaimana ia akan dilangsungkan.

“Yalah, kita sudah terbiasa dengan adat serta tradisi peminangan orang Melayu, ada rombongan, ada tepak sirih, ada bekas hantaran, ada acara sarung cincin pertunangan tapi bagaimana semua itu mahu dilakukan jika ia dilangsungkan secara online?

“Kemudian, Syakir tunjukkan saya video contoh pasangan lain yang sudah melangsungkan pertunangan secara online tapi saya masih ragu-ragu.

“Sesuaikah majlis seumpama itu diadakan secara online? Saya biasa guna Zoom ataupun Google Meet ketika menghadiri seminar, bengkel ataupun mesyuarat tetapi majlis tunang, boleh ke?

“Cabaran utamanya adalah gangguan suara. Bagaimana mengawal hadirin yang hadir dan berbincang dalam talian? Jika bersemuka, ia lebih mudah.

“Tapi, selepas diyakinkan, melihat pula keadaan Covid yang belum reda, tiada cara lain selain mengadaptasi kaedah baru ini.


Pihak lelaki yang terdiri daripada Suraiya (dua dari kanan); suaminya, Abd Rasip (tiga dari kanan); dan ahli keluarga lain sedang berinteraksi dengan pihak keluarga perempuan melalui kaedah dalam talian. - Kredit foto: Suraiya Mohd Nor.


“Keadaan pandemik membataskan pergerakan. Lagipun Klang masih zon merah. Rentas negeri belum dibolehkan. Buah hatinya (Syakir) tinggal di Gombak bersama kakaknya sementara ibu bapa pihak perempuan pula di Kuantan. Justeru tiada pilihan lain kecuali cara ini,” kata Suraiya yang menetap di Klang, Selangor.

Namun tempoh dua minggu untuk membuat persiapan sebaik sahaja anaknya menyatakan hasrat adalah satu cabaran kepada Suraiya. Banyak persediaan perlu dibuat, bermula dengan merangka dan merancang majlis, persediaan kelengkapan barang hantaran, menghebahkan kepada saudara-mara terdekat dan melantik jurucakap.

Selain itu, mereka perlu menyediakan juadah untuk keluarga setempat, juga untuk keluarga di luar kawasan, semuanya perlu diuruskan dalam tempoh itu.

Pun begitu, dengan adanya telefon pintar dan aplikasi dalam talian, semua dapat dibereskan dengan sempurna.

“Untuk hantaran, semua saya pesan saja dalam talian. Bunga hiasan, kain pembalut, kertas racik, kotak barang kemas, kotak sembunyi hantaran sehinggakan cincin tunang, saya ‘order’ dan minta dihantarkan ke rumah.

“Saya pilih konsep ‘hidden’ hantaran kerana barangan ini akan dihantar menerusi Grab. Masukkan semuanya dalam kotak, bungkus dengan kain. Tiada siapa yang tahu apa isi di dalamnya.


Syakir bersama barang-barang hantaran untuk pihak perempuan. - Kredit foto: Suraiya Mod Nor.


“Meskipun pertunangan maya, majlis tetap majlis. Mesti ada juadah untuk menjamu selera. Sekali lagi saya gunakan kemudahan di hujung jari dengan memesan hidangan keluarga baik di rumah sendiri ataupun hidangan untuk adik-beradik yang tinggal di luar kawasan.

“Untuk makanan keluarga di Pontian, Simpang Pulai, Titi Gantung, Kuantan dan Jengka, saya minta anak perempuan, Iqa (Nor Afiqah) untuk uruskan. Dia yang cari katering bersesuaian menu pilihan dan pembayaran dibuat dalam talian.

“Masa penghantaran makanan ditetapkan tidak lewat daripada 12.30 tengah hari agar kami boleh menikmati juadah secara dalam talian beramai-ramai. Tidak dapat berjumpa secara fizikal, kami bersama melalui alam maya,” ujar Suraiya.


Anggun berseri Emilia Farhana pada majlis pertunangan dengan Syakir yang berlangsung secara maya. - Kredit foto: Suraiya Mohd Nor.


Tiba, hari pertunangan pada 11 pagi, Sabtu, 28 Ogos, 2021, keluarga kedua-dua pihak bertemu melalui alam maya untuk melangsungkan majlis.

Selain keluarga Suraiya di Klang yang terdiri daripada dirinya; suami, Abd Rasip Mohd Elias; dan anak mereka, Syakir serta abang iparnya, Abd Razak Mohd Elias yang bertindak sebagai jurucakap dan isterinya, ‘rombongan peminangan’ itu turut disertai kira-kira 70 ahli keluarga lain.

“Mereka di rumah masing-masing tapi dapat mengikuti majlis itu secara langsung seolah-olah kami berkumpul dalam satu majlis secara fizikal.

“Begitu juga dengan pihak perempuan. Apa yang unik, ibu bapa serta wakil mereka sebagai jurucakap pertunangan itu berada di Kuantan sedangkan bakal tunang anak saya pula berada di rumah kakaknya di Kuala Lumpur tapi melalui kaedah dalam talian, semua itu menjadi tidak mustahil.

“Malah seperti kami, ramai juga ahli keluarga mereka yang mengambil bahagian dalam majlis ini,” katanya.


Ahli keluarga yang tinggal jauh turut dapat mengikuti perjalanan majlis pertunangan itu secara maya dari kediaman masing-masing. - Kredit foto: Suraiya Mohd Nor.


Walaupun pertunangan itu dilangsungkan secara dalam talian, namun Suraiya tidak ketepikan terus adat sebaliknya tetap dijaga dan disuburkan apabila pihak lelaki dan perempuan masih saling bertukar hantaran dengan tujuh dulang berbalas tujuh.

“Semuanya dipermudahkan dengan adanya khidmat penghantaran. Pihak kami memilih pemandu Grab yang dikenali agar mudah dan yakin hantaran itu sampai ke destinasi.

“Pihak perempuan menggunakan perkhidmatan Grab secara rawak. Alhamdulillah barang hantaran mereka juga selamat kami terima. Tidak perlu rasa bimbang, niat murni membina masjid pasti Allah permudahkan cara,” kata Suraiya.

Untuk upacara menyarung cincin, Suraiya mewakilkan kepada kakak Emilia untuk menyempurnakannya. Syakir Abd Rasip dan Emilia Farhana Hassan selamat ditunangkan.


Selesai majlis, mereka meraikan dengan makan serentak secara dalam talian dengan semua ahli keluarga yang berada di rumah masing-masing. - Kredit foto: Suraiya Mohd Nor.


Tidak lengkap majlis tanpa jamuan. Dalam banyak acara majlis makanan pasti akan disajikan kepada tetamu. Begitu juga pada majlis pertunangan Syakir dan Emilia.

Selepas selesai majlis, Suraiya dan seluruh ahli keluarga makan beramai-ramai di kediaman masing-masing secara berkongsi skrin. Menikmati juadah yang hampir sama, pada waktu yang sama di tempat berbeza.

Dekat tetapi jauh. Ada yang tinggal di Pontian, Kuantan, Cheras, Simpang Pulai, Titi Gantung, Meru, Jengka, Shah Alam, Bukit Jalil, Puchong dan Suraiya di Klang.

Makanan menyimpulkan yang dekat dan mengeratkan yang jauh. Menghidupkan kembali resam keluarga makan beramai-ramai meskipun hanya secara maya.

“Alhamdulillah semua selesai dan berjalan lancar. Ia adalah pengalaman baharu yang akan menjadi sejarah kepada keluarga saya terutama kepada Syakir dan Emilia. 

"Saya dapat simpulkan majlis sebegini lebih sempoi, mudah dan menjimatkan,” ujar Suraiya yang ternyata lega kerana majlis berjalan lancar. – KitaReporters


Kredit foto: FB Suraiya Mohd Nor

13
0
0
1
0

Copy Link: