Bagi menggalakkan pemakanan sihat dalam kalangan rakyat bagi mengurangkan kes penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis serta obesiti, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengedarkan buku resipi Mai Kurang Gula Garam dan Kalori di tempat-tempat kerja.


Dr. Dzulkefly Ahmad (kanan) memberi tanda bagus selepas mencuba juadah yang disediakan.


Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, buku resipi itu bukan sekadar buku masakan tetapi satu campur tangan praktikal di mana tumpuan diberi di tempat kerja sebagai langkah strategik dalam membudayakan pemakanan sihat di tempat kerja.

Beliau berharap melalui program Mai Kurang Gula Garam dan Kalori akan mencetuskan perubahan kepada tabiat pemakanan rakyat ke arah lebih sihat dengan mengurangkan gula, garam dan kalori dalam masakan harian tanpa menjejaskan rasa.

Memuatkan 30 resipi terpilih, buku itu dilancarkan pada 25 April 2026 lalu di Dewan Tun Rahah Memorial Tun Razak Kuala Lumpur oleh KKM dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) pada majlis perasmian buku resipi “Mai Kurang” dan Rewang Komuniti bersama Menteri Kesihatan  

“Buku ini memudahkan individu memilih makanan yang lebih sihat dalam kehidupan seharian. 

"Ia menyediakan resipi yang mudah, praktikal dan menepati cita rasa tempatan, sekali gus mengatasi kecenderungan satisficing -- memilih makanan yang paling mudah walaupun kurang sihat.

“KKM percaya, pendekatan pencegahan yang menumpukan kepada perubahan tingkah laku serta penglibatan seluruh masyarakat adalah kunci utama dalam menangani krisis empat penyakit tidak berjangkit utama (NCD) yang kini berada pada tahap membimbangkan,” kata Dr. Dzulkefly.


Muka depan buku resipi Mai Kurang Gula Garam dan Kalori.


Katanya, menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), 500,000 orang dewasa di negara ini hidup dengan sekurang-kurangnya empat penyakit tidak berjangkit (NCD) utama secara serentak iaitu penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis dan obesiti.

Penyakit jantung kekal sebagai penyakit pembunuh nombor 1 Malaysia. Statistik 2025 menunjukkan 17,400 kematian direkodkan dengan purata lebih 50 kematian harian berkaitan penyakit jantung.

Statistik tahun 2024 pula mencatatkan kadar penghidap kencing manis di Malaysia ialah kedua tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara di mana satu daripada enam orang dewasa menghidap diabetes dan 1 daripada 3 orang dewasa di Malaysia menghidap tekanan darah tinggi. 

Menurut laporan NHMS 2023, krisis obesiti di Malaysia kian meruncing dengan 54.4% orang dewasa atau 11 juta orang mengalami berat badan berlebihan atau obes. 

Kadar obesiti kini mencapai 21.3%-21.8% menempatkan kadar obesiti di Malaysia yang tertinggi di Asia Tenggara.

Dr. Dulkefly berkata, 47 peratus orang dewasa mengambil gula melebihi paras disyorkan, iaitu lebih 7.5 sudu teh sehari manakala tiga daripada empat orang dewasa mengambil garam berlebihan dengan purata 7.3 gram sehari iaitu melebihi kadar yang disyorkan, iaitu kurang daripada 5 gram sehari.


Dr. Dzulkefly menurunkan tandatangan pada plak pelancaran buku resipi Mai Kurang

Gula Garam dan Kalori.


Dr. Dzulkefly menegaskan, NCD tidak boleh dilihat sebagai masalah kesihatan individu semata-mata, sebaliknya ia merupakan ancaman besar kepada kesejahteraan ekonomi negara di mana dianggarkan kos rawatan langsung dan tidak langsung menelan belanja RM64.2 bilion setahun.

“Daripada jumlah itu kos rawatan kesihatan secara langsung mencecah RM12.4 bilion dan kos tidak langsung seperti pramatang, ketidakhadiran bekerja serta penurunan produktiviti akibat penyakit dianggarkan sebanyak RM51.8 bilion,” ujarnya.

Beliau turut berharap buku itu akan mengurangkan jurang maklumat dengan menyediakan panduan jelas dan mesra pengguna untuk penyediaan hidangan rendah gula, garam dan kalori sekali gus menjadi satu bentuk singgulan yang menggalakkan perubahan tingkah laku tanpa paksaan.

“Kita sudah ada 150 resipi masakan yang rendah gula garam dan kalori yang disediakan oleh cef-cef dengan kerjasama ahli-ahli dietitik. Kita berharap akan menerbitkan 5 buku resipi ini, satu buku setiap tiga bulan,” katanya lagi.

Menurut beliau, setakat ini sejumlah 130 katerer juga telah menyatakan hasrat untuk menyertai program itu, malah menggalakkan lebih ramai lagi pengeluar, pengilang dan penyedia makanan  tampil menghasilkan lebih banyak masakan makanan sihat untuk rakyat Malaysia.


Dr. Dzulkefly (duduk, tengah) bergambar bersama cef dan ahli dietitik yang menghasilkan resipi bagi

buku Mai Kurang Gula Garam dan Kalori.


Program Mai Kurang Gula Garam dan Kalori turut dizahirkan melalui kerjasama strategik bersama rakan industri iaitu Ajinomoto (Malaysia) Berhad, Big Onion Food Caterer Sdn. Bhd., Kewpie Malaysia Sdn. Bhd. dan Healthy Spoon.

Sebelum merasmikan pelancaran buku resipi tersebut, Dr. Dzulkefly telah melawat gerai rakan-rakan strategik industri itu yang menyediakan makanan kurang gula, garam dan kalori. 

Beliau turut terlibat memasak juadah pucuk ubi masak lemak di samping menjadi jururasa makanan yang disediakan.

Mereka yang berminat untuk memuat turun 30 resipi tersebut boleh berbuat demikian melalui pautan berikut: https://cancer.org.my/wp-content/uploads/2026/04/Buku-Resipi-Mai-Kurang-Gula-Garam-dan-Kalori_NEW.pdf - KitaReporters

13
7
0
13
0

Copy Link: