Lembu, kambing pun terkesan! El-Nino memaksa penternak bawa ternakan ke tepi sungai ragut rumput!

Published by
KitaReporters

Fenomena El-Nino atau cuaca panas ekstrim yang melanda Malaysia sejak kebelakangan ini bukan sahaja memberi kesan besar kepada manusia tetapi juga hidupan flora dan fauna.



Penulis berpeluang mendengar rintihan penternak yang terpaksa membawa haiwan ternakan mereka seperti lembu dan kambing ke tepi sungai untuk meragut rumput dan meminum air sungai akibat kekurangan bekalan air semula jadi di tempat lazim haiwan peliharaan itu berkeliaran pada musim panas terik ini.

Menurut Halim Mohd, 69, dia tiada pilihan lain selain membawa lembu ternakannya ke kawasan Sungai Segamat tersebut sejak beberapa bulan lalu memandangkan padang ragut yang lain sudah kering akibat cuaca yang sangat panas. 

"Saya terpaksa membawa lembu-lembu saya ke kawasan sungai ini kerana rumput di sepanjang sungai ini masih menghijau. 

"Saya bersyukur ada sumber air mudah didapati apabila lembu-lembu ini turut meminum air sungai selepas makan rumput yang hanya beberapa meter jaraknya. 

"Musim kemarau ini bukan sahaja kita manusia yang terkesan tetapi haiwan-haiwan ini turut merasa akibatnya. Mereka kurang minum air dan kurang dapat rumput yang segar dan hijau. 

"Tiga kali dalam seminggu saya akan bawa lembu-lembu saya ke tepi sungai ini untuk makan dan minum. Saya tiada pilihan lain memandangkan ini sahaja sumber makanan yang masih tersisa untuk mereka," katanya ketika ditemui di lereng Sungai Segamat baru-baru ini.



Halim memberitahu penulis sebanyak 25 ekor lembu ternakannya dibawa ke lereng Sungai Segamat itu daripada kandangnya di Jalan Hassan, kira-kira dua kilometer dari sungai berkenaan. 

Dari segi keselamatan, memandangkan air sungai turut surut akibat cuaca panas, lembu ternakannya juga tidak terdedah kepada ancaman lemas jika tergelincir ke dalam sungai. 

"Saya tidak sewenang-wenangnya melepaskan lembu-lembu ini di kawasan sungai yang dalam. Cuaca pun panas jadi air sungai surut dan lembu-lembu ini hanya minum air sungai di kawasan gigi air.

"Apabila balik, kawanan lembu-lembu ini akan saya kawal dengan menggunakan rotan untuk balik ke kandang melalui jalan lereng sungai ini juga. 

"Jadi tiada isu lembu-lembu ini akan terlepas ke tengah jalan yang sibuk dan mengganggu lalu lintas awam. 

"Marilah kita sama-sama berdoa agar cuaca panas ni dapat reda secepat mungkin memandangkan haiwan turut terbatas makanan serta minuman mereka sepanjang kemarau ini," kongsinya.


Halim Mohd


Fenomena El-Nino merujuk kepada keadaan pemanasan alam sekitar yang ekstrim dan melebihi purata suhu semasa permukaan laut. 

Indikator suhu ekstrem ini merujuk kepada peningkatan suhu persekitaran melebihi 37 darjah Celsius dan berupaya meningkat sehingga 40 darjah Celsius dengan kelembapan udara persekitaran rendah serta kering. - KitaReporters

8
10
0
11
0

Copy Link: