BERTUKAR dokumen perjanjian antara Kementerian Kesihatan dan Solutions Biologics Sdn. Bhd. di Kementerian Kesihatan Malaysia pada Khamis, 1 April 2021. - Kredit foto: Utusan Malaysia.


SEBANYAK 3.5 juta dos vaksin jenis CanSino akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat-peringkat bermula bulan ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perolehan vaksin dari China itu dibuat dalam dua kategori iaitu produk siap sebanyak 500,000 dos dan selebihnya penghantaran secara pukal untuk diisi dan dibungkuskan oleh syarikat tempatan, Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio).

"Melalui perolehan vaksin CanSino sejumlah 3.5 juta populasi di negara ini bakal mendapat manfaat dan boleh digunakan bagi tujuan vaksinasi warga asing yang berada di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian dengan Syarikat Solution Biologics Sdn. Bhd. itu di Kementerian Kesihatan di Putrajaya, 1 April 2021.

Bagaimanapun, syarikat itu perlu memenuhi semua perkara berkaitan pematuhan peraturan pendaftaran Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum membolehkan pembekalan vaksin ini kerana menitikberatkan soal keberkesanan, keselamatan dan kualti,” katanya.

Namun jelas Dr Adham sekiranya syarikat gagal mendapatkan kelulusan pendaftaran yang diwajibkan, perjanjian ini boleh dibatalkan kerana kerajaan menitikberatkan keberkesanan, keselamatan dan kualiti.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan pemberian vaksin CanSino itu akan difokuskan kepada penerima di kawasan pedalaman dan individu yang sukar dicari atau mana-mana individu yang tidak ada keupayaan untuk datang dua kali bagi mendapatkan vaksin dari jenis dua dos. - KitaReporters


1
0
0
0
0

Copy Link: