Video| Peserta Perbadanan Putrajaya teruja tengok burung hijrah! Seronok dapat minum air nira nipah!

Published by
KitaReporters



"WAH! cantiknya burung-burung ni, macam-macam warna," kata seorang peserta rombongan Perbadanan Putrajaya yang mengikuti program Bengkel Backyard Buddy @ Kawasan Burung Hijrah dan Lawatan Penanda Aras Ekopelancongan di Penaga dan Alor Setar, Kedah.

"Cantikkan! Ada banyak spesies burung hijrah di sini, kena tengok betul-betul, mereka dalam kumpulan yang besar di atas lumpur, jadi susah nak perhati dari jauh, " kata Penyelaras Projek Burung Pantai Semenanjung Malaysia, Dr Nur Munira Azman.

Kebetulan, ketika bot menghampiri penghujung muara Sungai Tembus, kelihatan burung hijrah dalam kelompok yang besar terbang dan seolah-olah membuat formasi akrobatik di udara. Semua dalam bot terpegun kerana belum pernah melihat situasi menarik itu.

Geng Perbadanan Putrajaya bergambar di hadapan papan tanda Kawasan Biodiversiti Utama, Teluk Air Tawar-Kuala Muda.


"Eh! Eh! ada orang merangkalah kat hujung sana," kata seorang peserta sambil tangannya menunjukkan ke arah kawasan hutan api-api di pantai Sungai Tembus. Memang dari jauh seperti kelibat manusia meraduk lumpur mencari sesuatu dalam keadaan terbongkok-bongkok.

"Bukan, bukan! itu burunglah, Milky Stork atau burung Botak Upeh dalam bahasa Melayu. Burung ni antara yang terbesar dalam spesiesnya, hidup di Kemboja dan pulau-pulau di Indonesia termasuk negara ini," kata Dr Munira lagi sambil tersenyum.  

"Woi! ada biawak di sana," kata seorang geng lain sambil menunjukkan ke tepi pantai berhampiran paya bakau kelibat haiwan itu yang pantas berlari apabila bot menghampiri kawasan berkenaan. Semua dalam bot melihat ke arah biawak berkenaan.

"Orang datang nak tengok burung la, dia pula nak tengok biawak," kata rakannya menyebabkan satu bot pecah dengan ketawa terbahak-bahak.

Pemandangan indah Kuala Sungai Tembus, Penaga yang menjadi tumpuan burung pantai hijrah setiap tahun.


Tiga bot yang disediakan komuniti nelayan tempatan membawa 25 peserta yang terdiri daripada staf, persatuan penduduk, pakej Putrajaya dan kebun komuniti bandar berlegar-legar di sekitar perairan Sungai Tembus dan menyaksikan sesuatu yang belum mereka lihat.

Dr Munira berkata, Teluk Air Tawar-Kuala Muda (TAT-KM) adalah salah satu kawasan penting tanah basah yang menjadi persinggahan burung-burung hijrah dan burung air tempatan malah antara tapak penting Tapak Ramsar yang baharu.

Biasanya jika mahu melihat burung pantai hijrah ini secara dekat, anda boleh menggunakan bino atau meranduk dalam lumpur pantai untuk lebih dekat dengan mereka. Burung-burung ini berkumpul jauh daripada manusia dan bulunya hampir sama dengan lumpur menyebabkan sukar melihat dari jauh.  

Sekumpulan besar burung pantai hijrah di dataran lumpur dan jika dilihat dari jauh seperti ribuan lebah.


"Ketika air pasang, burung-burung air ini akan berehat kerana kebanyakan dataran lumpur dipenuhi air. Mereka berkumpul bersama dalam kelompok besar dan sentiasa terdedah kepada bahaya pemangsa. Tapi walau tidur, ia tetap berjaga-jaga terhadap ancaman pemangsa dan mampu menutup dan membuka mata dengan cepat.

"Dataran lumpur komponen terpenting dalam kehidupan burung air hijrah kerana di sinilah kita dapat melihat burung yang merekodkan penerbangan sejauh 11,000km tanpa henti berdiri di sebelah burung air lain yang tidak pernah berhijrah atau meninggalkan habitat mereka sepanjang tahun," katanya.

"Di perairan Penaga ini, kami pernah menemui spesies terancam, burung Sekendi Sudu Muka Hitam atau Platalea minor, sekali gus mengesahkan  lokasi ini amat penting untuk dijaga kerana mampu menarik kehadiran lebih banyak spesies burung hijrah. 

"Bayangkan ada 500 ekor sahaja spesies burung ini dan kehadirannya di muara Sungai Lahar Endin, Penaga dikesan pada Disember tahun lalu," katanya lagi.


Sumber makanan yang banyak membuatkan burung pantai hijrah ini menjadikan Teluk Air Tawar, Kuala Muda, Penaga sebagai destinasi persinggahan untuk berehat dan mengisi perut.


Menurut Dr Munira, kawasan Teluk Air Tawar-Kuala Muda, Penaga, seluas 600 hektar ini kaya dengan hasil laut. 

Di habitat asalnya, burung-burung dari Siberia dan Russia ini makan serangga dan ulat tapi apabila singgah di sini, mereka boleh mengubah diet pemakanan dengan makan ikan, siput dan organisma marin lain. 

"Burung pantai hijrah memerlukan tempat istirehat yang selesa dengan ekosistem terbaik serta mudah mendapatkan makanan selepas terbang ribuan kilometer dan kawasan perairan ini amat strategik kerana terletak di tengah salah satu laluan penerbangan mereka dari hemisfera utara ke selatan. 

 "Jika kita mahu melihat kelibat burung-burung pantai hijrah ini terus singgah di sini, usaha perlu dilakukan bagi pemuliharaan pantai, dataran berlumpur dan perlindungan kawasan paya bakau tidak diancam pencemaran dan pembangunan," katanya.


Kegembiraan geng Perbadanan Putrajaya selepas menikmati air nira dan manisan nipah di Kebun Nipah Pak Man, Penaga.


Ketika musim hijrah dari Julai hingga Disember, kira-kira 15,000 burung pantai hijrah singgah ke kawasan itu untuk berehat 'memulihkan tenaga' dan  menjadikannya sebagai kawasan transit sebelum terbang lebih jauh ke selatan.  

Kata Dr Munira, sepanjang pemerhatian dan penyelidikan, ada 57 spesies termasuk 10 spesies terancam dikenal pasti hadir ke kawasan berkenaan.  

"Secara amnya, penghijrahan burung-burung ini di kawasan di Semenanjung termasuk Teluk Air Tawar-Kuala Muda berlaku antara Julai hingga April secara peringkat demi peringkat. Dan, mereka akan pulang ke negara asal pada Mac hingga April," katanya.

  Selepas pulang dari melihat burung pantai hijrah, peserta dihidang makan tengah hari ala kampung bersama ulam-ulaman dan sambal belacan sebelum dibawa ke Kebun Nira Nipah Pak Man untuk menikmati air dan produk nira nipah. Mereka turut mempelajari proses penghasilan air nira nipah, cuka dan manisan nira nipah.


Inilah Bungalow Mat Haji Limah yang popular dengan konsep inap desa tradisional di Alor Setar, Kedah.


Program anjuran Perbadanan Putrajaya itu mendapat kerjasama Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST). Sepanjang empat hari itu, selain Penaga, mereka turut melawat sambil belajar aktiviti di negeri Jelapang Padi, antaranya Muzium Padi di  Jalan Gunung Keriang, inap desa Bungalow Mat Haji Limah di Kampung Besar, Padang Hang dan Perkampungan tradisional Seri Banian di Pendang, Kedah.

Sehari sebelum itu, rombongan mengunjungi Kampung Agong yang berlatar belakang rumah kampung, sawah padi dan permainan tradisional sesuai dengan konsep agropelancongan. Selepas separuh hari di Sungai Tembus, Penaga, peserta berangkat ke Tanjung Dawai untuk melihat produk hasil laut yang dihasilkan nelayan di pekan kecil itu. - KitaReporters


Tidak sah jika mengunjungi perkampungan tradisional Seri Banian di Pendang, Kedah jika tidak mengabadikan kenangan di kawasan itu.

18
11
0
8
0

Copy Link: