KEMAHIRAN dan kegigihan golongan wanita dalam pelbagai aspek termasuk meningkatkan sumber pendapatan rumah tangga sejak lama dahulu telah didokong dengan peribahasa 'tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia'.

Sehingga hari ini, peribahasa tersebut telah dibuktikan dengan kemunculan barisan usahawan wanita yang bukan setakat  membantu tetapi menerajui perniagaan sehingga mencapai taraf jutawan.

Seiringan dengan bukti tersebut, golongan wanita di negara ini dialu-alukan untuk memantapkan ilmu dalam dunia perniagaan dengan menyertai program Wanita Bangkit Berniaga (WBB) selama tiga hari bermula 26 November 2021 anjuran RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks International).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan usahawan wanita



RADZ MOHD

Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International, Radz Mohd berkata program  berkenaan bermatlamat untuk meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah dan memperkasakan golongan wanita melalui peningkatan pengetahuan dan kemahiran.

“Sesi selama tujuh jam setiap hari secara percuma itu akan diadakan secara dalam talian dengan berkongsi teknik dan strategi betul bagaimana mereka boleh membina bisnes berjaya di samping bermentor secara berterusan.

Kami sasarkan seramai 20,000 wanita menyertai sesi webinar ini. Sesi pembelajaran akan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan secara keseluruhan peserta akan terlibat dalam enam sesi. 

"Program ini adalah antara cara RichWorks International membantu masyarakat terutamanya wanita kembali melihat potensi diri, serlahkan bakat mereka untuk tingkatkan sumber pendapatan dan bonus jika berjaya bergelar jutawan,” ujarnya.


Rina Mohd Harun (tiga dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian usahawan jutawan di majlis Pelancaran Program Wanita Bangkit Berniaga di Ibu Pejabat Noir Health & Beauty di Kota Damansara, Petaling Jaya.


Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Program Wanita Bangkit Berniaga dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun di Ibu Pejabat Noir Health & Beauty di Kota Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini. 

Pada majlis berkenaan, Rina menyaksikan sesi menandatangani dokumen kolaborasi strategik RichWorks International bersama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), manakala RichWorks International tandatangani kerjasama bersama sebahagian daripada 37 usahawan jutawan terlibat dalam program Wanita Bangkit Berniaga.

Tambah Radz, seramai 37 usahawan jutawan daripada pelbagai latar belakang yang telah terbukti berjaya akan berkongsi kisah unik masing-masing sebagai suntikan semangat dan inspirasi kepada para peserta.

Katanya lagi, RichWorks International mahu memberi peluang kepada wanita untuk mengenal pasti dan memaksimumkan potensi diri bagi menaik taraf hidup dalam keadaan ekonomi mencabar kini terutama selepas ditekan oleh pandemik Covid-19.

“Kadangkala wanita ini tidak menyedari mereka sebenarnya ciptaan Allah yang luar biasa. Peranan 37 usahawan jutawan yang merupakan anak didik Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman adalah untuk meyakinkan peserta serta tingkatkan keyakinan diri dan meneruskan hidup berdikari melalui perniagaan.

"Antara usahawan jutawan bakal tampil memberi perkongsian ialah Pengasas Sabella, Siti Fatimah Abdul Samad dan suami;  Pemilik Nurraysa, Nuraini Zolkepeli; Eksayvie oleh Kartika Wati Mohamad; serta pengasas produk Nor, Eriyca Baiduri Abdul Rashid," ujarnya.


 Pengasas Sabella, Siti Fatimah Abdul Samad dan suami antara yang akan berkongsi kejayaan mereka dalam Program Wanita Bangkit Berniaga. 


Sementara itu, Rina dalam ucapan perasmiannya berkata, kementeriannya sentiasa bersikap terbuka dengan mana-mana pihak sebagai usaha mendorong lebih ramai wanita muncul sebagai wanita hebat dan berjaya di negara ini.

“Syarikat RichWorks International  antara institusi yang membimbing dan melatih usahawan khususnya dari segi penjenamaan, pemasaran dan kepimpinan.

"Melalui rekod prestasi terbukti, strategi perniagaan dan program mentoring, RichWorks International berjaya membantu, membina beribu-ribu usahawan dan jutawan yang berjaya.

“Apatah lagi dalam situasi pandemik Covid-19  yang telah memberi kesan kepada kehidupan masyarakat termasuk golongan wanita dalam pelbagai aspek terutamanya penjanaan pendapatan.

"Kita harapkan melalui pelaksanaan Inisiatif Wanita Bangkit Berniaga ini membantu wanita mencari jalan keluar daripada kesempitan hidup dan bangkit untuk maju dalam membantu keluarga meningkatkan taraf ekonomi," katanya.


RINA HARUN


Untuk info, pihak Richwork International berbesar hati memberi 47,000 naskah buku bertajuk 100 Usahawan Jutawan yang akan diberikan secara percuma kepada peserta berdaftar untuk sertai program Wanita Bangkit Berniaga sempena sambutan ulang tahun kelahiran Dr Azizan pada 14 Nov 2021.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai melayari laman web www.wanitabangkitberniaga.com; https://www.facebook.com/azizanosmanofficial; dan https://www.instagram.com/azizanosman_official/?hl=en - KitaReporters


Sebanyak 47, 000 naskah buku 100 Usahawan Jutawan diberikan percuma kepada peserta program Wanita Bangkit Berniaga.

13
14
0
9
0

Copy Link: