KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bersama Pertubuhan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweetMY) menyerahkan 45,000 pakaian perlindungan diri (PPE) yang melibatkan Isolation Gown, Head Cover, Boot/Shoe Cover, Degradable Single Use Plastic Apron dan Face Shield bagi kegunaan klinik kesihatan dan hospital di negara ini. : KitaReporters

Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) menerima replika cek daripada Dr Khairul Hafiz (kiri).


Menterinya, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, hasil peruntukkan dana RM100,000 yang diberikan oleh Pertubuhan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweeMY) itu, pihaknya melalui Institusi Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan (ILKBS) melalui kakitangannya telah menghasilkan keperluan perlindungan diri ketika bertugas itu bagi digunakan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) nanti.

Menurut beliau lagi, ILKBS bersedia membantu mereka menyediakannya memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memasuki fasa ketiga bermula dari 15 April hingga 28 April 2020 dan memerlukan Stok PPE yang makin bertambah kerana permintaan terhadapnya semakin meningkat.


Reezal Merican kiri melihat Face Shield yang dihasilkan IKTBN Sepang. 


"KBS melalui ILKBS telah mengadakan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweetMY) dalam penghasilan produk-produk PPE untuk kegunaan barisan hadapan menghadapi wabak Pandemik Covid-19 ini,’ katanya ketika ditemui semasa menerima replika cek RM100,000 daripada Pengerusi MedTweetMY, Dr Khairul Hafiz di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang, Selangor pada hari ini, Selasa, 21 April 2020.

Di majlis itu Reezal Merican turut menyerahkan 3,500 unit PPE Face Shield dan 2,000 unit PPE Degradable Single Use Plastic Apron bagi fasa pertama penghasilan yang dihasilkan oleh IKTBN Sepang dan IKTBN Pagoh

Staf IKBN Wakaf Tapai sedang menyiapkan Isolation Gown.


Dalam pada itu, Dr Khairul ketika ditemui berkata, pihaknya menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada pihak KBS untuk menampung kos bahan yang diperlukan dalam penghasilan pelbagai peralatan PPE itu.

‘Kami amat berterima kasih kepada pihak KBS dan ILKBS yang bersedia untuk bekerjasama dengan kami untuk menyiapkan peralatan bagi kegunaan staf KKM ini,’ sambung Dr Khairul lagi.

Isolation Gown sedang disiapka oleh staf IKBN.


Lapan buah ILKBS yang mempunyai kepakaran tenaga pengajar dan kelengkapan peralatan terlibat dalam menghasilkan 45,000 PPE yang melibatkan Isolation Gown (baju isolasi/pengasingan), Head Cover (tudung kepala), Boot/Shoe Cover (penutup kasut), Degradable Single Use Plastic Apron (apron pakai buang mudah lupus) dan Face Shield (pelindung muka) bagi kegunaan klinik kesihatan dan hospital ini.

ILKBS itu ialah IKTBN Dusun Tua, IKBN Jitra, IKTBN Sepang,  IKTBN Pekan, IKTBN Pagoh, IKBN Peretak, IKBN Wakaf Tapai dan IKTBN Chembong.

Turut hadir pada majlis ini ialah Ketua Setiausaha KBS Datuk Dr Waitchalla R.R.V. Suppiah dan Pengarah Bahagian Kemahiran Dato’ Dr Wasitah Mohd Yusof. - KitaReporters

4
2
0
0
0

Copy Link: