PERDANA Menteri yakin usaha literasi digital dapat meningkatkan kesedaran pentingnya Keluarga Malaysia menerima guna teknologi dan inovasi apatah lagi ia seiring perkembangan semasa yang turut berlaku di seluruh dunia.

"Penganjuran Kongres Teknologi Dan Inovasi Dunia (WCIT) 2022 dilihat mampu untuk melonjakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara digital yang berdaya saing. Pada masa yang sama, ia berupaya memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam ekosistem teknologi dan inovasi

"Menerusi literasi digital, usaha ini dapat meningkatkan kesedaran pentingnya Keluarga Malaysia menerima guna teknologi dan inovasi. Ia seiring perkembangan semasa yang turut berlaku di seluruh dunia. Kemampuan memanfaatkan teknologi baharu dalam memastikan pemulihan negara ketika pandemik, jelas berhasil

"Sebagai contoh, penggunaan aplikasi digital dengan pelbagai fungsi maklumat teknologi telah berjaya membendung pandemik COVID-19 di Malaysia, selain membantu menyelamatkan perniagaan, pekerjaan serta memastikan kelangsungan proses pembelajaran. 

"Justeru, langkah serta pendekatan yang berlandaskan sains dan teknologi ini telah memainkan peranan yang amat penting dalam kejayaan kita," kata Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Perasmian WCIT 2022 pada Selasa, 13 September 2022 di Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan dunia teknologi


Beliau berkata, kerajaan telah merangka ekosistem pendigitalan untuk mencetuskan inovasi-inovasi yang baharu melalui inisiatif MyDigital, yang mencakupi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital, dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara 4-IR (Four-iR)

"Dasar-dasar ini akan melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan. 

"Ia akan membentuk negara mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital; menyediakan peraturan sesuai keperluan masa dan fleksibel dengan perubahan teknologi serta mempercepat inovasi. 

"Inisiatif MyDigital juga menyokong dasar pembangunan negara khususnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), bagi mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan, selain sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital," kata Perdana Menteri lagi. - KitaReporters



Teks ucapan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob Perdana Menteri sempena Majlis Perasmian Kongres Teknologi Dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) pada Selasa, 13 September 2022 di Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang :


1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada majlis perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (atau WCIT 2022) pada pagi ini. 

2. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) serta rakan kongsi utamanya, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pembangunan Manusia Sumber Berhad (HRD Corp), Kerajaan Negeri Pulau Pinang, serta pihak yang terlibat dalam menjayakan WCIT 2022; bertemakan ‘Menghubung dan Mentransformasi Dunia’. 

3. Penganjuran WCIT 2022 ini dilihat mampu untuk melonjakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara digital yang berdaya saing. Pada masa yang sama, ia berupaya memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam ekosistem teknologi dan inovasi. 

4. Menerusi literasi digital, usaha ini dapat meningkatkan kesedaran pentingnya Keluarga Malaysia menerima guna teknologi dan inovasi. Ia seiring perkembangan semasa yang turut berlaku di seluruh dunia. 

5. Kemampuan memanfaatkan teknologi baharu dalam memastikan pemulihan negara ketika pandemik, jelas berhasil. 

6. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi digital dengan pelbagai fungsi maklumat teknologi telah berjaya membendung pandemik COVID-19 di Malaysia, selain membantu menyelamatkan perniagaan, pekerjaan serta memastikan kelangsungan proses pembelajaran. 

7. Justeru, langkah serta pendekatan yang berlandaskan sains dan teknologi ini telah memainkan peranan yang amat penting dalam kejayaan kita. Maka, tema WCIT 2022 ini sesuai dan bertepatan sekali. Tahniah saya ucapkan. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai hab pelaburan digital di ASEAN. Sejak inisiatif MSC Malaysia diperkenalkan pada tahun 1996, Kerajaan telah berjaya menarik pelaburan digital bernilai RM384 bilion. 

9. Ia sekali gus melahirkan lebih 180,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dengan menjana pendapatan berjumlah RM588 bilion. 

10. Selepas 26 tahun, MSC Malaysia diberi nafas baharu melalui penjenamaan semula sebagai Malaysia Digital (atau MD). MD berperanan mentransformasi ekosistem ekonomi digital negara dan memacu lebih banyak program berimpak tinggi secara langsung kepada Keluarga Malaysia. 

11. Meskipun inisiatif MD telah dilancarkan pada Julai (2022) lalu, ia telah berjaya meraih nilai Pelaburan Digital Langsung Asing sebanyak RM42 bilion, hanya dalam tempoh 2 bulan. 

12. Nilai ini dijana melalui pelaburan 28 buah syarikat asing yang terdiri daripada syarikat dalam sektor Pusat Data, Penyedia Perkhidmatan IT, Teknologi Kandungan Kreatif, dan Global Business Services ataupun GBS.

13. Kejayaan ini amat penting dalam proses pemulihan ekonomi negara, kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan berpengetahuan tinggi, membantu merancakkan inovasi seterusnya melonjakkan lagi ekonomi digital. 

14. Sementara itu, perkembangan Pelaburan Digital Langsung Domestik, setakat 24 Ogos 2022 pula telah merekodkan sebanyak RM4.76 bilion. 

15. Menerusi usaha ini, sebanyak 6,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi sudah diwujudkan dan peluang ini akan terus meningkat pada masa akan datang. 

16. Semua pencapaian positif ini telah meletakkan Malaysia di kedudukan terbaik bagi mencapai sasaran pelaburan digital sebanyak RM70 bilion menjelang tahun 2025, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia. 

17. Dengan memiliki infrastruktur bertaraf dunia, ekosistem digital yang holistik dan bakat digital yang berpengetahuan tinggi, hari ini, Malaysia mampu menjadi destinasi pelaburan digital utama di ASEAN. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Dunia kini berhadapan tiga krisis yang teruk dan bertindih — kesan daripada pandemik COVID-19, konflik Rusia dan Ukraine serta krisis makanan yang semakin meningkat. 

19. Justeru, teknologi digital berperanan penting dalam menangani isu perubahan iklim. Seperti mana yang dilaporkan Forum Ekonomi Dunia (WEF), pemerkasaan teknologi digital dapat mengurangkan 15 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030. 

20. Digitalisasi adalah inisiatif terkini yang diguna pakai dalam pelbagai aspek kehidupan dan kita boleh melihat pelbagai trend semasa yang sedang berkembang iaitu: 

Pertama: Teknologi digital amat penting bagi menjamin kelangsungan dan produktiviti sesebuah perniagaan, seperti mana yang berlaku ketika penularan COVID-19. 

Hal ini dibuktikan apabila sekecil-kecil perniagaan, sehinggalah kepada syarikat besar berimpak tinggi mengapdatasi aplikasi digital dalam memajukan perniagaan mereka.

Kedua: Keperluan memperkasakan teknologi digital bagi menangani isu sekuriti makanan negara dan tenaga. Sebagai contoh, pertanian pintar teknologi digital berupaya mengurangkan penggunaan buruh, mesra alam dan meningkatkan produktiviti. Sekaligus menjamin rantaian bekalan makanan global yang mampan. 

Ketiga: Pandemik COVID-19 telah menjadi pendorong utama bidang teknologi digital dalam penjagaan kesihatan. Hari ini terbukti, penggunaannya bukan sahaja mampu membendung penularan wabak COVID bahkan berupaya meningkatkan akses kepada kesedaran penyakit-penyakit lain serta risikonya termasuk kesihatan mental. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

21. Kerajaan telah merangka ekosistem pendigitalan untuk mencetuskan inovasi-inovasi yang baharu melalui inisiatif MyDigital, yang mencakupi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital, dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara 4-IR (Four-iR). 

22. Dasar-dasar ini akan melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan. Ia akan membentuk negara mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital; menyediakan peraturan sesuai keperluan masa dan fleksibel dengan perubahan teknologi serta mempercepat inovasi. 

23. Inisiatif MyDigital juga menyokong dasar pembangunan negara khususnya Rancangan Malaysia Ke-12, bagi mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan, selain sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

24. Besarlah harapan saya, kolaborasi rentas kementerian dengan agensi yang terjalin erat pada hari ini dapat dilipatgandakan lagi, dalam usaha merangsang ekosistem teknologi dan inovasi, demi kemakmuran negara dan kesejahteraan Keluarga Malaysia yang saya kasihi. 

25. Kejayaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah WCIT tahun ini patut kita banggakan. Ia jelas menunjukkan bahawa Malaysia bersedia untuk menerima kembali rakan-rakan kita dari seluruh dunia.

26. Bagi pihak Kerajaan, saya mengucapkan tahniah kepada PIKOM serta rakan kongsi utamanya iaitu MDEC, HRD Corp dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di atas penganjuran WCIT 2022 ini. 

27. Kerajaan berharap agar WCIT 2022 dapat melakar sejarah baharu dalam menarik lebih banyak pelaburan digital asing, sebagai usaha memacu sektor teknologi dan inovasi. 

28. Saya juga berharap agar platform ini digunakan sebaik baiknya dalam membincang, mengilham serta mencetuskan idea baharu dalam perkembangan teknologi dan inovasi negara ke persada antarabangsa. 


8
13
0
14
0

Copy Link: