TINDAKAN kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini mula menunjukkan perkembangan positif dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19. 

Ketika ini daerah Besut dan Kampung Tajin, Hulu Terengganu dikenakan pelaksanaan PKPD, manakala daerah Kuala Terengganu yang turut dikenakan perintah sama ditamatkan pada Sabtu 12 Jun 2021.

Selain itu, daerah lain termasuk Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Kemaman dan Dungun dikenakan pelaksanaan  sekatan penuh pergerakan (total lockdown) fasa pertama bermula 1 Jun lalu 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PKPD

Dr Alias Razak


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, perkara itu terbukti selepas kes positif mula menurun. Pada Ahad 13 Jun 2020, kes baharu dicatatkan menurun kepada 46 kes berbanding 82 kes pada 12 Jun 2021.

Katanya, kadar kebolehjangkitan turut menunjukkan penurunan iaitu tidak lebih daripada 1.0

“Ia bermakna kadar jangkitan akan makin berkurangan dari sehari ke sehari yang akan membawa lekuk kepada mendatar," katanya.




Sementara itu, tiga sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di sekitar Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu berikutan pelaksanaan PKPD  bermula  pada Sabtu 12 Jun 2021 hingga 25 Jun 2021.

Antara SJR terbabit termasuk di hadapan Surau Hijau Kampung Telaga, hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) dan hadapan gelanggang Futsal Kg Kuala Akob. 


Dr Alias Razak (tengah) ketika meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, PKPD berkenaan membabitkan seramai 1,403 orang penduduk dan 270 buah rumah meliputi  kawasan seluas 10 kilometer persegi.

"Sekatan ini didirikan untuk mengawal dan menyekat pergerakan keluar dan masuk ke kawasan kampung tersebut.” katanya.

Seramai 70 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan RELA terbabit dalam penugasan di SJR tersebut.

"Pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya turut diperketat dengan tapisan individu dibuat lebih teliti bagi memastikan hanya mereka yang dibenarkan sahaja boleh berada di jalan raya," ujarnya. - KitaReporters


 

11
6
2
2
2

Copy Link: