Tarikan baharu curi perhatian! Jambatan buluh dan restoran buluh di Langkawi! Guna bahan semula jadi!
Published by
Keunikan pembinaan sebuah jambatan buluh di kawasan Durian Prangin di Langkawi mula mencuri perhatian apabila projek berasaskan alam semula jadi itu kini giat dilaksanakan dan dijangka siap dalam masa terdekat.

Struktur jambatan buluh lengkung berganda sedang dibina merentasi sungai di Durian Perangin, Langkawi, menampilkan keunikan seni bina berasaskan alam semula jadi.
Lebih menarik, jambatan sepanjang 23 meter itu menggunakan konsep lengkung berganda yang jarang dilihat, sekali gus memberi nilai estetika serta keunikan tersendiri kepada struktur berkenaan.
Penyelaras projek, Ir. Ahmad Mazlan Othman berkata, pembinaan jambatan tersebut bukan sahaja memberi pengalaman baharu dalam bidang binaan buluh, malah membuka peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk terlibat secara langsung.
Menurut beliau, projek itu turut memberi ruang kepada individu yang berminat untuk bekerja sambil mempelajari teknik binaan buluh yang kini semakin mendapat perhatian.
“Binaan buluh bukan sahaja mesra alam, malah mampu menghasilkan struktur yang kukuh dan menarik jika diolah dengan teknik yang betul,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut berkongsi kejayaan pembinaan Bamboo Chenang di Golden Chenang Village, Pantai Chenang yang menjadi antara contoh penggunaan buluh dalam pembinaan moden.
Katanya, restoran dua tingkat itu dibina menggunakan lebih 1,700 batang buluh daripada beberapa spesies tempatan dan siap dalam tempoh kira-kira enam bulan.
“Reka bentuknya terbuka dan unik, dengan lengkungan yang menyerlahkan keanjalan buluh, selain bumbung yang diinspirasikan daripada bentuk wau dan juga kelihatan seperti pari dari sudut tertentu,” katanya.
.
Menurutnya, penggunaan buluh kini semakin mendapat tempat kerana sifatnya yang lestari, fleksibel serta sesuai dengan konsep pembangunan berteraskan alam semula jadi.
Beliau berkata, projek seperti ini diharap dapat memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan Langkawi, selain membuka peluang baharu kepada masyarakat tempatan dalam industri binaan alternatif. - KitaReporters

Basikal rangka buluh yang unik ini mempamerkan gabungan inovasi dan kelestarian dalam reka bentuk berasaskan bahan semula jadi

