KOC KERETA API berubah menjadi wad rawatan serta tempat pengasingan bagi pesakit pandemik Covid-19. Barangkali kita tidak pernah terfikir mengenainya. Namun ia berlaku di India. : KitaReporters.com

KOC kereta api dibasuh dan dibersihkan untuk digunakan sebagai wad rawatan pesakit Covid-19 di Stesen Kereta Api Prayagraj, Uttar Pradesh, India. - Kredit foto: PTI Photo.


Memetik laporan Times Of India, 5,231 koc kereta api milik Keretapi India yang biasanya digunakan membawa penumpang di negara benua kecil itu, diubah suai menjadi wad rawatan bagi kes-kes Covid-19 dalam usaha mengurangkan kesesakan di hospital-hospital.

Satu aspek yang dibimbangi negara-negara yang diserang Covid-19 ialah ketidakpastian mengenai jumlah mereka yang berkemungkinan dijangkiti virus berkenaan. 

Angka jangkitan sentiasa turun naik, malah boleh naik mendadak dalam waktu singkat.

Kebimbangan wujud kerana kemudahan rawatan dan perubatan bagi mengekang Covid-19 berkait rapat dengan jumlah pesakit yang dijangkiti. 

Bukan sahaja dari segi kemampuan tenaga perkerja perubatan tetapi juga fasiliti untuk menempatkan pesakit yang menerima rawatan atau menjalani kuarantin.

PEKERJA di Kolkata, India menyembur ubat ke badan koc yang akan digunakan sebagai wad rawatan pesakit Covid-19  untuk memastikan ia terhindar daripada virus. - Kredit foto: Reuters.  


Kerana bimbang katil hospital tidak mencukupi untuk menempatkan pesakit, ada negara telah melaksanakan pelan kontigensi dengan mengubah suai tempat-tampat awam seperti kompleks sukan atau gimnasium menjadi pusat rawatan atau kuarantin.

Ini dilakukan di Wuhan tempat di mana wabak Covid-19 mula dikesan. 

Akibat kenaikan mendadak jumlah pesakit sehingga katil hospital tidak mencukupi, gimanasium dan kompleks sukan di Wuhan dijadikan pusat rawatan sementara.

Malah di Malaysia sendiri, kerajaan telah menyediakan pelan kontigensi ini dengan mempersiapkan  pusat pameran MAEPS di Serdang sebagai tampat rawatan sementara seandainya berlaku katil hospital tidak mencukupi.

Namun nampaknya India lebih inovatif dalam menyediakan tempat rawatan dengan mengubah suai koc kereta api menjadi wad. 

KOC kereta api yang diubah suai menjadi wad rawatan dan pengasingan pesakit Covid-19 di India dilengkapi dengan katil dan kemudahan rawatan seperti silinder gas oksigen. - Kredit Pune Mirror


Kesemua 5,231 koc yang disediakan kini menjadi pusat penjagaan Covid-19 untuk berkhidmat di seluruh India. 

Kelebihan wad koc kereta api ini ialah ia tidak statik seperti gimnasium atau pusat sukan

Koc ini boleh digerakkan ke mana-mana berdasarkan keperluan, terutama di kawasan yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19.

Ertinya koc boleh memberi khidmat di banyak tempat merentas 23 negeri di India dan juga di bandar-bandar besar seperti Delhi, Mumbai, Kolkata, Nagpur, Pune dan Lucknow. 

Pihak Keretapi India telah menyediakan 2,500 orang doktor dan 35,000 petugas perubatan untuk menghadapi Covid-19.

Koc kereta api ini menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan di 85 buah stesen

Bagi 130 stesen lain, pihak negeri boleh memohon koc ini jika mereka bersetuju menyediakan kakitangan  dan ubat-ubat yang diperlukan.

Menurut jurucakap Kementerian Keretapi, koc-koc boleh digunakan di kawasan di mana pihak negeri menghadapi kekangan kemudahan untuk menempatkan mereka yang perlu diasingkan setelah disahkan dijangkiti Covid-19 dan mereka yang disyaki dijangkiti.

PEKERJA menyiapkan wad koc kereta api untuk kegunaan pesakit Covid-19 di Stesen Kereta Api Kamakhya, Guwahati, negeri Assam, India. - Kredit foto: PTI Photo.


Sementara itu, Kementerian Kesihatan India mengumumkan pada 6 Mei 2020, koc kereta api yang diubah suai menjadi pusat penjagaan Covid-19 akan diletakkan di 215 stesen di 23 negeri sebagai persediaan menghadapi kemungkinan lonjakan kes.

Antaranya termasuklah Andhra Pradesh, Assam, Bihar, Delhi, Goa, Gujarat, Jammu Kashmir, Kerala, Kartanaka, Punjab, Uttar Pradesh, Rajasthan, Bengal Barat, Triputra, Telangana dan Tamil Nadu.

Berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan, kerajaan negeri yang memerlukan koc perlu membuat permohonan kepada pihak kereta api yang akan memperuntukkan koc-koc tersebut. 

Selepas itu koc akan diletakkan di stesen yang ditentukan, lengkap dengan infrastruktur dan kemudahan diperlukan.

Pihak kereta api pula menyediakan keperluan asas dalam setiap koc, seperti silinder oksigen dan menguruskan penjagaaannya. 

Pihak Polis Keretapi pula akan menguruskan aspek keselamatan. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: