Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon pelancongan dan pendidikan berasaskan konservasi apabila meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-65 dalam satu majlis penuh meriah di Pavillion ZTNS di Taiping, Perak pada 25 April 2026.


Sebahagian peserta yang menyertai larian santai pada waktu malam di ZTNS

Majlis sambutan tersebut menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pemimpin setempat, agensi kerajaan, warga kerja ZTNSs serta masyarakat setempat yang bersama-sama meraikan pencapaian zoo tertua di Malaysia.

Turut diadakan larian santai sejauh 2.5 kilometer dalam kawasan ZTNS melibatkan lebih 800 peserta bagi memeriah sambutan berkenaan.

Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh dalam ucapannya menyifatkan ZTNS sebagai kebanggaan bandar warisan Taiping yang sinonim dengan sejarah, identiti serta pembangunan sektor pelancongan negeri Perak.

Ini katanya, zoo berkenaan bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan utama, malah memainkan peranan besar sebagai pusat pembelajaran yang menawarkan pengalaman pendidikan unik kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

“ZTNS merupakan Night Safari pertama di Malaysia dan terus menjadi destinasi pilihan ramai. Ia bukan sahaja mempamerkan hidupan liar, tetapi turut memberi nilai pendidikan kepada generasi muda,” katanya yang turut memberikan peruntukan sebanyak RM150,00 untuk meningkatkan fasiliti di ZTNS.

Wong turut memaklumkan bahawa ZTNS berjaya meraih pengiktirafan menerusi kemenangan Anugerah Program Pendidikan Terbaik dalam Tourism Industry Award 2025, sekali gus membuktikan komitmen berterusan ZTNS dalam aspek pendidikan dan pelancongan serta konservasi.


Wong Kah Woh (tiga, kiri) merasmikan sambutan ulangtahun ke-65 ZTNS di Taiping

Dalam usaha memperkasakan kemudahan sedia ada, Wong berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah menyalurkan pelbagai bentuk peruntukan sejak tahun 2023 hingga 2025 bagi tujuan naik taraf fasiliti serta pembangunan infrastruktur di zoo ini.

Menurut beliau, antara projek utama yang telah dilaksanakan ialah peruntukan sebanyak RM1.5 juta melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menaik taraf fasiliti harimau Malaya, termasuk kawasan rekreasi, pusat kuarantin dan bilik sejuk.

“Usaha berterusan ini dijangka mampu memastikan ZTNS terus berada pada tahap terbaik serta kekal sebagai destinasi utama pelancongan negara,” ujarnya.

Jelasnya, sambutan ulang tahun ke-65 ZTNS ini turut menjadi simbol kejayaan berterusan zoo berkenaan dalam memelihara warisan, memupuk kesedaran konservasi serta merancakkan ekonomi pelancongan tempatan.

ZTNS yang terletak di dalm kawasan seluas 34 ekar kini mempunyai  lebih 1,200 ekor pelbagai jenis haiwan, yang membabitkan 120 speseis. - KitaReporters


Wong Kah Woh (tiga, kanan) turut menyerahkan dana sebanyak RM150,000 untuk tingkatkan fasiliti di ZTNS

8
18
0
10
0

Copy Link: