Sekretariat Solidariti Bersama DAK meminta kerajaan supaya menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi memastikan tahap kesihatan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang ditempatkan di Zoo Tennoji, di Osaka, Jepun dipantau secara menyeluruh.

Langkah itu dituntut bagi memastikan kebajikan dan kesihatan DAK tidak terabai.


Lebih 200 orang menghadiri Himpunan Solidariti Bersama DAK di Pavilion Zoo Taiping & Night Safari.

Wakil Sekretariat Solidariti Bersama DAK, Neow Choo Seong berkata, jawatankuasa itu hendaklah dianggotai pakar zoologi, veterinar dan pakar berkaitan mamalia agar setiap penilaian dibuat secara telus, profesional dan berasaskan fakta.

Beliau berkata, yakin Perdana Menteri mempunyai kuasa eksekutif untuk menubuhkan jawatankuasa itu yang boleh dipengerusikan oleh sesiapa sahaja.

“Perkara ini perlu mendapat persetujuan daripada Kabinet dalam tempoh tujuh hari.

“Persoalan sekarang apa tindakan kerajaan buat dan siapa yang berada di Jepun sekarang untuk melihat DAK. Rakyat sendiri yang pergi ke sana. Kita mahu kerajaan membuat sesuatu yang cepat dan tepat keadaan dan tahap kesihatan DAK,” katanya ketika ditemui selepas Himpunan Solidariti Bersama DAK di Dataran Pavilion Zoo & Night Safari di Taiping, pada 9 Mei 2026.


Neow Choo Seong

Sehubungan itu, Neow berkata, pihaknya akan terus berkumpul selepas tujuh hari dan akan membuat perhimpunan besaran di Putrajaya atau di Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, kumpulan NGO sentiasa memerhati tindakan tanduk kerajaan, kalau kerajaan tidak bertindak memandangkan ini melibatkan kepentingan awam.

“Kita tuntut tindakan dan bukan wayang. Kita tidak mahu melihat polemik. Kita mahukan tindakan dan bukan menuding jari sesama sendiri dan fokus dalam membuat Keputusan,” katanya.


Neow Choo Seong (tengah)  bergambar dengan sebahagian peserta Himpunan Soladariti Bersama DAK.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam kenyataan berkata, program kerjasama konservasi melibatkan pemindahan tiga gajah Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Zoo Tennoji di Jepun tidak melibatkan sebarang unsur komersial, urusan jual beli mahupun bayaran antara pihak yang terlibat.

Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata, dakwaan pemindahan DAK merupakan transaksi perniagaan atau konsep ‘business to business’ (B2B) tidak benar.

Ini kerana perjanjian yang dimeterai merupakan kerjasama ‘zoo to zoo’ antara Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dengan Tennoji Zoo, Osaka, Jepun yang berteraskan agenda konservasi hidupan liar dan bukannya keuntungan komersial.

“Tiada sebarang unsur komersial yang melibatkan urusan jual beli atau apa-apa bayaran di antara kedua-dua pihak dalam perjanjian ini.

“Penggunaan terma B2B adalah tidak bertepatan dengan semangat perjanjian yang telah dimeterai,” ujarnya.


Tiga ekor gajah Malaysia yang ditempatkan di Zoo Tennoji, di Osaka, Jepun,


Sehubungan itu, Mohamed Akmal berkata, pihaknya memahami kebimbangan dan keresahan masyarakat yang mengikuti rapat perkembangan DAK yang bukan sekadar penghuni Zoo Taiping, malah sudah lama dekat di hati rakyat Malaysia.

“Program konservasi antarabangsa tersebut bukan dilakukan secara tergesa-gesa. Sebaliknya, ia telah melalui setiap prosedur, penilaian teknikal, dokumentasi serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Sebelum penghantaran ketiga-tiga gajah itu dilakukan, satu lawatan rasmi telah diadakan ke Osaka, Jepun pada 6 hingga 10 Oktober 2022 melibatkan wakil MPT, Zoo Taiping & Night Safari serta Perhilitan,” katanya.

Beliau berkata, lawatan tersebut bagi memastikan habitat, ruang penjagaan, aspek keselamatan dan standard kebajikan haiwan benar-benar memenuhi syarat minimum yang ditetapkan sebelum sebarang penghantaran boleh dilaksanakan,” katanya.


Pemandangan hadapan Zoo Taiping & Night Safari

Tambah Mohamed Akmal, pihaknya sedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat keperluan berhubung keseluruhan program kerjasama tersebut,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang semakan atau siasatan. - KitaReporters

10
7
0
16
0

Copy Link: