SEKUMPULAN pemancing yang sedang melakukan aktiviti memancing dengan menggunakan rumah bot di pusat pelancongan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dikejutkan dengan perkhabaran salah seorang daripada rakan mereka dikatakan mempunyai gejala COVID-19.

Ia susulan tersebar dalam media sosial  lelaki terbabit dikehendaki datang menjalani saringan kesihatan di Hospital Hulu Terengganu selepas isterinya yang berada di rumah disahkan positif COVID-19 pada Khamis, 11 Mac 2021.

Bagaimanapun, ujian calitan (swab) ke atas lelaki terbabit yang dipercayai menjadi kontak rapat pesakit positif COVID-19 belum disahkan.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan positif COVID-19:

https://kitareporters.com/search?search=positif+COVID-19


Gambar hiasan... Rumah Bot di Tasik Kenyir,Hulu Terengganu.


Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Datuk Razali Idris menyifatkan tindakan orang ramai yang menyebarkan maklumat tidak pasti berkaitan penularan COVID-19 khususnya di daerah itu bukan sahaja menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat, malah mengeruhkan lagi keadaan.

Beliau mengulas tentang tular dalam media sosial mengenai sekumpulan 24 pemancing yang bercuti ke Tasik Kenyir pada Khamis 11 Mac 2021 terpaksa menjalani kuarantin sementara di sebuah rumah bot berikutan seorang daripada mereka disyaki positif COVID-19 dalam satu hantaran netizen dalam Facebook.


Razali Idris


Katanya, orang ramai perlu merujuk kepada pihak berkuasa sama ada pihak polis ataupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu bagi kesahihan maklumat erkenaan.

Beliau dimaklumkan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Zalani Endut bahawa lelaki itu dikehendaki datang menjalani saringan kesihatan di Hospital Hulu Terengganu selepas isterinya yang berada di rumah disahkan positif COVID-19 pada Jumaat, 12 Mac 2021.

"Akur dengan arahan itu, pihak persatuan telah mengesan lokasi rumah bot yang dinaiki lelaki tersebut dengan kerjasama Polis Gerakan Marin dan beliau telah pun menjalani ujian calitan di Hospital Hulu Terengganu pada 5 petang Jumaat," katanya.

Susulan itu, kesemua 24 penumpang rumah bot yang berasal dari Manir, Kuala Terengganu telah pun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan dipakaikan gelang kuarantin berwarna putih.

Mereka dibenarkan pulang pada Sabtu, 13 Mac 2021 dan akan menjalani kuarantin selama 11 hari sehingga keputusan ujian saringan lelaki tersebut diketahui tidak lama lagi.

"Begitu juga dengan pemandu dan empat kru di rumah bot itu yang akan menjalani kuarantin selama 11 hari di dalam rumah bot tersebut.



Katanya, ini merupakan kes terpencil sahaja dan beliau yakin pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ini demi kebaikan semua pihak.

Razali berkata, Tasik Kenyir masih selamat untuk dikunjungi ketika ini dan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai khabar angin yang tersebar itu. - KitaReporters

1
0
0
1
1

Copy Link: