Raya cuaca kering, panas! Tapi berpotensi hujan, rebut petir dalam tempoh singkat! Kekalkan hidrasi!
Published bySempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan ramalan cuaca khas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan semua sepanjang musim perayaan ini.

Berdasarkan ramalan cuaca khas oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi tempoh 20 hingga 23 Mac 2026, kita menjangkakan keadaan cuaca yang secara umumnya kering dan panas di kebanyakan tempat.
Fenomena ini berikutan kehadiran udara yang kering di seluruh rantau negara dalam tempoh tersebut.
Walau bagaimanapun, potensi hujan dan rebut petir dalam tempoh singkat masih wujud, terutama pada waktu petang atau awal malam di beberapa lokasi.
Pada Jumaat, 20 Mac, hujan dijangka berlaku di Perak dan Bahagian Tawau, Sabah pada waktu pagi, manakala rebut petir diramal melanda Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, dan Johor pada sebelah petang.
Bagi hari Sabtu, 21 Mac, hujan dijangka turun di Perak pada waktu pagi dan beralih ke Lembah Klang serta beberapa bahagian di Sarawak menjelang petang.
Pada hari Ahad, 22 Mac, kita menjangkakan cuaca yang baik di seluruh negara pada waktu pagi dan malam, kecuali sedikit hujan di beberapa bahagian di Sabah dan Sarawak pada sebelah petang.
Mengambil kira ramalan cuaca ini, adalah disarankan agar aktiviti ziarah atau rumah terbuka yang dirancang turut memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesihatan.
Memandangkan cuaca dijangka panas di kebanyakan tempat, rakyat dinasihatkan agar sentiasa kekal hidrasi dan memakai pakaian yang selesa serta menyerap peluh bagi mengelakkan strok haba.

Bagi yang merancang perjalanan pulang ke kampung atau melakukan perjalanan jauh, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan sentiasa peka dengan amaran rebut petir pada sebelah petang bagi mengelakkan risiko banjir kilat atau jalan licin.
Ibu bapa juga disarankan untuk memantau aktiviti anak-anak di luar rumah, terutama jika berlaku perubahan cuaca yang mendadak secara tiba-tiba.
Dapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi METMalaysia di www.met.gov.my atau gunakan aplikasi myCuaca untuk mendapatkan kemas kini cuaca dari semasa ke semasa. - KitaReporters/Kenyataan Media
