Bermula 15 Jun 2023, Skim Perubatan Madani (SPM), satu inisiatif perintis oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dilancarkan kepada kumpulan B40 di 10 daerah iaitu Johor Bahru (Johor), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak (Selangor), Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah). 

Skim ini menyediakan Rawatan Pesakit Luar Kes-Kes Akut secara percuma kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah di mana golongan berpendapatan rendah boleh mendapatkan rawatan di klinik perubatan swasta (GP) yang berdaftar di bawah Skim Perubatan Madani. 



Bertindak sebagai pelaksana skim, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) giat mempromosikan skim ini dalam memastikan penerimaan yang meluas dalam kalangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR). 

Sejak skim ini diperkenal, ProtectHealth telah secara proaktif mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil negeri yang berkaitan, agensi-agensi kerajaan, NGO, pertubuhan-pertubuhan serta pemimpin-pemimpin komuniti di seluruh negara seperti Yayasan Wilayah Persekutuan, FELDA, FELCRA, PERTIWI, PERPEKLI, UNI-MLC dan MySejahtera. 

Sehingga Julai 2023, ProtectHealth telah mengadakan taklimat kepada 70 Klinik Kesihatan (KK) dan 186 GP di 10 daerah ini. 

Dalam masa yang sama, enam (6) taklimat telah diadakan kepada Persatuan Penduduk PPR/PA dan komuniti setempat yang mempunyai kepadatan penduduk B40 yang tinggi. Antaranya, PPR Pangsapuri Sri Kasih, PPR Taman Kajang Sentral dan PPR Taman Medan Jaya. 



Tumpuan utama sesi libat urus ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang manfaat skim ini dan usaha kerajaan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan rawatan primer akut di sektor swasta bagi golongan berpendapatan rendah. 

Sehingga 1 Ogos 2023, jumlah GP yang berdaftar untuk skim ini melebihi 600 buah klinik dan 

dijangkakan jumlah klinik-klinik swasta ini akan meningkat pada masa akan datang. 

Sehingga kini, lebih daripada 28,000 isi rumah B40 telah mendapatkan rawatan di bawah Skim Perubatan Madani. 

Skim ini juga sedang dalam perancangan untuk diperluas ke daerah-daerah lain seperti Kota Bharu, Pasir Mas (Kelantan), Kuala Terengganu, Kuala Nerus (Terengganu), Kuantan (Pahang), Melaka Tengah (Melaka), Seremban (Negeri Sembilan), Kota Setar, Kuala Muda (Kedah), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis. 

Penerima yang layak menerima manfaat skim ini hanya perlu membawa kad pengenalan mereka ketika mendapatkan rawatan. 

Layari www.protecthealth.com.my/skimperubatanMadani untuk menyemak kelayakan dan senarai klinik panel atau hubungi 03-8687 2525. - KitaReporters/Kenyataan Media


12
10
0
16
0

Copy Link: