Suasana petang yang tenang di Lenggong, Perak bukan sekadar menyaksikan pembukaan semula sebuah galeri, tetapi turut menghidupkan kembali kenangan lama dan menyemai harapan baharu buat generasi akan datang.


Galeri Arkeologi Lembah Lenggong di Lenggong, Perak.

Bagi seorang pemimpin yang pernah berkhidmat di kawasan ini sekitar akhir 1990-an sehingga awal 2000-an, kehadirannya ke Galeri Arkeologi Lembah Lenggong bukanlah sesuatu yang asing.

Malah, langkah kakinya memasuki ruang galeri itu disambut dengan perasaan teruja apabila melihat perubahan besar yang telah dilakukan.

“Dulu saya pernah datang ke sini ketika galeri ini mula dirasmikan. Hari ini, bila melangkah masuk semula, saya rasa sangat gembira melihat ia berubah menjadi lebih menarik,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada majlis perasmian pembukaan semula Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dan pelancaran Duit Syiling Peringatan Tapak Warisan Dunia Malaysia di Lenggong pada 10  April 2026.

Galeri itu ditutup sejak dua tahun lalu, kini dibuka semula sejak Julai 2025. Ia ditutup bagi membolehkan galeri tersebut dinaik taraf.

Saarani berkata, kerja menaik taraf membabitkan kos RM5 juta telah memperkenal pelbagai elemen baharu termasuk teknologi hologram, paparan interaktif serta visual moden, sekali gus menjadikan pengalaman pengunjung lebih menarik dan mudah difahami.

Menurut beliau, galeri yang pernah sepi seketika itu kini kembali bernafas dengan wajah baharu. 

Pembukaan semula ini bukan sekadar menaik taraf bangunan, tetapi juga menghidupkan semula kisah panjang sejarah manusia yang tersimpan di bumi Lenggong -- sebuah kawasan yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.


Saarani Mohamad ketika menandatangani plak peramian Galeri Arkeologi Lembah Lenggong.

Namun begitu, katanya di sebalik kegembiraan itu, terselit satu harapan yang cukup dekat di hati -- agar generasi muda tidak sekadar mengetahui, tetapi benar-benar memahami warisan yang mereka miliki.

Beliau juga berkongsi secara bersahaja bagaimana cucu-cucunya sering bertanya sama ada mereka sudah boleh melawat galeri tersebut. Pertanyaan polos itu, katanya, cukup menggambarkan rasa ingin tahu yang perlu dipupuk sejak kecil.

“Saya nak pastikan cucu-cucu saya sendiri datang ke sini. Mereka perlu tahu dan bangga bahawa ini sebahagian daripada sejarah mereka,” ujarnya.

Bagi Saarani, sebelum pelancong luar dibawa mengenali Lenggong, masyarakat tempatan sendiri perlu menjadi ‘pakar’ kepada sejarah kawasan itu.

Dari pelajar sekolah rendah sehingga menengah, mereka harus diberi peluang untuk datang, melihat dan merasai sendiri pengalaman mempelajari sejarah di galeri tersebut.

Beliau turut mencadangkan agar lawatan pelajar diatur secara sistematik melibatkan sekolah-sekolah sekitar Lenggong, Kenering dan kawasan berhampiran.

“Usaha ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran di luar bilik darjah, malah berpotensi melahirkan generasi yang mampu menjadi duta kecil mempromosikan warisan negara.

“Kalau mereka faham, mereka boleh cerita kepada orang luar. Itu lebih bermakna,” katanya.

Sehubungan itu, Saarani turut menyatakan kesediaan untuk membantu menyediakan peruntukan bagi memastikan usaha membawa pelajar ke galeri dapat dilaksanakan secara berterusan.


Saarani Mohamad (dua dari kanan) melihat rangka Perak Man yang dipamerkan di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong.

Di sebalik artifak purba dan kisah sejarah yang dipamerkan, Galeri Arkeologi Lembah Lenggong kini kembali menjadi jambatan antara masa lalu dan masa depan -- menghubungkan generasi lama yang penuh kenangan dengan generasi baharu yang bakal mewarisi cerita.

Menurut Saarani, keindahan Lembah Lenggong terserlah melalui keindahan alam semula jadi. Kawasan ini dikelilingi gunung-ganang, tasik dan sungai yang membentuk landskap yang unik dan mempersonakan.

Selain itu, kawasan sekitar seperti Kampung Beng dan Tasik Raban turut dikenali sebagai Mini Amazon kerana keindahan hutan sungai serta kekayaan flora dan fauna.

“Keunikan ini melengkapkan lagi daya tarikan Lenggong sebagai destinasi yang menggabungkan warisan sejarah dan keindahan alam semula jadi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saraani berkata, pelancaran Duit Syiling Peringatan Tapak Warisan Dunia Malaysia oleh Bank Negara menampilkan keunikan enam Tapak Warisan yang terdapat di Malaysia iaitu Taman Negara Mulu Sarawak, Taman Kinabalu di Sabah, Melaka dan Georgetown di Pulau Pinang, Lembah Lenggong di Perak, Gua Niah di Sarawak dan FRIM di Selangor.

Katanya, penyertaan Lenggong dalam koleksi ini memperihat kedudukannya yang setara dengan tapak-tapak warisan lain yang diiktiraf pada peringkat dunia, sekali gus mengangkat lagi nilai warisan yang terdapat di negeri ini. - KitaReporters

13
12
0
18
0

Copy Link: