Gelombang baharu! Covid-19 kembali mengganas di Itali! Perintah berkurung dilaksanakan semula

Published by
KitaReporters

IBU KOTA Itali, Rome juga terkena 'lockdown' dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19. - Kredit foto: Britannica.com


KETIKA Malaysia sudah memulakan penggal persekolahan mulaI 1 Mac 2021 lalu, Itali akan menutup sekolah, restoran dan pusat beli belah di sebahagian negara itu mulai Isnin 15 Mac 2021 sehingga Hari Easter, termasuk di kawasan berpenduduk padat iaitu ibu negara Rome dan bandar raya Milan. 

Dalam tempoh ‘separuh’ lockdown ini, orang ramai di kawasan terlibat tidak dibenarkan meninggalkan rumah masing-masing, kecuali atas keperluan seperti bekerja, sebab-sebab kesihatan atau perkara lain yang mendesak.

Sekatan ini akan berlangsung sehingga hujung sambutan Hari Easter pada 3 hingga 5 April 2021

Dalam tempoh tiga hari ini pula, ‘total lockdown’ akan dilaksanakan di seluruh Itali. Segala aktiviti akan dihentikan dan orang ramai terus berada di kediaman masing-masing.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Itali:

https://kitareporters.com/search?search=itali



Kredit foto: ourworldindata.org


Memetik laporan bbc.news, langkah ini diambil sebagai mengekang penularan pandemik Covid-19 yang kini semakin mengganas di Itali. Negara itu kini sedang menghadapi ‘gelombang baharu’ Covid-19. Hospital pula semakin padat.

Itali, yang setahun lalu melaksanakan total lockdown, kini sekali lagi sedang bertungkus lumus mengekang penularan Covid-19 yang merebak dengan pantas. 

Pada minggu Easter, dijangka Itali akan menjadi kawasan merah dan kerana itu total lockdown dilaksanakan.

Itali sehingga kini telah mencatatkan lebih 3.202 juta kes dengan jumlah kematian 102,000 orang. Jumlah kes aktif ialah 520,061 dengan 517,079 kes sederhana dan 2,928 dalam keadaan kritikal.

Sejak enam minggu lalu, kadar jangkitan kes di seluruh Itali melepasi paras 25,000 orang sehari. Hanya di kawasan Sardinia sahaja kadar jangkitan agak rendah.

Kadar kematian yang dicatatkan oleh Itali merupakan kedua tertinggi di Eropah selepas United Kingdom. Kempen suntikan vaksin di negara itu juga menghadapi kekangan dan kelewatan, seperti juga di beberapa negara Kesatuan Eropah lain.


PERDANA Menteri Itali, Mario Draghi. - Kredit foto: Wikipedia


Perdana Menteri Itali, Mario Draghi mengakui, langkah kerajaan menutup sekolah dan sektor bisnes akan memberi kesan kepada pendidikan anak-anak, ekonomi dan kesihatan minda orang ramai.

Namun langkah itu perlu dilakukan untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk yang akan memerlukan langkah lebih drastik diambil. Jika ini berlaku, pastinya akan lebih menyusahkan rakyat dan menjejaskan ekonomi negara.

Memburukkan lagi keadaan, di sebahagian besar kawasan negara itu, kapasiti hospital, terutama sekali Unit Rawatan Rapi (ICU), telah melebihi keupayaan menampung. Ini adalah masalah besar bagi memenuhi keperluan rawatan yang terus bertambah setiap hari.

Jika kadar jangkitan tidak dapat dikekang, besar kemungkinan Itali akan berhadapan dengan masalah serius untuk menyediakan ruang mencukupi bagi menyediakan kemudahan rawatan dan perubatan untuk pesakit.


KEADAAN bilik darjah yang lengang apabila sekolah di Itali ditutup kerana Covid-19.  


Mengenai kelewatan program imunisasi yang menyebabkan program suntikan vaksin tergendala di Itali dan beberapa buah negara Kesatuan Eropah lain, ia kerana syarikat yang diberi tanggung jawab membekalkan vaksin, AstraZeneca mendakwa terlalu banyak sekatan dikenakan oleh beberapa buah negara berkenaan.

Sekatan ini menyebabkan syarikat tersebut gagal membekalkan kuantiti vaksin seperti diperlukan, sebaliknya bekalan merosot. Ini bukan pertanda baik khususnya bagi Itali yang sedang parah cuba mengekang Covid-19. - KitaReporters.com


PUSAT perniagaan di Itali akan ditutup mulai 15 Mac hingga Hari Easter bagi mengekang Covid-19. - Kredit foto: Travel Triangle.

1
0
0
0
0

Copy Link: