Petugas Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dalam sesi taklimat perkembangan COVID-19 daripada Kluster Bukit Bayas.- Kredit foto: FB Dr Nor Azimi Yunus


Kluster Bukit Bayas kini menghantui petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) apabila mereka berjaya mengesan seramai 48 kes positif COVID-19 dengan 954 kontak rapat berpunca daripada aktiviti rentas negeri sejak ia didaftarkan pada 8 Mac 2021.

Susulan itu, Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus, bertindak turun padang ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu, untuk meninjau aktiviti kawalan cluster berkenaan.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan JKNT:

https://kitareporters.com/search?search=JKNT


Dr Nor Azimi Yunus


Kluster berkenaan membabitkan lima daerah iaitu Kuala Terengganu, Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

Katanya, kes terbabit dikesan apabila kontak rapat keluarga akhirnya menjangkiti kontak rapat tempat kerja dan seterusnya menjangkiti kontak rapat sosial. 

“Geng joging dan bermain golf pun djangkiti. jangan pandang ringan kebolehjangkitan COVID-19 ini," katanya menerusi hantaran Facebook miliknya pada Jumaat 12 Mac 2021.

"Cuba lihat besarnya kawalan yang perlu dibuat. Selagi mampu kami akan terus melakukan aktiviti 'containment' (pembendungan). Kami tak mahu ianya menjadi seperti Kluster Kebor Air yang mengambil masa yang lama untuk surut," jelas beliau.


 


Dr Nor Azimi berkata, setiap kali kluster baru muncul setiap kali itu petugas kesihatan berhempas pulas mengesan kes dan memberi rawatan, serta mengesan kontak rapat dan melakukan ujian saringan dan isolasikan mereka, segalanya perlu dibuat dengan pantas

Kluster Bayas berpunca daripada aktiviti rentas negeri dan ini alasan kenapa JKNT keberatan untuk membenarkan rentas negeri buat masa ini kerana kesannya cukup terasa kepada petugas kesihatan yang telah bertungkus lumus sejak setahun yang lalu.

Katanya, usaha untuk membendung penularan secara besar-besaran akan terus dilakukan bagi mengelak kadar kes melonjak dengan cepat sekaligus mengambil masa lama untuk reda. 

Kluster Bukit Bayas direkodkan sejak 8 Mac 2021 lalu di mana merupakan kluster komuniti melibatkan daerah Kuala Terengganu di Terengganu, Johor Bahru (Johor) dan Petaling (Selangor).

Kes indeks bagi kluster ini ialah Kes 3223 yang merupakan seorang wanita warganegara Malaysia berusia 28 tahun dilaporkan positif Covid-19 pada 3 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.



Sehingga Jumaat 12 Mac 2021, JKNT telah merekodkan pertambahan empat kes sembuh dan 16 kes baharu COVID-19 menjadikan terdapat 140 kes kes COVID-9 aktif di negeri ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,358 kes.

Sebanyak 138 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa, manakala dua kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di mana satu daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. - KitaReporters


2
1
3
0
0

Copy Link: