Kemurungan dan tekanan perasaan yang dialami tiga ekor gajah dari Malaysia yang kini berada di sebuah zoo di Jepun bakal berakhir apabila ke semuanya bakal di bawa pulang ke tanah air tidak lama lagi.


 



Episod hitam tiga gajah yang diberikan nama Dara, Amoi dan Kelat ini bermula apabila ketiga-tiga mereka dipindahkan ke Zoo Tennoji Osaka, Japan pada tahun 2022 melalui perjanjian bersama Zoo Taiping & Night Safari. 

Buat pengetahun semua pembaca, perjanjian ini adalah dibuat secara perjanjian perniagaan dan bukan perjanjian antara kerajaan. 

Selama empat tahun ini, ketiga-tiga gajah berkenaan menunjukkan tindak balas yang berbeza iaitu terdapat simptom-simptom kemurungan pada haiwan berkenaan di mana perubahan persekitaran dan cuaca yang berbeza di Malaysia dan Jepun menjadikan ketiga-tiga gajah ini tidak dapat menyesuaikan diri dan mengalami kemurungan. 

Kehidupan Dara, Amoi, dan Kelat bertukar 180 darjah bermula pada 19 Mei 2022 di Taiping di mana pemindahan melibatkan seekor gajah jantan diikuti pada 6 Oktober 2022 melibatkan dua ekor gajah betina ke Osaka, Jepun.



Baru-baru ini penulis ada membaca kisah tular dalam media sosial seorang pelancong dari Malaysia yang sedang bercuti di Jepun telah mengambil kesempatan untuk melawat gajah-gajah tersebut di Zoo Tennoji, Osaka. 

Menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam akaun TikTok @qasehdeeyana2, detik pertemuan itu ternyata mengundang pelbagai reaksi emosi sedih dan sayu. 

Dalam rakaman tersebut, Qaseh yang berdiri di kawasan pemerhatian pelawat cuba berinteraksi dengan gajah-gajah berkenaan. 

Qaseh juga sempat memanggil nama-nama gajah berkenaan dari kejauhan, “Amoi… Dara… Kelat…” 

Apa yang mengejutkan dan menyentuh hati adalah reaksi dan tindak balas yang ditunjukkan oleh haiwan-haiwan tersebut. Sebaik sahaja nama mereka diseru dengan lenggok bahasa yang cukup sinonim dengan tanah asalnya, gajah-gajah itu dilihat memberikan respons fizikal dengan berjalan dekat dengan suara si pemanggil. 

Menerusi beberapa siri video lain yang dikongsi oleh Qaseh, Amoi dan Dara dilihat seakan-akan faham dan teruja apabila nama mereka disebut berulang kali. 

Interaksi singkat tetapi penuh bermakna itu turut disaksikan oleh beberapa pengunjung zoo yang lain di sekeliling kawasan pameran tersebut. 

Cadangan untuk membawa pulang tiga gajah Malaysia Dara, Amoi dan Kelat dari Jepun kini mendapat perhatian serius apabila kerajaan menyatakan kesediaan untuk menilai usaha tersebut secara menyeluruh.


Arthur Joseph Kurup. - Kredit foto: Bernama


Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, menegaskan bahawa pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berpandangan cadangan berkenaan mempunyai asas kukuh, khususnya apabila melibatkan kepentingan awam dan sensitiviti semasa rakyat Malaysia. 

Menurut beliau, Zoo Taiping & Night Safari disaran untuk memulakan rundingan dengan Zoo Tennoji bagi menilai keperluan serta mekanisme terbaik untuk membawa pulang ketiga-tiga gajah tersebut ke tanah air memandangkan kedua-dua zoo berkenaan adalah pihak yang mempunyai obligasi kontraktual. 

“Setelah meneliti memorandum yang dikemukakan, kementerian secara prinsipnya berpandangan bahawa cadangan untuk mengembalikan ketiga-tiga gajah ini adalah wajar dipertimbangkan dengan serius,” katanya. 

Apa yang penulis tahu, satu petisyen dalam talian yang dilancarkan oleh aktivis dan pencinta haiwan tempatan kini semakin mendapat sokongan, mendesak agar Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang ke Malaysia. 

Petisyen tersebut menekankan kebimbangan terhadap kebajikan haiwan, kesesuaian habitat, serta kepentingan memelihara spesies gajah dalam konteks ekosistem tempatan. Ia juga mencerminkan sentimen rakyat yang melihat ketiga-tiga gajah itu sebagai sebahagian daripada warisan negara. 

Difahamkan, petisyen berkenaan telah berjaya mengumpul 149,000 sokongan daripada orang ramai, menghampiri sasaran 150,000 tandatangan yang ditetapkan bagi mendesak ketiga-tiga gajah tersebut dibawa pulang ke Malaysia.


 


Terima kasih seluruh rakyat Malaysia yang sama-sama berganding bahu membuat petisyen berkenaan untuk membawa pulang legasi gajah yang sememangnya dikenali sebagai antara haiwan yang pintar dan mempunyai deria yang keenam (six sense) yang unik ini. 

Semoga kita semua dapat melawat Dara, Amoi dan Kelat di Zoo Taiping atau mana-mana zoo di Malaysia, di mana tempat tanah tumpah darahnya haiwan-haiwan ini. - KitaReporters

12
18
0
13
0

Copy Link: