Pemandangan kawasan tanah runtuh di tebing Sungai Kelantan di Pasir Mas, Kelantan. - Kredit foto-foto: Ihsan Facebook Atie Mustapha.


BANJIR sudah surut, musim hujan pun sudah berhenti, namun ada pula ujian lain menimpa penduduk di Kelantan. Ujian yang terbaharu ini membabitkan penduduk di Kampung Jalan Pohon Celagi, Pasir Mas, yang terletak di tebing Sungai Kelantan.

Terkini, dilaporkan seramai 50 penduduk di situ telah dipindahkan akibat kejadian runtuhan tebing sungai pada awal pagi Rabu, 17 Februari 2021. Kira-kira 15 keluarga terbabit dalam runtuhan tanah itu.


Lagi kisah-kisah berkaitan tanah runtuh:

https://kitareporters.com/search?search=tanah+runtuh


Runtuhan tanah menutupi sebahagian jalan. - Kredit foto: FB Atie Mustapha


Memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, pihaknya menerima maklumat berlaku rekahan sejak dua hari lalu sebelumnya dan rekahan itu semakin ketara mulai malam tadi serta penduduk menyedari berlaku runtuhan sekitar jam 5.00 dan 6.30 pagi 17 Februari 2021.

Difahamkan daripada laporan Astro Awani, runtuhan itu disebabkan berlaku aliran air yang memasuki ke dalam tanah di kampung itu bermula jam 2.30 pagi tadi, seperti yang dimaklumkan oleh Exco Negeri Kelantan, Datuk Haniffa Ahmad dalam temu bual.

Beliau berkata, kejadian runtuhan itu terjadi disebabkan berlakunya terjahan air ke tebing terbabit, ekoran daripada kejadian banjir yang lalu.



Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk mangsa, iaitu di dewan Majlis Daerah Pasir Mas, yang boleh memuatkan dalam 70 orang mengikut SOP penjarakan Covid-19, jika tidak mencukupi akan dibuka dewan sekolah pula.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku, melihatkan gambar ada satu kenderaan yang terperangkap, di mana garis runtuhan sampai ke kawasan tayar belakang, satu tayar di kiri kelihatan tergantung, manakala sebahagian besar badan kereta masih di atas tanah. 

Tanah runtuh yang menyerong di bahagian belakang kereta, menyebabkan kereta terperangkap di situ, tiada jalan untuk keluar. 

Kawasan terbabit dilaporkan berisiko runtuh lagi dan dalam keadaan berjaga-jaga.  Kawasan berisiko dengan runtuhan sekitar 300 meter hingga 500 meter kaki persegi, dan yang telah runtuh adalah 100-200 meter persegi.


Pemandangan dari belakang rumah di kawasan tanah yang runtuh. - Kredit foto:  Atie Mustapha


Difahamkan kawasan berkenaan telah dikategorikan tidak selamat, justeru penduduk berhampiran dan peniaga serta orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu diminta supaya berjaga-jaga dan berhati-hati, jika berlaku lagi pergerakan tanah di kawasan itu, mereka akan diarah pindah serta merta.

Kesemua jalan masuk ke Kampung Jalan Pohon Celagi, telah diarah tutup bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.


Sungai sangat dekat dengan kawasan rumah. - Kredit foto: FB Atie Mustapha


Diberitakan, runtuhan itu mula berlaku mulai 2.30 pagi hingga 6.30 pagi dan sehingga tengah hari masih berlaku pergerakan tanah menyebabkan semua penduduk diminta berpindah.

Seorang awam, Rosmawati Mustapha, yang kebetulan lalu di kawasan itu tengah hari tadi, sempat meninjau kawasan runtuhan berkenaan dan merakam beberapa gambar, yang dimuat naik dalam laman Facebooknya, Atie Mustapha. Beliau bermurah hati mengizinkan gambar-gambar itu dikongsikan di KitaReporters.com.


Tanah retak, berisiko untuk runtuh pada bila-bila masa sahaja. - Kredit foto: FB Atie Mustapha


Menurut Atie, tiada saudara maranya yang terbabit, kebetulan sahaja dia lalu di kawasan itu ketika hendak membawa anaknya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan sakit mata.

Ketika gambar dirakam jam 1 petang tadi 17 Februari 2021, katanya tanah seperti masih ada pergerakan.

"Baru sangat ni, tanah masih bergerak sewaktu saya berada di sana," ujarnya dalam temu bual kami melalui mesej Facebook. - KitaReporters

0
0
2
0
0

Copy Link: