ORANG ramai khususnya golongan wanita dinasihatkan tidak membeli atau menggunakan sembilan produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - KitaReporters

Dr. Noor Hisham Abdullah. - Kredit foto: Bernama.


Produk-produk berkenaan termasuk dua jenama terkenal di Malaysia meliputi Laika Cream, Zulai Cream dan Yus Cream dari Deeja Cosmetics; Dnars Luvee Cream (Normal & Sensitif) dan Dnars Gold Lifthing Serum (Night); Sparkle Beauty Cream, Sparkle Sun Day Cream; Qeziger Age-locking Recharging Spot AM Cream dan MS Skinz Night Cream.



Kesemua produk terlibat dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-Valerate.

Mengesahkan demikian, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr, Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan yang diedarkan memberitahu, notifikasi produk-produk tersebut sudah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Menurutnya, produk-produk yang dikesan mengandungi betamethasone 17-valerate, hydroquinone dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan


Mengulas lanjut, beliau berkata, jika digunakan tanpa pengawasan kalangan profesional  dan secara tidak terkawal boleh mendatangkan kesan sampingan waima memudaratkan kesihatan.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menasihati mereka  yang sedang menggunakan produk kosmetik terbabit segera menghentikannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers (buruk).


Manakala  penjual dan pengedar produk kosmetik berkenaan juga perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta kerana mereka boleh didakwa melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” ujar Dr. Noor Hisham.

Selain itu, syarikat yang melakukan kesalahan sama juga boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.



Dr. Noor Hisham turut menasihati orang ramai yang ragu-ragu terhadap sesuatu jenama kosmetik agar menyemak status notifikasi produk berkenaan terlebih dahulu dengan melayari laman web rasmi NPRA atau melalui aplikasi 'NPRA Product Status' yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Untuk maklumat, antara kesan-kesan sampingan yang boleh diperoleh akibat penggunaan produk mengandungi racun berjadual ialah kemerahan pada kulit, meningkatkan risiko kanser kulit, berjerawat, hipersensitif kepada cahaya matahari, ruam serta  kerosakan buah pinggang dan sistem saraf

Jadi kepada kaum wanita semua mahu pun golongan lelaki yang tidak ketinggalan menggunakan produk kosmetik perlulah berhati-hati memilih produk terutama sekali produk-produk berjenama baharu yang kini tumbuh bagaikan cendawan di musim hujan. - KitaReporters


3
2
1
1
2

Copy Link: