PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengulangi sokongannya kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam memerangi penularan wabak maut penyakit Koronavirus-2019 atau Covid-19 dengan melancarkan satu kempen kesedaran yang diketuai enam jurulatih ternama dunia. : KitaReporters 

GIANNI Infantino (kanan) dan Datuk Hamidin Mohd. Amin, Presiden FAM (tengah). - Kredit foto: FAM



FIFA, pada Isnin, 16 Mac 2020, menyeru setiap orang di seluruh dunia supaya mematuhi ‘formasi’ lima taktik itu dalam membendung penularannya yang bertumpu kepada lima aspek iaitu tangan, siku, muka, jarak dan rasa, yang sejajar dengan langkah-langkah pencegahan asas yang disarankan WHO.

 Siaran media yang dihantar melalui emel kepada penulis, menyebut: 

“Kita tahu keadaan dengan Covid-19 merupakan sesuatu yang serius dan kita perlu mengutamakan kesihatan kita. 

“Saya menggesa anda mematuhi lima disiplin utama taktik ini sepanjang masa,” kata Ketua Pembangunan Bola Sepak Dunia, Arsene Wenger yang terkenal dengan zaman kegemilangan gergasi Liga Perdana England, Arsenal.

ARSENE Wenger (kanan), Ketua Pembangunan Bola Sepak Dunia FIFA, menyarankan lima formasi disiplin untuk 'membentes' Covid-19. - Kredit foto: fifa.com


Turut menyokong seruan itu ialah Mauricio Pochettino, bekas seteru Wenger di London dan pemain antarabangsa Argentina dan pengurus Tottenham Hotspur

Katanya, “mulakan dengan tangan anda. Tolong basuh tangan anda dengan kerap, jika boleh, dengan bahan pencuci yang berasaskan alkohol.

"Kerap membasuhnya dengan sabun dan air atau yang disarankan bahan berasaskan alkohol, mampu membunuh virus yang mungkin terlekat pada tangan anda, mudah sahaja tetapi amat penting!"

Jurulatih pasukan wanita Manchester United, Casey Stoney juga menyertai kempen ini dengan berkata, “dengan melipat siku anda, sila tutup hidung dan mulut jika anda bersin dan batuk. Jika menggunakan tisu, buangkannya serta-merta.  

"Setiap titisan cecair akibat bersin atau batuk mampu menyebarkan Koronavirus, namun dengan mematuhi kebersihan pernafasan, anda melindungi orang di persekitaran daripada dijangkitinya." 

“Bagi muka anda, elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut anda. Ini mampu menghalang virus itu daripada memasuki badan anda,” ujar Aliou Cisse, jurulatih kebangsaan Senegal. 

"Menyentuh terlalu banyak permukaan mampu mengambil virus itu dengan cepat. 

"Sebaik sahaja tercemar, tangan boleh memindahkan virus itu kepada muka anda yang dari situ, memasuki badan anda, sekali gus menjadikan anda tidak sihat," tambah Cisse. 

Jose Mourinho, Jurulatih Terbaik Dunia FIFA 2010 bagi bola sepak lelaki dan kini menguruskan Spurs, berkata: “Dalam soal hubungan sosial, cubalah berundur. Jarakkan semeter sekurang-kurangnya daripada sesiapa yang batuk atau bersin. 

"Dengan mengekalkan jarak itu, anda membantu mengelak bernafas dalam sebarang titisan daripada sesiapa yang bersin atau batuk dalam jarak yang dekat."

JILL Ellis (kiri) bersama-sama pengurus skuad wanita Belanda, Sarina Wiegman. - Kredit foto: fifa.com


Jill Ellis, jurulatih pasukan Amerika Syarikat juara Piala Dunia Wanita 2015 dan 2019, meminta orang ramai terus tinggal di rumah jika berasa tidak sihat. 

"Dalam beberapa negara, pengasingan mungkin dinasihatkan atas alasan kesihatan. Sila patuhi semua arahan daripada pihak berkuasa kesihatan tempatan anda. 

"Jika anda menghidap demam, batuk atau sukar bernafas, dapatkan bantuan perubatan dan hubungi pihak berkuasa kesihatan lebih awal supaya anda mendapat perlindungan sewajarnya dan mengelak penularan virus itu atau jangkitan lain." 

“Jadi sila sentiasa dapatkan maklumat itu,” rumus Presiden FIFA, Gianni Infantino

“Ikuti semua saranan ini dan sokonglah WHO dalam usaha mereka membanteras Coronavirus. Bersama-sama, kita akan memenangi perlawanan yang getir ini,” sambungnya. 

Pesanan FIFA dan WHO ini turut disampaikan secara video yang bertempoh seminit 43 saat dalam empat bahasa iaitu Inggeris, Jerman, Sepanyol dan Perancis. - KitaReporters 

KONGRES FIFA Ke-70 yang dijadualkan pada 5 Jun 2020 terpaksa ditangguhkan ke 18 September 2020 di Addis Ababa gara-gara Covid-19. - Kredit Foto FAM 


0
0
0
0
0

Copy Link: