Tahniah SMK Seri Bali, Chaah! Jadi wakil tunggal daerah Segamat ke Anugerah TV PSS peringkat Johor!

Published by
KitaReporters

Pengetua SMK Seri Bali, Chaah, Johor Ruzita Mohd. Kasim (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pengerusi Masjid Chaah, Johor, Harris Md.Noor selaku perasmi Perpustakaan Multimedia dan Studio TV PSS SMK Seri Bali.

Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bali, Chaah, Johor boleh berbangga kerana terpilih menjadi wakil tunggal daerah Segamat di Anugerah TV PSS ( Pusat Sumber Sekolah) Peringkat Negeri Johor Tahun 2022 bagi kategori Studio TV PSS yang akan bermula penilaiannya pada awal September 2022 depan.

Pengetuanya, Ruzita Mohd. Kasim menyifatkan peluang tersebut sebagai kesempatan terbaik kepada pelajar untuk menonjolkan kemampuan mereka, sekali gus membuktikan pelajar di kawasan luar bandar tidak tertinggal berbanding rakan mereka di bandar.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sekolah-sekolah menengah

Tetamu yang terdiri daripada ibu bapa dan guru diberi peluang melihat hasil kerja berupa video yang diterbitkan oleh pelajar.

"Sebenarnya studio TV PSS dan perpustakaan multimedia ini belum pun sampai dua bulan diwujudkan selepas tertangguh agak lama disebabkan kekangan pelbagai masalah berikutan negara yang dilanda pendemik Covid-19 selama hampir dua tahun sebelum ini.  

"Namun syukur kewujudan studio ini akhirnya menjadi kenyataan walaupun masih belum dapat disempurnakan seratus peratus terutama aspek peralatan di mana peralatan sedia ada ketika ini merupakan peralatan asas sahaja seperti lampu studio, kamera DSLR, kamputer riba dan sebuah projektor sahaja," katanya ketika Majlis Perasmian Studio dan Perpustakaan Multimedia SMK Seri Bali, Chaah pada 21 Ogos 2022.

Katanya, biar pun tarikh penilaian semakin hampir, pihak sekolah akan berusaha sebaik mungkin untuk memikat hati panel juri nanti walaupun tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi dalam pencalonan kali pertama pada Anugerah TV PSS (Pusat Sumber Sekolah) Peringkat Negeri Johor tahun ini yang disifatkannya sebagai anugerah pada peringkat yang tinggi.



Pengerusi Masjid Chaah, Harris Md.Noor menandatangani plak perasmian perpustakaan multimedia SMK Seri Bali Chaah, Johor sambil diperhatikan oleh Pengetuanya, Ruzita Mohd. Kasim.


Menurutnya, pihak sekolah yang turut menjalin kerjasama dengan beberapa pihak luar seperti pentadbiran Masjid Chaah juga berharap perpustakaan multimedia dan studio TV PSS ini mampu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pelajar di sekolah tersebut khususnya dalam usaha melahirkan insan yang berpengetahuan dalam bidang multimedia.

Dalam masa sama beliau turut mengamalkan sikap pintu terbuka kepada mana-mana pihak untuk tampil berkongsi ilmu pengetahuan serta pengalaman melibatkan kaedah pengendalian studio serta penerbitan video mahu pun menghasilkan filem pendek mencakupi teknik rakaman suntingan dan sebagainya dengan ahli kelab multimedia sekolah tersebut.

Sebahagian tetamu  sempat merakam gambar kenangan di studio TV PSS SMK Seri Bali Chaah, Johor selepas Majlis Perasmian Perpustakaan Multimedia sekolah tersebut.

Sementara itu, Penyelaras Perpustakaan Multimedia, Dayang Birat berkata, sepuluh orang pelajar telah dilantik sebagai 'krew'  studio TV PSS dan perpustakaan multimedia tersebut dimana mereka turut dilatih untuk  menghasilkan video, menulis berita dan melaporkan aktiviti-aktiviti di sekolah.

Menurutnya, pelbagai aktiviti lain juga turut dirancang sepanjang sesi persekolahan tahun 2022 ini yang diharap bakal menjadi nilai tambah kepada kecemerlangan pelajar terbabit bukan sahaja dalam bidang akademik, malah kokurikulum lain bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam kemajuan dunia digital masa kini. 

Katanya, kewujudan perpustakaan multimedia dan studio TV PSS tersebut sedikit sebanyak akan memberi kemudahan kepada semua pelajar untuk mengekses pelbagai laman sesawang bagi tujuan membuat rujukan mahu pun mendapatkan maklumat berkaitan pembelajaran sebagai pelengkap kepada apa yang diajar oleh guru-guru. 


Pelajar diberi peluang untuk merakam gambar dan video tetamu Majlis Perasmian Perpustakaan Multimedia SMK Seri Bali Chaah, Johor.

"Melalui aktiviti yang telah dilaksanakan sebelum ini, kami mendapati pelajar yang terbabit dengan kelab multimedia ini bukan sahaja mempunyai minat mendalam dalam bidang penerbitan dan penyiaran, malah mereka juga berbakat dan kreatif dalam usaha menghasilkan bahan penerbitan seperti video serta gambar pegun.

"Saya yakin bakat pelajar ini jika digilap dengan betul, mereka mampu mencapai kecemerlangan dalam akademik dan bidang lain khususnya berkaitan penerbitan serta penyiaran sekali gus mampu bersaing dengan rakan mereka yang menpunyai kemudahan lebih baik di bandar.

Dalam pada itu, dia juga berharap dapat melengkapkan studio TV PSS dan perpustakaan multimedia itu dengan  peralatan yang diperlukan dalam masa terdekat bagi memastikan segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada semua pelajar sekolah tersebut. - KitaReporters


Sebahagian ibu bapa dan murid yang hadir di Majlis Perasmian Perpustakaan Multimedia SMK Seri Bali, Chaah, Johor.

23
17
0
14
0

Copy Link: