Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini (17 April 2023) mengumumkan Program Mangkin Malaysia Digital (Pemangkin) akan menambah sebanyak sembilan sektor tumpuan melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion yang bakal menjana hingga 49,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.

Sembilan sektor tumpuan yang telah dikenal pasti oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melibatkan pelancongan digital, pertanian digital, bandar digital, kandungan digital, kewangan digital, perdagangan digital, servis digital, kesihatan digital dan ekonomi digital Islam. 

Penambahan sektor tumpuan ini sekali gus akan meningkatkan ketersediaan dan daya saing di samping memacu inovasi serta kerjasama dalam kalangan pemain industri. 

Malaysia Digital (MD) yang dilancarkan pada tahun lepas (2022) merupakan inisiatif strategik nasional untuk menggalak dan menarik syarikat, bakat dan pelaburan di samping membolehkan syarikat-syarikat Malaysia serta rakyat memainkan peranan utama dalam ekonomi digital global. 

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui MDEC akan terus memperkenal lebih banyak program Pemangkin baharu dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital pilihan di ASEAN serta membuka peluang untuk semua selari dengan konsep Malaysia Madani.

Turut hadir pada majlis ini ialah Pengerusi Bukan Eksekutif MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz. - KitaReporters/Kenyataan Media


17
18
0
15
0

Copy Link: