INILAH  jumlah paling tinggi ganjaran atau `pencen` yang mampu diperolehi pewaris pencarum dalam program Penjana Gig yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu pekerja yang berdaftar dengan penyedia aplikasi seperti Grab, Foodpanda dan pekerja tidak bergaji tetap. : Kitareporters


Lagi cerita-cerita berkaitan Perkeso:

https://kitareporters.com/search?search=perkeso


Pencen sehingga lebih RM1,395 sebulan itu yang disediakan oleh dana kerajaan yang hanya memerlukan pekerja itu mencarum dalam 30 peratus sahaja. Manakala baki 70 peratus lagi adalah dana yang disediakan sepenuhnya oleh kerajaan.

Malangnya, kata Pegawai Skuad Perkeso Prihatin, Izaini Kamaruddin, tak sampai 20 peratus pekerja itu termasuk di Lembah Klang yang tahu adanya skim ini yang sebahagian besarnya manfaat kepada keluarga mereka.


Izaini (gambar) dalam satu pertemuan memberitahu, ramai pekerja yang berkhidmat dalam platform aplikasi itu mungkin tidak tahu bahawa pencen itu akan dibayar seumur hidup kepada pasangan mereka sekiranya pencarum terbabit meninggal dunia akibat kemalangan.

Dalam Penjana Gig ni, pencarum hanya perlu membayar RM69.80 saja setahun dan bakinya RM163 lagi ditanggung oleh kerajaan. Keseluruhan bayaran caruman adalah RM232.80 setahun. 


Penjana Gig ini diperkenalkan pada 1 Jun lalu, menyasarkan 300,000 pekerja yang tidak bergaji tetap dan berkhidmat dengan penyedia platform aplikasi.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sehingga kini, hanya 0.8 peratus atau 2,533 pekerja ekonomi gig (pekerja yang bergaji berdasarkan tugasan) mencarum dengan Penjana Gig daripada sasaran 300,000 pekerja. 

Ketika membentangkan laporan Laksana ke-21 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), baru-baru ini Tengku Zafrul berkata, Penjana Gig itu menetapkan bayaran RM232.80 setahun. Kerajaan membayar 70 peratus (RM163) manakala 30 peratus (RM69.80) lagi ditampung oleh pekerja gig atau penyedia platform.

Sehubungan dengan itu, Izaini berharap pekerja terutama pemandu e-hailing dan penghantar makanan mengambil peluang mencarum dengan Perkeso dan/atau skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar mendapat perlindungan Penjana Gig, demi manfaat untuk waris sekiranya berlaku kecelakaan pada pencari nafkah utama keluarga.

Beliau memberi contoh ada keluarga di Melaka itu menerima manfaat berkenaan selepas suaminya meninggal dunia sebaik saja dua hari mencarum dalam Penjana Gig berkenaan.

Beliau kesal sebab ada sesetengah pekerja yang enggan mencarum wang gaji mereka dalam Perkeso atas alasan wang berkenaan diperlukan untuk keperluan semasa.


"Mereka rugi kerana bukan saja kehilangan manfaat malah turut `terlepas` mendapat caruman tambahan daripada majikan," katanya.

Izaini yang kesal apabila menyiasat ada kes kemalangan membabitkan pekerja, diberi surat oleh majikan mereka yang ditandangani pekerja terbabit menolak caruman berkenaan.

Katanya lagi, Penjana Gig ini ini adalah manfaat Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bukan saja meliputi faedah perubatan, pendidikan dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional tetapi juga termasuk beberapa faedah lain yang turut memberi manfaat kepada ahli keluarga.

"Antara manfaat yang akan diterima adalah Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK), Faedah Orang Tanggungan (Kematian) kepada Pasangan/Ibu Bapa/Adik-Beradik/Anak yang membolehkan keluarga menerima RM1,395 sebulan sepanjang hayat dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000.

"Semua pihak harus memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran mengenai betapa pentingnya untuk mencarum bagi keselamatan sosial, terutamanya bagi pekerja ekonomi gig," katanya. - KitaReporters

Penjana Gig ni bayar caruman dalam Perkeso cuma RM60 saja setahun, faedahnya untuk seumur hidup,,,Izaini Kamaruddin.

1
0
1
0
0

Copy Link: