Video| Ingatkan anak buah ketuk tingkap! Rupanya anak bangau minta tolong! Adi Fasha kongsi cerita!
Published byBiasanya masuk sahaja bulan March dan April, Malaysia akan mengalami fenomena cuaca panas yang membahang. Fenomena ini kesannya bukan sahaja dirasai manusia, malah turut memberi tekanan kepada hidupan liar.
Suhu meningkat, sumber air semakin berkurangan serta perubahan persekitaran menjadikan habitat semula jadi semakin mencabar untuk didiami.
Dalam keadaan ini, spesies burung air seperti bangau antara yang terkesan apabila kawasan paya dan sawah mula mengering atau berubah.
Burung bangau merupakan spesies yang cukup sinonim dengan kawasan tanah lembap seperti sawah padi, paya dan sungai cetek. Ia mudah dikenali melalui kaki yang panjang, leher yang lentik serta pergerakan yang tenang ketika mencari makanan.
Sumber makanannya terdiri daripada ikan kecil, katak
dan serangga air, menjadikan kewujudan air sebagai elemen penting dalam
kelangsungan hidupnya. Justeru, apabila cuaca panas melanda dan sumber air
terjejas, bangau berdepan cabaran untuk mendapatkan makanan dan perlindungan.
Di negara ini, kehadiran bangau sering dikaitkan dengan keseimbangan ekosistem, khususnya di kawasan luar bandar seperti Tanjung Karang, Selangor, yang terkenal dengan landskap sawah padi.
Namun, perubahan cuaca yang tidak menentu boleh menyebabkan spesies ini tersasar daripada habitat asal atau berada dalam keadaan lemah dan terdedah kepada risiko.

Satu video yang dikongsikan oleh personaliti media sosial, Adi Fashla Juraimi, menarik perhatian ramai.
Dalam video pertama itu, anak bangau tersebut dilihat mengetuk tingkap bilik, seolah-olah cuba menarik perhatian dan meminta pertolongan.
Aksi itu bukan sahaja mengundang rasa simpati, malah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang tersentuh melihat keadaan haiwan tersebut yang dipercayai berada dalam kesukaran akibat persekitaran.
Video kedua pula memperlihatkan perkembangan yang lebih melegakan apabila anak bangau itu dilepaskan kembali ke habitatnya.
Dalam rakaman tersebut, burung berkenaan dilihat perlahan-lahan mengembangkan sayap sebelum terbang bebas, meninggalkan kawasan tersebut dan kembali ke alam semula jadi.
Adi Fashla, merupakan bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim pertama dan pernah mencipta nama sebagai penyampai radio, kini aktif berkongsi kandungan dalam media sosial.
Perkongsiannya kali ini bukan sahaja merakam satu momen, tetapi turut membawa mesej tentang keprihatinan terhadap hidupan liar.
“Aku ingatkan anak buah aku main ketuk-ketuk kat tingkap bilik! Rupa-rupanya seekor anak burung bangau berpaut kat tingkap. Aku keluar rumah dan nampaklah anak burung bangau ni macam struggle sikit.
"Aku terus pegang kaki dan lehernya tanpa ada tentangan daripada bangau ni dan masukkan dalam sangkar dan bawa masuk rumah.
"Mungkin ia kepanasan! Kita ni pun tak tahan panas ya, inikan lagi makhluk kecil Tuhan ni. Jadi, nanti kalau dah okay, aku lepaskan baliklah burung ni,” tulisnya.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di sekitar Tanjung Karang, Selangor, kawasan yang terkenal dengan landskap sawah padi dan menjadi habitat semula jadi bagi pelbagai spesies burung air.
Namun dalam keadaan cuaca panas dan perubahan persekitaran, tidak mustahil haiwan seperti ini tersasar dan memerlukan bantuan manusia.

Perkongsian dua video tersebut turut menerima reaksi positif daripada netizen yang rata-rata tersentuh dengan situasi berkenaan.
Walaupun kelihatan sebagai satu tindakan kecil, usaha melepaskan semula haiwan ke habitat asal sebenarnya membawa makna besar dalam usaha memelihara keseimbangan alam.
Ia juga menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam memastikan kelestarian hidupan liar terus terjaga. Syabas Adli! - KitaReporters
