Berlari dengan kain sarung! Dungun Sarong Fun Run 4.0! Larian di Taman Tasik Sura pada 6 Jun 2026!
Published byAcara larian santai berkonsepkan budaya tempatan, Dungun Sarong Fun Run 4.0 (atau Larian Santai Sarung Dungun 4.0), bakal kembali menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan pada 6 Jun 2026 ini di Taman Tasik Sura.

Kini memasuki edisi keempat, penganjuran program tersebut dilihat semakin mendapat sambutan apabila ia berkembang daripada aktiviti komuniti berskala kecil kepada acara tahunan yang dinanti-nantikan penduduk setempat.
Inisiatif itu pada asalnya diwujudkan bagi memberi peluang kepada masyarakat luar bandar merasai pengalaman menyertai acara larian secara santai, yang sebelum ini lebih tertumpu di kawasan bandar.
Pengarah program, Amran Abdullah berkata, konsep pemakaian kain sarung menjadi tarikan utama yang bukan sahaja mencetuskan kelainan, malah mewujudkan suasana mesra dan inklusif dalam kalangan peserta.

Menurut beliau, acara itu pada awalnya sekadar usaha kecil untuk menggalakkan penyertaan penduduk kampung di sekitar Dungun agar dapat merasai pengalaman menyertai acara larian seperti di bandar.
“Peserta terdiri daripada pelbagai peringkat usia, termasuk golongan nelayan dan penduduk tempatan.
"Pemakaian kain sarung ini secara tidak langsung menjadi simbol kebersamaan dan mencerminkan kehidupan masyarakat di Dungun,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa program berkenaan juga membuka ruang kepada agensi kerajaan dan swasta untuk mendekati komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif dan perkhidmatan yang disediakan secara percuma.

Katanya lagi, sejak beberapa edisi lalu, acara itu turut mula menarik minat peserta dari luar daerah malah luar negara untuk hadir ke Dungun.
Penyertaan masih dibuka sehingga 28 April 2026 ini dan borang boleh didapati menerusi laman Facebook Sarong Fun Run 2026.
Selain acara utama, penganjuran kali ini turut diserikan dengan aktiviti sampingan termasuk pertandingan mewarna yang melibatkan penyertaan kanak-kanak.
Dungun Sarong Fun Run 4.0 dijadual berlangsung pada 6 Jun 2026 di Taman Tasik Sura, Dungun. - KitaReporters

