Bicara Seni| Video| Selepas 55 tahun! Nordin Ahmad akhirnya terima pingat! Wujudkan galeri peringatan!
Published byHanya setelah 55 tahun berlalu, jasa bakti seniman Nordin Ahmad dalam arena seni dihargai dengan anugerah pingat DSPN yang membawa gelaran ‘Datuk’. Pingat tersebut dianugerahkan secara ‘anumerta’ kepada Allahyarham sempena ulang tahun kelahiran ke-85 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang

Nordin Ahmad, anak kelahiran Pulau Pinang yang mencipta nama sebagai pelakon dan pengarah di Studio Cathay Keris, Singapura.
HANYA setelah 55 tahun berlalu, jasa bakti seniman Nordin Ahmad dalam arena seni dihargai dengan anugerah Pingat Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.
Pingat
tersebut dianugerahkan secara ‘anumerta’ (selepas kematian) kepada Allahyarham
sempena ulang tahun kelahiran ke-85 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun
Ramli Ngah Talib, pada 11 Julai 2026.
Menerima pingat bagi pihak Allahyarham ialah anak saudaranya, Mohd. Sobri Mohd Sidik, 60 tahun.
Seorang ahli keluarga Nordin yang masih hidup ialah adik perempuan bongsu, Rokiah Ahmad, 84, menetap di Kepala Batas. Beliau tidak dapat hadir kerana faktor kesihatan.

Mohd Sobri Mohd Sidik menunjukkan anugerah yang membawa gelaran Datuk untuk Allahyarham seniman Nordin Ahmad pada upacara penyampaian pingat kebesaran sempena ulang tahun kelahiran ke-85 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 11 Julai 2026.
Memang tepat sekali Pulau Pinang memberi anugerah tersebut kepada Nordin, anak jati kelahiran negeri Mutiara Timur. Allahyarham begitu banyak berbakti dan berjasa khususnya dalam dunia filem sebagai pelakon dan pengarah.
Nordin
ialah anak seni hebat kelahiran Pulau Pinang selain Allahyarham Seniman Agung Allahyarham
Tan Sri P. Ramlee yang terkenal sebagai ‘seniman serba boleh’ sebagai pelakon,
pengarah, penggubah lagu dan penyanyi.
Kedua-dua nama besar ini mengharumkan Pulau Pinang khasnya dan Malaysia amnya.
Jika P. Ramlee mencipta nama di Studio Malay Fims Productions (MFP) di Jalan Ampas, Singapura, Nordin Ahmad mencipta nama di Studio Cathay Keris, East Coast Road.
Mereka juga adalah rakan baik. Sebelum Nordin berpindah ke Cathay Keris, mereka pernah bersama di MFP. Mereka pernah berlakon bersama, misalnya dalam filem ‘Semerah Padi’ dan ‘Anakku Sazali’ arahan P. Ramlee.
Malah P. Ramlee yang menggalakkan Nordin berpindah ke Cathay Keris apabila dia mendapat tawaran daripada studio tersebut. P. Ramlee menasihatkan Nordin berhijrah kerana ramai saingan di MFP untuk beliau mencipta nama.

P. Ramlee (kiri) dan Nordin Ahmad adalah dua anak Pulau Pinang yang berkawan baik, sama-sama berjuang di arena seni. Mereka pernah berlakon bersama serta sering bertemu berbual bicara walau pun berlainan studio.
Nordin
berpindah ke Cathay Keris pada 1958. Ternyata perpindahannya membawa tuah. Beliau
mencipta nama sebagai bintang utama dengan membintangi banyak filem popular. Antaranya ‘Hang Jebat’, ‘Lanchang Kuning’,
‘Cucu Datuk Merah’, ‘Air Mata Duyung’, ‘Gul Bakawali’, ‘Laila Majnun’,
‘Seri Mersing’ dan ‘Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’.
Kerana kebolehan dan bakatnya yang menyerlah, Cathay Keris mengangkatnya menjadi pengarah pada 1963.
Filem pertama arahannya ialah ‘Wan Perkasa’ (1963). Filem lain termasuk ‘Kasih Ibu’, Naga Tasik Cini’, ‘Playboy’, ‘Si Murai’, ‘Kekasih’, ‘Nafsu Belia’, ‘Keranda Berdarah’ dan ‘Lubang Neraka’ (1970) yang merupakan filem terakhir arahannya.
Pendek kata sementara P. Ramlee menyerlah di MFP, Nordin Ahmad menggilap nama di Cathay Keris. Namun daripada segi ingatan terhadap mereka nampak berbeza.
P. Ramlee yang meninggal pada pada 29 Mac 1973 dalam usia 43
tahun dikurnia pingat Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran
Tan Sri pada 6 Jun 1990. Juga ada Galeri Rumah P. Ramlee di Pulau Pinang dan
Pustaka Peringatan P. Ramlee di Setapak, Kuala Lumpur.
Namun Nordin Ahmad yang meninggal pada 15 Jun 1971 dalam
usia 41 tahun tidak pernah mendapat anugerah sehinggalah kini setelah lima setengah
dekad kematiannya.
Cuma nama Allahyarham pernah diabadikan di 'Layar Bintang
Finas' pada 2001, mengiktiraf statusnya sebagai bintang legenda negara. Tidak
ada galeri atau pustaka peringatan khusus untuk Allahyarham.
Anak kedua daripada enam beradik, Nordin dilahirkan di
Kampung Kota, Permatang Pasir, Seberang Perai pada 4 Ogos 1929. Beliau
meninggal akibat sakit kuning di Hospital Besar Singapura.
Tentu penonton masih teringat dialog padu Nordin dalam ‘Seri
Mersing’: “Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang saya mengkuang layu.
Dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang saya musafir lalu.”
Dialog ini segar hingga kini, begitu sinonim dengan peminat Nordin Ahmad dan filem-filem lakonannya. Ia membuktikan nama Allahyarham tetap segar dalam ingatan walau pun sudah 55 tahun kembali ke alam abadi.

Adegan penuh emosi dalam 'Sri Mersing' melibatkan Nordin Ahmad (kanan) sebagai Damaq dan Shariff Medan sebagai Pak Malau. Dalam adegan inilah terluah dialog padu "Kajang Pak Malau kajang berlipat..."
Oleh itu langkah kerajaan Pulau Pinang memberi anugerah pengiktirafan kepada anak watan negeri itu sangat kena pada masanya walau pun mungkin dianggap lewat. Namun lebih baik lewat daripada tiada langsung.
Pengiktirafan itu bukan sebagai melambangkan kehebatan Nordin
kerana Allahyarham sudah sedia hebat. Tetapi ia sebagai mengiktiraf jasa bakti
yang ditabur memertabatkan filem Melayu serta mengharumkan nama negeri dan
negara.
Sehubungan itu juga, perlu ada sebuah galeri peringatan
untuk Nordin. Seperti wujudnya galeri Rumah P Ramlee di Pulau Pinang dan
Pustaka Peringatan P. Ramlee di Kuala Lumpur, usaha perlu dibuat mewujudkan ‘Pustaka
Peringatan Nordin Ahmad’.
Galeri Karyawan Nordin Ahmad kini ada di Sekolah Kebangsaan
Permatang Pasir, ditubuhkan dua tahun lalu. Namun akses kepada ramai terhad kerana
perlu mematuhi aturan. Di samping itu koleksi juga tidak banyak kerana ruang
terhad.
Justeru galeri peringatan yang lebih besar dan selesa perlu diwujudkan
segera untuk tatapan semua lapisan masyarakat. Semoga itu akan menjadi lambang
ingatan abadi dan berterusan terhadap seorang insan seni yang jasa baktinya
begitu besar. Janganlah ini pun dilewatkan!—KitaReporters.
