Video| Semoga jadi sumber inspirasi! Siti terima ijazah sarjana seni! Penghormatan untuk karyawan!

Published by
KitaReporters



Penghibur  tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 47, menganggap ijazah Kehormat Sarjana Seni Kreatif dan Media bukan untuk dirinya semata-mata. 

Sebaliknya ia adalah penghargaan buat seluruh warga industri muzik dan seni kreatif tanah air.

Biduanita negara ini dikurniakan Ijazah Kehormat Sarjana Seni Kreatif dan Media (Honoris Causa) daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Sunway,  Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis, 23 Julai 2026. 

Menerusi perkongsian dalam Instagram Sunway University, anugerah pada majlis konvokesyen ke-30 universiti swasta popular itu sebagai tanda penghargaan terhadap jasa, sumbangan luar biasa Siti Nurhaliza dalam industri seni tanah air hampir tiga dekad. 

“Tahniah kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin atas penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Seni Kreatif dan Media (Honoris Causa) daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Sunway.

“Ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa dan perjalanan inspiratif beliau dalam industri seni dan kreatif,” tulis hantaran itu. 

Dalam hantaran itu, terlihat  Siti Nurhaliza mengenakan jubah berwarna hitam sambil memegang skrol ijazah yang diterima.



Sementara itu, Siti Nurhaliza dalam laman sosialnya 

melafazkan syukur atas pengiktirafan Universiti Sunway tersebut kerana menyifatkannya sebagai cukup bermakna dan penghormatan besar kepadanya. 

Malah Siti Nurhaliza juga berpandangan, ia bukan sahaja penghargaan untuk perjalanan seninya tetapi juga satu pengiktirafan tertinggi buat seluruh warga industri muzik dan seni kreatif tanah air.

Tambahnya, pengiktirafan itu membuktikan bahawa bidang seni kreatif dan media adalah satu profesion yang sangat berprestij dan dihormati dunia akademik. 

“Semoga anugerah ini menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dan pengamal seni tempatan untuk terus berkarya dengan mutu yang tinggi, beretika dan membawa seni budaya kita ke peringkat yang lebih tinggi,” tambah Siti Nurhaliza.



Sementara itu, syarikat pengurusan SN Legacy turut berkongsi hantaran gembira dan mengucapkan tahniah kepada Siti Nurhaliza atas penganugerahan berkenaan. 

"Tahniah kepada Presiden SN Legacy, Datuk Seri Siti Nurhaliza di atas penerimaan Ijazah Kehormat Sarjana dalam bidang seni kreatif dan media daripada Sunway University,” menurut kenyataan SN Legacy.

Pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sunway itu, Siti Nurhaliza turut menghiburkan tetamu dengan sebuah lagu berjudul ‘Sejarah’.

Lagu 'Sejarah' adalah sebuah single istimewa yang dilancarkan pada akhir tahun 2024 untuk meraikan perjalanan seni Siti Nurhaliza selama hampir 30 tahun, yang merupakan hasil ciptaan komposer terkenal Indonesia, Erwin Gutawa, dengan lirik tulisan anak perempuannya, Gita Gutawa.



Sebelum ini, pada 2019, Siti turut menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Selebriti daripada Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai mengiktiraf sumbangan besarnya kepada industri hiburan tanah air.

Pada Mac 2024, Siti Nurhaliza dilantik sebagai ikon dan pakar rujuk bidang seni suara/keusahawanan di Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCCed) untuk tempoh dua tahun.

Siti Nurhaliza juga pada November 2025 dilantik menjadi Profesor Adjung dalam bidang keusahawanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkuat kuasa 15 Oktober 2025 sehingga 15 Oktober 2027.

Dengan sekumlah penghargaan yang diterima membuktikan Siti Nurhaliza sebagai salah satu insan seni yang begitu berharga di negara ini. - KitaReporters


4
4
0
5
0

Copy Link: