Selepas album ‘Joget Made In Malaysia’ dilancarkan pada Oktober tahun lalu (2022), single kedua daripada 10 buah lagu yang terkandung dalamnya, 'Joget Jiwa Lara', nyanyian pelajar graduan Diploma Muzik UPSI, Didie Shazry kini sudah boleh didengar dalam semua platform streaming (penstriman) seperti Spotify, Apple Music, Joox serta  iTunes, manakala video muziknya juga boleh dilihat di saluran Youtube Luncai Emas.

Untuk rekod, pada 2022, empat institusi pengajian tinggi awam telah dipilih untuk bekerjasama dengan syarikat milik sifu Dato M. Nasir, Luncai Emas Sdn Bhd., dalam penerbitan satu-satunya album fusion diselit dengan irama joget berjudul ‘Joget Made in Malaysia’.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan irama muzik tradisional


Pembikinan album dari Luncai Emas itu direalisasikan melalui Dana Kandungan Digital Muzik dari K-Komm (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) yang bermatlamat memperbanyak lagu-lagu bergenre joget Melayu kepada versi baharu yang lebih kontemporati, inovatif serta dinamik.

Melibatkan kos RM400,000, ia menjadi sebahagian proses rejuvenasi muzik Malaysia sekali gus bertujuan menarik minat generasi muda meminati irama tradisi negara yang berbilang genre dan joget dipilih untuk taruhan pertama.

Empat universiti yang terlibat dalam menghasilkan album ‘Joget Made In Malaysia’ meliputi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang mana masing-masing menyumbang sebuah lagu.



Dan ‘Joget Jiwa Lara’ adalah hasil penerbitan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan ciptaan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik dan Seni Persembahan, Hazim Yunan dan Amrul Amran manakala liriknya dihasilkan oleh pensyarah mereka, Prof. Azam Dungun.

"Pada asasnya rentak joget dijadikan sumber utama manakala elemen fusion diselit dalam gubahan muzik yang diadaptasikan dari pengaruh muzik moden seperti muzik dari album Dato’ M. Nasir, Mezzoforte, Casiopea dan sebagainya agar muzik lagu ini lebih segar dan terarah kepada selera pendengar masa kini,” ujar Prof. Azam Dungun.

Justeru, untuk mengisi objektif album, lagu' Joget Jiwa Lara' adalah sebuah komposisi fusion mengekalkan irama traditional joget. 

“Empat institut pengajian tinggi awam telah dipilih untuk bekerjasama dengan Luncai Emas dalam penerbitan album Joget: Made In Malaysia dengan tujuan mengangkat Irama joget ke dalam karya terbaru generasi muda. 

"UPSI adalah antaranya di mana kerjasama dengan pihak Universiti adalah perlu memandangkan pelajar-pelajar bakal menjadi pelapis masa hadapan.” kata Penerbit Eksekutif album, Keon Omar.

Mengulas lanjut, profesor dari Universiti Malaysia Kelantan, Prof Madya Dr. Raja Iskandar Raja Halid, yang juga merupakan penasihat seni warisan bagi projek album berpendapat  lagu ‘Joget Jiwa Lara’ memberi nafas baharu kepada komposisi joget di mana unsur-unsur jazz dan fusion digabungkan dalam satu gubahan yang menarik sambil mengekalkan irama tradisional joget.



Penyanyinya, Didie Shazry, yang berasal dari Sabah, mula berkecimpung dalam bidang muzik sejak umur 11 tahun dan menyanyi sambil bermain bass untuk band sendiri, Akar Rimba. Bandnya sering menerima jemputan di seluruh Sabah dan Semenanjung. 

“Di Universiti, Prof Azam Dungun juga sering memberi saya peluang untuk menyanyikan lagu-lagu ciptaan beliau,‘’ ujar Didie sambil melahirkan rasa bangganya dapat menyumbang lagu dalam album ‘Joget Made In Malaysia’ yang mengandungi 10 buah lagu bernuansa irama joget dinyanyikan penyanyi baharu dan artis muda tanah air.

Dua rappers popular – Kmy Kmo dan Luca Sickta - menyanyikan lagu baharu ciptaan mereka manakala dua band indie - Ramayan dan Iqbal M turut menyumbang 1 lagu baharu ciptaan mereka.

Selain Didie Shazry yang menyanyikan lagu ‘Joget Jiwa Lara’, lima lagu lagi disampaikan oleh penyanyi muda muka baharu yang berpotensi besar seperti gadis berketurunan Tionghua Sabah, Jacyln ChiaJannati Alaudin dari  UMK; Lydbie, dari Sarawak dan  Puteri Khareeza, Azizul Hakim & Zarina Nordin, dari ASWARA.

Setiap daripada single terbabit dijadualkan dipasarkan secara digital di setiap laman strim secara berperingkat-peringkat dan ‘Joget Jiwa Lara’ menjadi single kedua yang sudah boleh dinikmati pendengar.


M. Nasir pada majlis pelancaran album 'Joget Made In Malaysia'. - Kredit foto: Suara.tv


Mengimbas kembali laporan M. Nasir selaku Penasihat Kreatif, semasa pelancaran album ‘Joget Made In Malaysia’ pada tahun lalu (2022): ‘Menjadi cita-cita saya agar irama tradisi Malaysia memjadi sebagai ‘force’ dalam penciptaan muzik moden Malaysia. Apabila melihat kerancakan populariti muzik ‘dance’ dan ‘world beat’, saya terpanggil untuk menjadikan rentak tradisi Malaysia sebagai taruhan kerana eleman ‘dance’ yang ada pada semua rentak tradisi ini. Dan joget dipilih untuk taruhan pertama.”

Sehubungan itu, sebagai penerbit album, Luncai Emas berharap usaha album joget ini akan mendapat sokongan semua golongan peminat, tua dan muda, sekali gus memberikan nilai tambah kepada khazanah muzik tanah air.

Selepas 'Joget Jiwa Lara', lagu dendangan siapa pula agaknya akan menjadi single ketiga dilancarkan nanti, kita tunggu perkembangannya. - KitaReporters


Throwback .. Majlis pelancaran album 'Joget Made In Malaysia' pada Oktober 2022 lalu. - Kredit foto: xtra.com.my

11
8
0
8
0

Copy Link: