Mohamad Aniq Kasdan menerima kurniaan sumbangan peribadi daripada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sambil diperhatikan oleh Pegawai Daerah Segamat, Hasrin Kamal Hashim (tengah). Kredit foto-foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

PEMENANG pingat emas pertama negara pada Sukan Komenwel Birmingham 2022 melalui acara angkat berat kategori berat badan 55 kilogram bukan sahaja teruja berpeluang bersua muka dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, malah mengakui pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang tidak akan dilupakannya.

Badang muda negara itu, Mohamad Aniq Kasdan, 20, berpeluang bersua muka dengan baginda buat pertama kali ketika Sultan Johor berangkat menikmati santapan minum petang di Warung Mee Kicap, Kampung Paya Merah, Labis ketika majlis ramah mesra baginda bersama penduduk di Labis pada 9 Ogos 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan baginda Sultan Johor


Mohamad Aniq Kasdan (tengah) ketika bersua muka buat kali pertama dengan baginda Sultan Johor di Warung Mee Kicap di Kampung Paya Merah, Labis, Johor

Lebih manis lagi menurut Mohamad Aniq yang merupakan anak kelahiran Segamat itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepadanya berikutan kejayaannya mengharumkan nama negara pada acara sukan kedua terbesar selepas Sukan Olimpik baru-baru ini. 

"Sudah tentu peluang bersua muka dengan baginda buat pertaama kali ini merupakan salah satu pengalaman yang cukup manis dalam hidup saya yang akan saya ingati sampai bila-bila dan masa sama saya menjunjung setinggi-tinggi terima kasih di atas kurniaan sumbangan peribadi baginda kepada saya.  


Mohamad Aniq ketika mengadap Sultan Johor di Warung Mee Kicap, Kampung Paaya Merah Labis, Johor.  Kredit foto-foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandarsu


"Dalam pertemuan tersebut baginda turut mengucapkan selamat maju jaya kepada saya untuk temasya-temasya sukan yang akan datang termasuk persiapan untuk menyertai Kejohanan Dunia 2022 di Columbia pada Disember 2022 depan." katanya kepada Royal Press Office (RPO) memetik suapan yang dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 9 Ogos 2022.

Berangkat sama pada lawatan tersebut ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim yang turut diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.


Badang muda negara tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama Sultan Johor dengan pingat emas yang dimenangi pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 ketika bersua buat pertama kali dengan baginda di Labis, Johor. 

Menurutnya dia bercadang menggunakan kurniaan sumbangan peribadi yang diterima daripada Sultan Johor itu dengan sebaik mungkin sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Angkat Berat Dunia pada hujung tahun ini.

"Saya juga akan jadikan ucapan selamat maju jaya daripada baginda dalam pertemuan yang saya sifatkan sebagai sejarah dalam hidup saya  pada hari ini sebagai pembakar semangat serta azimat untuk mencapai kejayaan lebih besar pada masa akan datang termasuk pada Kejohanan Dunia nanti.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan mereka yang bertanggungjawab membawa saya dalam sukan angkat berat, keluarga serta peminat sukan ini yang banyak berjasa dalam usaha untuk mencapai kejayaan ini," katanya yang tidak melepaskan peluang bergambar dengan Sultan Johor bersama pingat emas yang dimenanginya di Birmingham. - KitaReporters


Mohamad Aniq teruja berpeluang menunjukkan pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dimenanginya kepada Sultan Ibrahin Sultan Iskandar. - Kredit foto-foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

15
14
0
12
0

Copy Link: