Video| Bukan satu tapi dua sekali gus! Achey meriahkan Aidilfitri dengan Nak Balik Raya dan Ibu Raya!
Published byPada saat kebanyakan barisan artis tanah air muncul dengan sebuah naskhah taruhan bagi menyambut Aidilfitri tahun 2026 ini, penyanyi dan pelawak popular, Achey, mengambil langkah lebih proaktif dengan melancarkan dua buah lagu raya serentak -- berjudul “Nak Balik Raya” dan “Ibu Raya”.
Kehadiran dua karya baharu ini bukan sahaja memeriahkan suasana sambutan Syawal, malah salah satu daripadanya iaitu “Nak Balik Raya” kini berjaya menduduki carta Top 10 trending untuk kategori muzik dalam YouTube.
Sejak dilancarkan dalam saluran YouTube Seventeen Eleven Music, video muzik lagu berkenaan telah meraih hampir 500,000 tontonan.
Sambutan hebat ini membuktikan bahawa mesej kegembiraan dan persiapan raya yang dibawakan sangat dekat di hati para pendengar.

Menerusi lagu “Nak Balik Raya”, Achey tampil bersama keluarganya dengan membawakan konsep ceria yang menggambarkan keterujaan perjalanan pulang ke kampung halaman.
Penglibatan isteri dan anaknya, Tiara, dalam projek ini bertujuan untuk menonjolkan nilai kekeluargaan yang tebal, di samping menyelitkan pengalaman peribadi beliau sendiri sepanjang bergelar anak seni.
“Konsep lagu ini sebenarnya sangat dekat dengan keluarga. Saya selitkan pembabitan isteri dan anak saya kerana mahu menonjolkan elemen kekeluargaan.
"Emosi lagu ini pula lebih kepada kegembiraan dan keterujaan orang ramai yang sedang membuat persiapan untuk pulang ke kampung,” katanya.
Achey menjelaskan bahawa inspirasi lagu tersebut datang daripada nostalgianya yang ada kalanya tidak sempat pulang beraya atau terpaksa menyambut raya secara mengejut pada tahun-tahun sebelum ini.

“Saya ambil sedikit pengalaman sendiri, terutamanya ketika mula-mula bergelar artis. Ada masa kita tidak sempat balik raya, ada masa pula raya secara mengejut.
"Jadi pengalaman itulah yang saya selitkan dalam lagu ini supaya pendengar boleh rasa nostalgia perjalanan pulang ke kampung,” jelasnya lagi.
Beliau turut menitipkan pesanan agar generasi masa kini terus mengekalkan budaya pulang ke kampung bagi menghargai detik berkumpul bersama insan tersayang.
“Saya harap generasi sekarang masih ada ‘vibe’ untuk balik kampung. Kadang-kadang kita lihat ada yang memilih untuk beraya di bandar sahaja.
"Bagi saya, budaya balik kampung itu sangat penting kerana di situlah kita berkumpul dengan keluarga dan berkongsi kegembiraan bersama,” katanya.
Selain naskhah tersebut, Achey turut mempertaruhkan lagu “Ibu Raya” yang menyaksikan kolaborasi beliau bersama penyanyi cilik, Tantari, serta dua bakat muda iaitu Dahlya dan Rayyan.
Berbeza dengan taruhan pertamanya, “Ibu Raya” memberi lebih fokus kepada peranan besar seorang ibu dan kasih sayang keluarga dalam memeriahkan sambutan Aidilfitri.
Gabungan elemen ceria dan nostalgia dalam kedua-dua lagu ini diharap dapat menjadi peneman setia buat masyarakat yang sedang melakukan persiapan dengan mengunjungi bazar raya mahupun yang sedang dalam perjalanan pulang ke desa nanti.
“Saya berharap lagu-lagu ini diterima dengan santai dan penuh kegembiraan. Kalau boleh, biarlah ia dimainkan di radio, dalam bas, di pasar raya atau ketika orang ramai keluar membeli-belah di bazar Ramadan dan bazar raya.
"Mudah-mudahan lagu ini dapat membangkitkan semangat untuk orang ramai pulang beraya bersama keluarga,” akhirinya. - KitaReporters

