PEMERGIAN Asiah Tuah, pelantun lagu popular ‘Kekasih Pujaan’, menghadap Ilahi pada Selasa 28 April 2026 umpama padamnya gemerlapan sebutir bintang di langit seni yang sukar dicari ganti. 


 


Kekasih pujaan

Mengapakah gerangan

Apa sebabnya ku tak mengerti

Engkau membawa diri

Kekasih pujaan

Mengapakah gerangan

Dosakah aku pada dirimu

Katakanlah padaku”

(Lagu ‘Kekasih Pujaan’ nyanyian Asiah Tuah, ciptaan Wan Ahmad Kamal)


Asiah Tuah berpulang ke alam abadi pada Selasa, 28 April 2026 dalam tidur di kediamannya di Kampung Kerdas, Gombak, Selangor pada usia 82 tahun.


Penyanyi veteran itu pergi dalam tidur di kediamannya di Kampung Kerdas, Gombak, pada usia 82 tahun. Perginya meninggalkan legasi seni yang terus kekal abadi.

Generasi sekarang mungkin kurang mengenali Asiah. Namun bagi generasi lama, nama Allahyarham tidak asing dan begitu terkenal pada era 1950-an dan 60-an.

Lagu ‘Kekasih Pujaan’ adalah antara lagu popular nyanyiannya, pernah dirakam semula oleh penyanyi Sharifah Aini. Lagu lain Asiah termasuk ‘Selamat Malam’, (juga pernah dirakam semula oleh Sharifah Aini) ‘Hidup Ibarat Mimpi’, ‘Dewi Impian’, ‘Seribu Janji’,Bahagia Selalu’ dan ‘Ikatan Janji’.

Menariknya, lagu-lagu ini semua adalah ciptaan suaminya sendiri, Wan Ahmad Kamal Wan Din, berasal dari Alor Setar, Kedah. Mereka berkahwin pada 23 September 1960 di Gombak Setia pada 23 Disember 1960. Suaminya meninggal pada 27 Jun 1986.

Wan Ahmad Kamal berbakat besar dalam seni, pandai melukis, bermain biola, gitar dan piano. 

Lirik lagu patriotik ‘Tanah Pusaka’ ciptaan Ahmad Merican adalah nukilan Allahyarham. Beliau juga mencipta lagu ‘Namun Ku Punya Hati’ yang kemudian  dirakamkan oleh Kumpulan Revolvers.

Allahyarham juga mencipta lagu untuk beberapa penyanyi terkenal seperti Jamal Abdillah, Salamiah Hassan, Ahmadi Hassan, Noreen Noor, Malik Ridhuan, L. Ramlie, Mazuin Hamzah dan Wah Idris. 

Beliau kerap menggunakan nama samaran kerana itu ramai tidak tahu lagu-lagu terbabit adalah cipatannya.


Asiah Tuah bersama suami, Wan Ahmad Kamal Wand Din. Gambar diambil pada 1960, tahun perkahwinan mereka di Gombak Setia, Selangor.


Wan Ahmad Kamal membimbing dan mendidik Asiah sehingga menjadi penyanyi pujaan ramai. Beliau mengajar isterinya menjadi penyanyi berjaya, bermaruah dan dihormati serta melindunginya daripada perkara tidak diingini selama berkecimpung dalam dunia seni.

Lahir pada 1944 di Klang, Selangor, Asiah Tuah mula menyanyi seawal usia 10 tahun pada 1954, dengan pancaragam ‘Orkes Melayu Gombak’ pimpinan ayahnya sendiri, Tuah Long.

Ketika berumur 11 tahun, Asiah mula mencipta nama apabila muncul juara pertandingan menyanyi di panggung ‘Alhambra’. Alhambra ialah sebuah panggung wayang di pekan Setapak, Kuala Lumpur. Panggung ini sudah tiada.

Seterusnya Asiah muncul naib johan pertandingan nyanyian anjuran Wanita UMNO Kuala Lumpur. Pada tahun 1958, beliau muncul juara pertandingan nyanyian anjuran Pemuda Pemudi Kuala Lumpur.

Allahyarham bukan sahaja hebat menyanyi, tetapi juga pandai mengaji al-Quran. Beliau pernah memasuki pertandingan membaca Al-Quran pada 1958 dan muncul naib johan.


Asiah Tuah sejak berusia 10 tahun sudah mula menyanyi dan mencapai  kejayaan dalam pertandingan nyanyian serta pertandingan membaca al-Quran. 


Asiah kemudian menyertai kumpulan nasyid di Gombak Setia. Bersama kumpulan ini beliau mencipta lagi satu kejayaan apabila nyanyiannya bersama kumpulan pernah disiarkan oleh Radio Malaya.

Daripada situ, Asiah diberi peluang menyanyi secara solo di radio dengan ‘Orkes Puspa Hati’ pimpinan Alfonso Suliano dari Radio Malaya, dari 1959 hingga 1963. Beliau diberi peluang menyanyi setiap minggu di Radio Malaya, kebanyakanya secara siaran langsung.

Allahyarham juga sering mendapat jemputan menyanyi di majlis-majlis orang kenamaan. Selain itu juga menyanyi untuk tujuan amal. 

Sepanjang kerjaya seni, Asiah menghasilkan tiga album, masing-masing pada tahun 1961, 1962 dan 1967.

Beliau juga pernah menyanyi dengan ‘Orkes Rindu Malam’ pimpinan Johar Bahar dan ‘Orkes Gema Pesta’ pimpinan Zainal Ibrahim. Lagu-lagu kegemaran beliau ialah asli, keroncong, Cha-Cha, Begins, Jazz dan Latin.

Allahyarham meminati filem-filem arahan dan lakonan P. Ramlee. Bahan-bahan bacaan yang beliau minati adalah buku-buku agama, masakan, sejarah, politik dan majalah hiburan. Hobi selain menyanyi ialah memasak, menjahit, mendengar radio menonton TV dan menggubah bunga.



Memetik anak Allahyarham, Wan Mahsuri Wan Ahmad Kamal, sejak beberapa bulan lalu kesihatan ibuya merosot, namun masih boleh berjalan dan duduk. Allahyarham menghidap masalah buah pinggang tahap sederhana serta kanser rahim tahap dua.

Jenazah Allahyarham Asiah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Ibu Kota, Gombak pada Khamis 29 April 2026. Semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa Allahyarham. 

Al-Fatihah. – KitaReporters

10
12
0
12
0

Copy Link: